Perkhidmatan KTM Komuter Utara Tunggu Kelulusan SPAD



Perkhidmatan tren Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang menghubungkan tiga buah negeri di utara Malaysia sedang dalam pembinaan dan dijangka beroperasi seawal September.

Satu imej peta laluan KTM Komuter tersebar di laman media sosial malam Ahad yang menunjukkan laluan kereta api menghubungkan Gurun (Kedah) ke Butterworth (Pulau Pinang) dan Kamunting (Perak).

Imej tersebut di muat naik dalam laman Facebook yang dikenali sebagai RailTravel Station menunjukkan 11 stesen dalam pelan laluan tersebut termasuk Sungai Petani, Bukit Mertajam dan Bagan Serai.


Menurut RailTravel Station, peta laluan itu dapat dilihat dalam beberapa tren KTM Komuter yang sedang beroperasi di Lembah Klang.

Pengerusi KTMB Datuk Nawawi Ahmad mengesahkan mengenai perkara tersebut dan ia dikenali sebagai perkhidmatan Komuter Utara.

"Ini adalah perkhidmatan Komuter Utara setiap sejam.

"Ia masih belum mendapat kelulusan SPAD (Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat). Sekiranya diluluskan, ia akan mula beroperasi," katanya menerusi mesej WhatsApp kepada The Star.

Beliau berkata laluan dari Gurun ke Kamunting sudah siap sepenuhnya dan tren untuk laluan tersebut sudah ada tetapi belum sedia beroperasi.

Katanya, terdapat "masalah" dengan tren CSR Zhuzhou yang baharu.

"Namun dengan tiga tren lama yang kita ada, tiada masalah," katanya.

Ketika ditanya tarikh perkhidmatan Komuter Utara akan sedia beroperasi sebaik mendapat kelulusan SPAD, Nawawi berkata, "September" tanpa menjelaskan lebih lanjut mengenainya.

Namun, masih belum diketahui sama ada perkhidmatan KTM Komuter tersebut akan beroperasi menggunakan landasan berkembar sedia ada.

Sekiranya beroperasi pada September, ia akan menjadi perkhidmatan tren komuter pertama untuk penduduk di utara tanah air.

Previous Post Next Post