Shaheizy Sam makin demand



PELAKON popular, Shaheizy Sam, mengakui yang kini dia akan bersikap lebih selektif dalam menerima tawaran lakonan. Tegasnya, ia berlaku atas kesedarannya yang selama ini menerima apa sahaja watak demi mengukuhkan kewangan semata-mata.

“Lama-kelamaan saya mula sedar yang duit sebenarnya tidak akan cukup sampai bila-bila. Dan walaupun sudah lama dalam industri ini, saya tidak rasa kepuasannya.

“Justeru, bermula dari tahun lepas, saya sudah memilih pengarah dan filem yang akan saya lakonkan,” katanya kepada Zass, ketika ditemui pada majlis hiburan baru-baru ini.


Sam atau nama sebenarnya Shaheizy Sam Abdul Samad berkata, dia bukanlah dilahirkan dalam keluarga yang senang, maka kerana itulah dia bertungkus lumus bekerja demi mengubah kehidupan keluarganya.

“Tetapi dalam masa bekerja keras untuk hidup senang itu, ada satu benda yang saya kekurangan iaitu kepuasan diri dalam bidang seni ini.

“Jadi saya rasa, cukuplah apa yang saya buat selama ini. Tapi ia bukan kerana sudah ada nama untuk buat pilihan itu, tetapi lebih kepada kepuasan diri," katanya.

Dalam pada itu, Sam memberitahu, dia turut mendapat tawaran untuk berlakon teater. Akui sangat meminati bidang itu kata Sam, sekarang bukanlah masa untuknya beraksi di pentas teater.

“Memang saya pernah fikirkan yang saya sesuai untuk berlakon teater tetapi oleh kerana teater memerlukan banyak masa dan latihan yang lama, jadi saya tidak boleh sertainya.

“Oleh itu, rasanya buat masa sekarang bukan rezeki saya untuk berlakon dalam sebarang teater walaupun mendapat banyak tawaran dalam bidang itu,” katanya.

Previous Post Next Post