Siti Elizad masih malu dengan suami


Kota raya Kuala Lumpur di kala tengah hari seakan membara. Matahari merah menyala di petala langit. Seumpama hembusan api yang cuba menerobos ke kulit.

Sehangat mentari yang menyimbah bumi, begitulah hangatnya cinta yang menggunung di jiwa Siti Elizad terhadap suaminya, Shamsul Baharin Rahman, 43, yang dikahwini sejak 11 Januari lalu.

Mendasari erti bahagia heroin drama popular Teman Lelaki Upahan itu, kata Elizad, dia dan suami masih dalam proses mengenali hati budi. Masih malu-malu dan ada batas perlu dijaga.

“Dia (suami) sebenarnya kawan abang saya. Kami tidak bercinta lama. Lepas berkahwin baru rapat. Jadi, perasaan malu-malu itu masih ada lagi,” getus pelakon berusia 31 tahun itu sambil ketawa mengenai rumah tangga yang dibina.

Biarpun perkahwinan dengan duda dua anak itu baru sahaja dibina, namun kesibukan Elizad dan suami bekerja membataskan kedua-duanya untuk menghabiskan masa bersama.

Ada kalanya Elizad balik menjalani penggambaran, suaminya sudah lena dibuai mimpi dan adakalanya pula dia terpaksa keluar selepas subuh untuk memenuhi tuntutan pekerjaannya (berlakon).

Dengan nada syukur, Elizad memberitahu, dia beruntung mendapat suami yang berbeza usia sebanyak 12 tahun kerana suaminya itu cukup sabar dan matang menangani kehidupannya sebagai selebriti popular.


“Alhamdulillah, suami sangat memahami. Dia tahu saya sukakan kerja ini (berlakon). Selalunya lelaki yang lebih berusia akan lebih matang dan tidak cepat melenting. Dia juga kenal sikap dan faham kerja saya. Saya pula, kalau habis penggambaran akan terus pulang ke rumah. Memang tidak akan melepak atau pergi ke mana-mana.

“Kami hanya akan berjumpa dan menghabiskan masa bersama apabila cuti. Itu pun dalam dua kali sebulan sahaja. Jadi, dengan cuti yang diperoleh, kami akan luangkan masa bersama-sama dengan pergi melancong. Raya ketiga yang lalu, kami menunggang motosikal ke Pulau Pinang,” ujarnya yang mempunyai minat yang sama dengan suami iaitu menunggang motosikal jenama terkenal, Harley Davidson.

Ditebak mengenai anak, wanita tinggi lampai itu hanya tersenyum dan mendedahkan, dia dan suami pada mulanya niat merancang, namun memikirkan anak itu rezeki, pasangan itu akhirnya menyerahkan semuanya kepada Allah Yang Maha Esa.

“Suami sudah ada dua anak dengan bekas isteri. Sebelum ini memang kami niat untuk merancang, tetapi bila memikirkan orang yang merancang ini biasanya kesempitan wang. Kami tidak menghadapi masalah itu. Bukan nak cakap kami mewah tetapi cukup makan dan pakai. Jadi, saya percaya dengan adanya anak ia membuatkan kami lebih kenal antara satu sama lain. Saya juga mahu merasa mempunyai anak sendiri.

“Insya-Allah doakan sahaja. Kalau rezeki datang awal, alhamdulillah. Maknanya ada rezeki untuk kami. Kalau lambat, kami tidak akan putus berdoa,” getusnya yang kini dilantik sebagai duta produk langsing dan kecantikan produk Qyra Beauty Care.

Pertama kali dilantik sebagai duta produk, Elizad menganggap pelantikannya itu sebagai rezeki yang kembali menyinar dalam industri lakonan.


PELAKON ini mengharapkan kehadiran cahaya mata kerana dapat mengeratkan lagi hubungan dengan suami tercinta.

TEPATI MASA

SEORANG yang menepati masa, Elizad mengakui, dia suka datang lebih awal daripada call time (masa) yang diberi oleh pengarah.

“Misalan call time saya pukul 9 pagi, saya akan sampai di lokasi penggambaran sama ada pukul 7 atau 8 pagi. Biasanya, saya akan duduk di dalam kereta membaca kembali skrip drama atau telemovie yang diberi. Jika ada artis yang call time dia sama seperti saya iaitu pukul 9 pagi tetapi datang pada pukul 12 tengah hari, ia akan menganggu mood saya untuk berlakon,” kata Elizad berterus terang.

Enggan mendedahkan siapakah gerangan pelakon tersebut, jelasnya, ada beberapa kali insiden yang memaksa dirinya menunggu pelakon yang lambat.

Bagaimanapun, luah Elizad, dia bukan seorang yang suka meluahkan ketidakpuasannya itu di hadapan pelakon tersebut, sebaliknya Elizad akan memberitahu rasa kurang senangnya itu kepada penolong pengarah agar perkara sama (lambat ke lokasi) tidak berulang kembali.

TRAVELLING BERUANG

BUAT masa ini Elizad atau nama sebenarnya Siti Elizad Mohd. Sharifudin itu sedang sibuk menjalani penggambaran untuk telemovie Travelling Beruang untuk siaran TV3.

Baru sahaja pulang dari Kemboja, kongsi Elizad, dia bakal terbang ke Vietnam, Jepun dan China untuk menjayakan telemovie tersebut.

“Ahad ini (hari ini) saya akan ke Vietnam untuk penggambaran telemovie Travelling Beruang bersama Ungku Ismail Aziz. Kami akan berada di sana selama lima hari dan kemudiannya pulang ke Malaysia sehari dan terbang ke Jepun dan China pula,” ujarnya mengenai telemovie yang berkisarkan tentang seorang ayah yang ingin menunaikan impian kanak-kanak kanser.

Mengakui seronok terbabit dalam telemovie tersebut, kata Elizad, dia dikelilingi dengan orang-orang yang seronok untuk bekerja termasuk Ungku Ismail, heronya dalam drama Teman Lelaki Upahan sebelum ini.



HARLEY DAVIDSON

MEMPUNYAI minat yang sama dengan suami iaitu menunggang motosikal Harley Davidson, Elizad turut suka mengumpul barangan Harley.

Lebih menguntungkan, suami Elizad bekerja di syarikat permotoran tersebut, jadi segala koleksi terkini Harley berjaya diperoleh wanita tinggi lampai itu.

“Alhamdulillah, semua koleksi Harley yang terbaharu saya akan dapat. Suami selalu hadiahkan jam tangan Harley. Sebab dia tahu saya suka tukar-tukar pakai jam tangan. Antara koleksi Harley lain yang turut dikumpul adalah kemeja dan baju T,” ungkapnya.

WATAK IBU

BERKONGSI mengenai keinginannya saat ini, kata Elizad, dia mendambakan watak ibu kepada anak kecil.

Katanya, karakter tersebut mencabarnya apabila terpaksa menjaga mutu lakonan sendiri dan pada masa yang sama turut menjaga kerenah anak kecil tersebut.

“Sebelum ini, saya suka bawa watak orang gila dan menangis. Alhamdulillah, watak berat sebegitu saya sudah dapat. Sekarang, saya teringin bawa watak ibu yang mempunyai anak kecil. Sebab saya tahu, bukan senang untuk berlakon bersama anak kecil. Kena jaga karakter sendiri dan pada masa yang sama kena jaga anak kecil itu lagi. Saya mahu sahut cabaran tersebut,” ujarnya yang bakal muncul menerusi telemovie terbaharu bersama Jep Sepatahtu iaitu Ayah Den Lapeh.

Disoal siapakah pengarah idamannya, ujar Elizad, dia mahu bekerja dengan semua orang. Bagi pelakon yang dilahirkan pada 25 Mei 1984 itu, setiap pengarah akan melahirkan sebuah karya yang mempunyai sentuhan tersendiri.

Previous Post Next Post