Wings jelajah seluruh negara



SEMPENA mempromosikan Konsert 30 Tahun Wings, kumpulan legenda itu telah memulakan siri pertama Kembara Jelajah Bermotor ke beberapa destinasi terpilih di sebelah Pantai Timur bermula 24 Ogos lalu sehingga semalam.

Di samping mempromosikan konsert, Wings sempat melancarkan Karnival Get Ready, yang memperkenalkan Kempen Menghadapi Bencana Alam pada setiap destinasi dituju.

Menurut vokalis utama Wings, Awie, kempen itu bertujuan memberi pendedahan awal dan kesedaran kepada orang ramai dalam berhadapan dengan bencana alam yang berlaku.

“Sebenarnya, tujuan utama kembara ini dilakukan adalah untuk melantik ejen tiket di setiap negeri dan pada masa yang sama, kami mengambil kesempatan ini untuk bertemu peminat di Pantai Timur.

“Kembara ini tidak hanya ke Pantai Timur, malah kami akan ke beberapa lokasi di selatan bermula 5 hingga 8 September ini, manakala di utara pada 6 hingga 8 Oktober nanti.

“Selain itu, bagi melengkapkan lagi kembara ini, kami turut melancarkan kempen Get Ready sebagai tanda prihatin terhadap isu semasa yang berlaku,” katanya.


Acara perasmian kembara bermotor itu telah dijalankan di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTic) pada 24 Ogos lalu.

Sementara itu, Pengarah Pusat Pelancongan Malaysia (MaTic), Zain Azrai Rashid berkata, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia menyokong kerjasama strategik bersama Wings menerusi program tersebut.

“Program ini selaras dengan konsep kerajaan di bawah inisiatif Strategi Lautan Biru Kebangsaan yang menggalakkan kerjasama strategik di antara pihak kerajaan, swasta dan NGO.

“Acara ini juga secara tidak langsung mampu memberikan publisiti dan pendedahan mengenai MaTiC, di mana Wings boleh memainkan peranan dalam mempromosikan industri pelancongan dan kebudayaan serta Tahun Festival Malaysia (MyFEST) 2015 dalam siri jelajah mereka,” ujarnya.

Konsert 30 Tahun Wings akan diadakan di Stadium Merdeka pada 31 Oktober ini.

Harga tiket yang dijual pada harga RM48, RM85 dan RM285 boleh dibeli secara atas talian melalui www.tickethotline.com.my atau maklumat lanjut di www.sayap2wings.com.

Previous Post Next Post