Anak tiri urus ulasan Instagram Siti Nurhaliza


Siti NURHALIZA menyerahkan urusan perkhidmatan ulasan produk di Instagram ke tangan anak tirinya, Ashraf Khalid.

TIDAK dinafikan, laman sosial Instagram semakin mendapat tempat dalam kalangan pengguna telefon pintar masa kini. Mudah dikendalikan, platform digital yang mempunyai lebih 400 juta pengguna aktif di seluruh dunia itu turut dijadikan sebagai penghubung oleh kebanyakan selebriti dengan para peminat mereka.

Bermula sebagai medium perkongsian aktiviti dan perkembangan terkini, Instagram kini dijadikan sebagai sumber selebriti menjana pendapatan menerusi hebahan iklan dan ulasan produk.

Terbaharu, penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza juga bakal memperkenalkan perkhidmatan ulasan produk menerusi akaun Istagram rasminya, @ctdk.

Menurut Siti, 36, perkhidmatan tersebut bakal dikendalikan sepenuhnya oleh A Klasse Management Sdn. Bhd. iaitu sebuah syarikat pengurusan bakat yang dimiliki oleh anak tirinya, Asyraf Khalid.

“Saya lihat, penggunaan Instagram dalam kalangan rakyat Malaysia semakin meluas. Jadi, tidak salah rasanya jika sesetengah artis mengambil peluang itu untuk mengadakan perkhidmatan ulasan produk.

“Tambahan pula, ulasan yang dibuat bakal dilihat oleh pengikut artis tersebut. Cara ini merupakan antara cara yang terbaik untuk memasarkan sesuatu produk dengan berkesan,” katanya ketika ditemui pada majlis ulang tahun pertama penubuhan syarikat pengurusan bakat A Klasse di kediaman penyanyi itu di Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur baru-baru ini.


Mengulas lanjut mengenai perkhidmatan ulasan produk di Instagram, Siti berkata, dia bakal menyerahkan urusan tersebut sepenuhnya kepada pihak pengurusan.

“Sebelum ini, saya tidak pernah mengenakan bayaran bagi mengulas mana-mana produk di Instagram. Jika saya menerima hadiah daripada peniaga, saya akan meletakkan nama akaun Instagram mereka sebagai tanda terima kasih.

“Namun kini, semuanya akan diuruskan oleh A Klasse. Saya tidak lagi perlu memikirkan kapsyen yang sesuai untuk diletakkan pada ulasan. Semuanya disediakan oleh pihak pengurusan,” katanya.

Bagaimanapun, Siti menegaskan, segala urusan yang berkaitan dengan kerjayanya masih di bawah pengurusan Siti Nurhaliza Productions (SNP).

“Hanya urusan berkenaan media sosial sahaja yang diselia oleh A Klasse. Tetapi, SNP masih lagi menguruskan kerjaya saya,” katanya lagi.

Sementara itu, menurut Asyraf, 23, penubuhan syarikat pengurusan bakat itu bukan disebabkan mahu meraih populariti semata-mata.

Kongsi anak ketiga daripada empat beradik itu, A Klasse ditubuhkan bagi mengembangkan minatnya yang mendalam terhadap industri hiburan tempatan.

“Saya tubuhkan A Klasse bukan kerana mahu kenali. Sejak kecil lagi, saya sudah menunjukkan minat dalam dunia hiburan. Saya sering menonton konsert dan pergi ke majlis-majlis hiburan.

“Jadi, saya lihat minat tersebut sebagai satu kelebihan yang boleh mendatangkan kebaikan pada saya dan juga artis yang syarikat kami naungi,” katanya.

Previous Post Next Post