Cristina Suzanne selesa sendiri


CINTANYA pernah diuji. Percaturannya untuk bernikah dengan tunang yang dikenali sejak zaman sekolah tidak kesampaian.

Namun itu sedikit pun tidak menggoyahkan perjalanan dan prinsip hidup si cantik manis ini.

Meninggalkan kisah pahit putus tunang, Cristina Suzanne Stockstill kini memilih untuk bersendiri.

Bagi Cristina, cinta bukan lagi prioriti sebaliknya beliau mahu terus fokus kepada kerjaya, keluarga dan rakan-rakan. Beliau semakin tertutup untuk berbicara soal hati.

“Buat masa ini saya tak terfikir untuk cari pengganti. Perhubungan memerlukan komitmen. Bukan sahaja untuk menggembirakan hati tapi saya harus sedar, kegembiraan yang datang dalam perhubungan akan ada kedukaan juga.

“Jadi saya kena betul-betul bersedia. Nak kata tak nak bercinta bukan lah sampai ke tahap macam itu, cuma apa yang saya boleh katakan saya tidak mencari. Saya berkawan dengan sesiapa sahaja. Tapi untuk rapat dan mengenali hati budi sesiapa itu tidak ada buat masa ini,” katanya kepada Zass.


Bagi Cristina, bersendiri mengajar beliau untuk lebih menenangkan hati dan mendekatkan diri dengan Tuhan.

Tiada lagi sasaran untuk berkahwin pada usia tertentu dan beliau mahu memastikan sekiranya soal perkahwinan itu terlintas nanti, ia adalah pada ketika dia benar-benar bersedia.

Siapa sangka, dalam bersendiri, Cristina sebenarnya sudah mempunyai hobi baru iaitu belajar melukis.

“Kalau tak ada kerja duduk rumah main muzik dan melukis. Sebab itu saya boleh duduk rumah seorang-seorang sebab saya ada hobi. Salah satu cara menyelesaikan masalah adalah dengan mencari hobi,” jelasnya.

Meski pun tidak belajar seni menerusi kelas, Cristina ada membeli buku dan belajar tutor menerusi youtube.

“Saya sedang belajar 'oil painting'. Dah siap enam lukisan kanvas. Empat lukisan abstrak dan dua lagi lukisan potrait. Apabila dah siap saya dapat rasakan satu kepuasan dan lukisan itu saya gantung di dinding rumah,” ujarnya yang semakin bahagia dengan pilihannya sekarang.


Cabaran Jwanita

Pelakon wanita berbakat besar yang lahir dari program realiti Pilih Kasih musim kedua ini bakal ke layar perak menerusi filem Jwanita pada 24 September ini.

“Dalam Jwanita saya bawa watak Julaika, iaitu adik kepada Jwanita yang mempunyai masalah psikologi. Awalnya saya tak nak terima sebab Julaika adalah watak seorang ibu kepada dua anak.

“Hampir sebulan saya baru bagi jawapan kepada pengarah, abang Osman Ali untuk cuba watak tu. Ketika itu saya berumur 27 tahun tapi, memikirkan sebagai pelakon saya kena bereksperimen dan juga atas keyakinan yang abang Osman berikan, saya terima.

“Saya sangat gembira melakonkan watak ini. Selepas ini saya tak mahu dah watak ibu. Sebab watak ibu memang susah. Selepas ini saya tak mahu berlakon jadi ibu lagi,” katanya yang mengakui susah melakonkan watak ibu.

Jwanita adalah filem bergenre suspens thriller yang mengisahkan tentang seorang wanita yang mempunyai masalah psikologi.

Filem ini menampilkan barisan pelakon seperti Maya Karin, Bront Palarae dan Datin Umie Aida.

Bakat wanita berdarah kacukan Melayu Jerman ini mendapat pengiktirafan dalam Anugerah Skrin 2013 sebagai Pelakon Wanita Terbaik Filem menerusi dalam filem KIL dan turut memenangi anugerah Pelakon Harapan Wanita Terbaik pada acara Festival Filem Malaysia ke-26.

Previous Post Next Post