Dunia politik Anne Ngasri



KEBELAKANGAN ini berita mengenai artis semakin bergiat aktif dalam dunia politik sudah tidak asing lagi. Masing-masing punyai matlamat dan sebab sendiri untuk terjun ke bidang tersebut.

Ada yang hanya menjadi ahli sahaja, dan ada pula yang memegang jawatan tertentu dalam sesuatu parti.

Bagi pelakon, Anne Ngasri, dia tidak ketinggalan dilihat semakin aktif berpolitik sejak setahun lalu.

Namun bagi dirinya, niatnya memasuki parti Umno seterusnya dilantik sebagai Ketua Puteri Umno bahagian Bukit Bintang hanya untuk membantu masyarakat.

“Saya tidak ada niat negatif langsung atau mengkritik pihak lain, nawaitu saya hanya mahu membantu orang yang susah.

“Setakat mana yang saya mampu lakukan, akan saya buat. Sebab dari kecil saya memang suka tolong orang.

“Selain itu saya juga tidak boleh lihat orang susah, sebolehnya akan saya bantu semampunya. Itu sahaja niat saya,” katanya kepada Zass ketika ditemui pada majlis previu filem Love, Supermoon baru-baru ini.


Mengulas mengenai reaksi peminat, Anne atau nama sebenarnya Ngasriah Ngasri, 31 berkata, ia tidak pernah menjejaskan karier seninya.

“Saya tidak risau jika peminat parti lain tidak menyokong kerjaya seni saya, kerana saya tidak dengar lagi perkara tidak baik peminat mengenai diri saya. Jalan saya pilih ini pun jalan yang baik.

“Sebenarnya inilah diri saya sebenarnya, dan jika ada yang mengata perkara di belakang saya itu terpulang kerana saya hanya fikir yang positif sahaja,” katanya yang sudah memegang jawatan itu sejak setahun lalu.

Anne dilihat semakin aktif juga sejak berkahwin dengan suaminya, Mohd Sumali Reduan yang merupakan Setiausaha Kerja, Pergerakan Pemuda Umno.


Tak lupa lakonan

Mengulas pula mengenai perkembangan seninya, ibu kepada empat orang anak ini memberitahu, dia tidak pernah terfikir untuk meninggalkan bidang lakonan.

“Lakonan adalah hobi saya dan walaupun sudah lama menyepi dalam bidang ini tetapi tidak bermakna saya akan terus melupakannya.

“Buktinya, kini saya kembali dalam filem Love, Supermoon arahan Wan Hasliza Wan Zainuddin yang akan ditayangkan pada 22 Oktober ini.

“Filem itu adalah lakonan saya terbaharu setelah Dunia Baru The Movie enam tahun lalu,” katanya.

Bagaimanapun, dia mengakui dunia seninya agak perlahan sejak beberapa tahun lalu kerana lebih aktif di belakang tabir dan menguruskan keluarga.

“Saya kini lebih suka berada di belakang tabir dan sibuk menguruskan anak-anak yang masih kecil.

“Lagipun saya tidak mahu menyusahkan pihak produksi sekiranya saya tidak mampu memberi komitmen masa kepada mereka jika menerima tawaran berlakon.

“Sebab itu masa untuk terus aktif dalam lakonan ketika ini agak terbatas. Saya perlu fokus dahulu membesarkan anak-anak,” katanya yang juga punyai keinginan untuk menceburi diri dalam bidang perniagaan.

Previous Post Next Post