Edru: Saya tak maki atau herdik Che Ta


Edry Abdul Halim

TINDAKAN Rozita Che Wan menarik diri sebagai juri tetap program realiti Akademi Fantasia (AF) 2015 adalah wajar dan perlu dihormati, demikian ulas pengetua AF, Edry Abdul Halim.

Edry berkata, ia keputusan tepat dan kerusi juri yang ditinggalkan Che Ta patut diganti oleh mereka yang lebih layak.

"Tugas juri sangat besar dan ia membabitkan masa hadapan pelajar, Kalau dia setakat komen awak nampak cantik dan seumpamanya, ia tidak membantu pelajar saya. Tugasan ini memang terlalu besar kapasitinya untuk dia dan sekali gus menyerlahkan kelemahan diri.

"Saya suarakan apa yang betul kepadanya. Kalau nak komen pelajar AF 2015, biarlah berasas. Saya nak yang terbaik untuk mereka.

Pihak Astro selepas ini patut mengundang juri yang lebih layak dan berpengalaman seperti Adlin Aman Ramlie atau Fauziah Ahmad Daud," katanya dipetik BH Online.

Edry bagaimanapun menjelaskan, dia tidak mengherdik mahupun memaki Rozita seperti didakwa sehingga menyebabkan Che Ta bertindak menarik diri.

"Saya tak maki atau herdik dia sebaliknya hanya menegur dan seharusnya sebagai orang industri mahupun yang menerima mandat sebagai juri, dia seharusnya terbuka dengan kritikan dan teguran.

"Saya hanya menegur komenya kepada pelajar saya di AF. Harus diingat sebagai juri bukan kerja mudah, Ia sangat berat. Selepas minggu keenam AF2015 bersiaran, saya lihat dan rasa komen dia kepada pelajar tak beri kesan kepada pelajar.

"Juri pun bukan ada kekebalan kerana mereka juga terbuka dengan kritikan sesiapa yang tak berpuas hati," katanya.


Menurut Edry lagi, dia tidak mempunyai masalah peribadi dengan Rozita sebaliknya, apa yang berlaku atas paksi profesiolisme.

Malah sebagai pengetua akui Edry, dia berhak bersuara untuk mempertahankan apa yang patut dipertahankan.

Sebelum ini, Rozita Che Wan menarik diri menjadi juri program realiti Akademi Fantasia (AF) 2015 setelah diherdik oleh pengetua program itu Edry Abdul Halim ekoran ketidakpuasan hati dengan kritikan terhadap pelajar AF.

Selebriti yang lebih mesra dengan panggilan Che Ta ini menjelaskan, dirinya tidak mahu bekerja dalam suasana yang tidak sihat di mana ada orang yang tidak menghormati tugas yang diberikan kepadanya.

"Semua soal profesional. Apa yang saya buat adalah kerja saya dan saya hanya berminat bekerja dengan orang yang mempunyai tahap profesional sama seperti saya," luah Che Ta.

Previous Post Next Post