Farid Kamil Impian 22 tahun tercapai



SEPANJANG tiga tahun berehat dari kerusi pengarahan, Farid Kamil mengambil peluang bermain sukan Polo.

Minat yang terpendam sejak berusia 10 tahun itu akhirnya tercapai apabila pelakon berusia 32 tahun ini berjaya memperoleh lesen untuk memasuki perlawanan Polo.

“Pada tahun 2013 saya berjaya mendapat lesen Royal Malaysian Polo Association, setelah tiga tahun saya menunggang kuda.

“Dan sudah sekali memasuki perlawanan setelah lima tahun menunggang kuda. Sukarnya untuk masuk perlawanan kerana perlukan lesen, selagi tidak ada lesen tidak boleh masuk perlawanan,” katanya kepada Zass ketika ditemui pada previu filem Love, Supermoon, baru-baru ini.

Selain itu, bukan mudah kata Farid memasuki suatu perlawanan Polo, kerana pemain memerlukan kad lesen.

“Bila kita ada lesen itu, baru boleh masuk mana-mana perlawanan baik di dalam negara atau luar negara.

“Oleh itu pada tahun lalu, saya memasuki perlawanan Polo di Pekan Pahang dan Insya-ALLAH bulan Disember ini akan berlawan di Thai Polo & Equestarian Tournament,” katanya

Berkongsi rutin hariannya sejak aktif dalam sukan tersebut, pelakon Lagenda Budak Setan ini memberitahu, setiap pagi dia akan luangkan beberapa jam untuk latihan.

“Masa saya peruntukan main Polo ini dari awal pagi hingga jam 8 atau 9 pagi setiap hari. Namun, tahap saya kini belum sampai apa yang saya mahukan lagi. Tetapi tidak bermakna juga saya mahu terus fokus sukan ini sebagai kerjaya, ia hanya hobi,” katanya yang berpuas hati memasuki sukan itu apabila dapat mengimbau kembali nostalgia ketika kecil.


Idam anak perempuan

Mengulas mengenai isterinya, Diana Danielle, yang kini sedang mengandung anak kedua, Farid berkata, dia tidak sabar menanti kelahiran cahaya mata keduanya itu.

“Saya berharap tarikh perlawanan di Bangkok, Thailand tidak akan bertukar kerana pada November ini, saya sudah kosongkan jadual untuk bersama isteri menyambut kelahiran anak kedua.

“Doktor menyarankan agar kami bersedia kerana bulan 11 nanti adalah jangkaan isteri saya patut bersalin, oleh itu saya mahu sentiasa berada di sisi Diana,” katanya.

Farid mengharapkan agar kali ini mereka dapat menimang anak perempuan, memandangkan mereka telah dikurniakan anak lelaki, Muhammad, 2 tahun.

“Jika diberi pilihan memang mahukan anak perempuan, tetapi apa yang penting saya mahukan mereka berdua sihat.

“Anak sulung saya sudah didedahkan mengenai kandungan ibunya dan saya selalu cakap dalam perut ibunya ada bayi. Anak saya seperti faham dan sudah pandai membahasakan dirinya sebagai abang,” katanya.

Akui teruja menyambut kelahiran orang baharu dalam keluarganya itu, Farid berharap isterinya sentiasa di beri kesihatan yang baik.

“Saya bersyukur kerana isteri kali ini mengandung lebih baik dan tidak mengalami komplikasi seperti wanita mengandung lain.

“Hanya kelihatan sedikit letih dan sukar tidur malam. Tetapi dengan keadaan yang masih biasa itu memudahkan saya dan saya teruja menyambut kelahiran anak kedua,” katanya.

Previous Post Next Post