Farish Aziz Terkena Demam Denggi


Farish dikunjungi rakan-rakan Suria Fm.

Penyampai radio Suria FM Sabah iaitu Farish Aziz dimasukkan ke Pusat Perubatan Jesselton, Kota Kinabalu (KK), Sabah pada Ahad lalu akibat terkena demam denggi.

Farish atau nama sebenarnya Mohd Farish Aziz, 31, berkata dia telah ditahan di wad selepas mengalami demam teruk pada minggu lalu.

"Pada mulanya saya mendapat rawatan di klinik biasa. Tetapi lama kelamaan demam saya sangat teruk. Badan menggigil-gigil kesejukan, tetapi suhu badan pula panas.

"Kemudian saya terus ke hospital pula apabila berasa badan semakin lemah dan doktor mengesahkan saya dijangkiti demam denggi," katanya yang dihubungi mStar Online pada Rabu.


Tambah Farish, buat masa ini dia masih lagi mendapat rawatan lanjut di pusat perubatan berkenaan dan doktor mengambil contoh darah bagi memantau demam tersebut.

Sementara itu, Farish yang juga pelakon drama Kau & Aku berkata, dia akan ditahan beberapa hari lagi untuk memastikan dirinya benar-benar pulih sepenuhnya.

"Walaupun platlet darah 150 bpl (billion perliter), tetapi kiraannya semakin rendah. Suhu badan saya pun tidak menentu, ada masa naik dan turun.

"Itu membuatkan saya masih lagi ditahan. Diharap saya dapat segera pulih dan dapat sambung kerja seperti biasa" ujarnya.

Selain itu kata Farish, dia juga meluahkan rasa risau sekiranya isteri dan anaknya turut terkena penyakit itu.

"Harap-harap, isteri dan anak saya tak terkena denggi. Semalam, salah seorang wakil daripada Jabatan Kesihatan KK telah mendapatkan maklumat ke mana saya pergi sepanjang seminggu ini.

"Difahamkan mereka akan buat semburan sekitar kawasan rumah saya dan pejabat," ujarnya.

Sepanjang ketiadaan Farish, gandingannya Lotter akan mengendalikan segmen Ceria Pagi Sabah secara sendirian.

Previous Post Next Post