Impian diva Janna Nick


Tidur - Sekiranya terdapat masa terluang di set penggambaran, Janna selesa tidur seketika bagi merehatkan minda.

KEHADIRANNYA mula disedari setelah membintangi drama bersiri Syurga Nur menerusi slot Akasia. Dengan gaya lakonan bersahaja, kredibiliti pelakon Janna Nick berjaya mencuri perhatian penggiat seni tempatan.

Ironi, itu bukan naskhah pertama lakonannya. Sebaliknya, seperti kebanyakan pendatang baharu lain yang ikut popular menerusi slot tersebut, Janna antara yang diperhatikan.

Wanita itu bermula dengan telemovie Cinta Vlog. Kemudian disusuli beberapa nakshah popular lain seperti Jodoh, Keluarga Karaoke dan Hidayahmu Ramadan.

Bagaimanapun, dia tenggelam. Namun kemunculan dalam Syurga Nur dengan imej bertudung dan lakonan mantapnya membuat banyak pihak mula memperhatikan kemampuan bakat baharu ini.

Janna juga disangka memang berhijab seperti di dalam naskhah tersebut, sedang ironinya tidak. Wanita yang baru menginjak usia 21 tahun itu seorang yang lasak.

Memulakan kerjaya pada usia 18 tahun, Janna kini melihat fasa matang dunia lakonan setelah hampir tiga tahun menceburkan diri dalam lapangan hiburan tempatan.

Berusaha mengukuhkan kedudukan, pelakon berdarah kacukan Melayu, Cina dan Siam itu mengakui bersikap selektif terhadap tawaran yang datang supaya tidak dilabelkan stereotaip.

“Pada awal penglibatan, saya mengamalkan sikap tidak cerewet dalam pemilihan watak kerana itu sahaja tawaran yang diterima.

“Namun, kini setelah membintangi beberapa naskhah membawa pelbagai watak menjadikan saya lebih bersikap selektif,” tutur Janna sambil melemparkan senyuman.

Meskipun wujud pertikaian tempoh kerjayanya masih tidak melayakkan Janna untuk memilih watak namun, wanita kelahiran Kedah itu punya pandangan sendiri demi menstabilkan kerjaya.

“Sikap selektif ini bukan bermaksud untuk berlagak sombong namun, itu adalah situasi yang berlaku sekarang. Syukur peluang yang diterima memberikan saya ruang untuk memilih watak,” tambah Janna.

Sanggup mengetepikan niat untuk melanjutkan pelajaran, bekas pelajar Kolej Teknologi YPC-ITWEB jurusan Asasi Pengurusan Perniagaan itu rela mempertaruhkan nasib dalam dunia seni tanpa memikirkan risiko pada masa hadapan.

“Alhamdullah, tawaran berlakon mula muncul setelah saya tamat pengajian. Keputusan itu dibuat kerana saya yakin peluang tidak datang dua kali.

“Pastinya saya ada merancang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah namun buat masa sekarang lebih baik tumpuan diberikan kepada kerjaya,” katanya yang kini sibuk menjalani penggambaran drama bersiri Aku Kau Kita.

Sesekali dilihat membetulkan rambut, penampilan baharu Janna dengan gaya potongan rambut pendek itu nyata berbeza dengan awal kemunculannya.

Mengetepikan imej wanita ayu dan demi menzahirkan watak Iman Firdaus dalam Aku Kau Kita dengan sempurna, Janna sanggup memotong rambut agar kelihatan selari dengan penceritaan karya adaptasi noval tulisan Orkid Edyliyne.


Didakwa diva

Gembira dengan sambutan baik daripada peminat mengenai imej baharunya itu, reaksi wajah Janna mula berubah saat diusik dengan soalan bersikap diva dan bermulut lantang.

Mengambil sedikit masa untuk menyusun kata, Janna ha­nya mempamerkan reaksi bersahaja dan sesekali melepaskan ketawa kecil.

“Sejujurnya saya tidak tahu bagaimana isu tersebut boleh timbul memandangkan segala­nya berada dalam keadaan baik sahaja.

“Saya tidak mempunyai masalah dengan kru produksi mahupun pelakon lain, jadi pas­tinya perkara itu satu tuduhan tidak berasas,” kata Janna menjelaskan khabar angin tentang dirinya mula bersikap diva.

Biarpun tuduhan tersebut ibarat satu mimpi buruk, namun bagi Janna istilah diva itu ibarat doa agar kerjayanya mampu bertahan lama sama seperti pelakon hebat kegemarannya, Nabila Huda dan Vanidah Imran.

Sementelah masih baharu dalam bidang seni, Janna menyifatkan segala yang diperkatakan sebagai lumrah dan asam garam bergelar anak seni. Sedikitpun dia tidak tersinggung mahupun mengambil serius tentang cakap-cakap nakal itu.

Perniagaan

Memiliki sikap yang tidak lekang dengan senyuman dan petah bercerita, pemilik nama sebenar Nurul Jannah Muner bagai mendapat suntikan tenaga tambahan apabila diminta bercerita tentang perjalanan hidupnya 10 tahun akan datang.

Menanam impian untuk memiliki perniagaan sendiri, Janna akui hasratnya bergelar usahawan banyak dipengaruhi oleh keluarga.

Biarpun darah usahawan itu mengalir dalam dirinya, Janna bagaimanapun memilih untuk menguruskan bidang perniagaan berbeza berbanding bapanya yang menguruskan sektor pertanian dan pembalakan.

Janna juga tidak menolak mewujudkan rumah produksi sama seperti mentornya, aktres Sheila Rusly.

Bagaimanapun, baginya tempoh 10 tahun itu masih belum cukup melayakkan dirinya membuka rumah produksi sendiri. Pelbagai perkara perlu diambil kira khususnya pada peringkat belakang tabir.

Dalam usaha menghasilkan sebuah naskhah berkualiti, baginya ketahanan mental dan fizikal tanpa mengenal erti penat lelah menjadi kriteria penting bergelar penerbit.

“Sekiranya diminta untuk bercerita mengenai dunia belakang tabir, dengan pengalaman yang sedia ada, ini pasti tidak layak untuk saya mengupas isu tersebut.

“Biarpun begitu saya tidak menafikan sekiranya telah bersedia untuk menggalas tanggungjawab penerbit, Insya-Allah, impian tersebut pasti terlaksana,” katanya penuh yakin sambil tersenyum.

Tolak jodoh satu industri

Selain bercerita mengenai percaturan kehidupan dalam tempoh 10 tahun mendatang, Janna tidak menolak pada usianya mencecah 30 tahun, dia telah berumah tangga.

Menjadi lumrah masyarakat Melayu, meskipun dikejar dengan arus kemodenan, sikap perigi mencari timba masih menjadi satu stigma buruk sekiranya pihak perempuan yang dilihat ‘galak’ bercerita.

Menghela nafas sedalam mungkin, Janna hanya mampu tersenyum sambil melepaskan renungan tajam sewaktu dikaitkan dengan gandingannya dalam drama Syurga Nur, Azrel Ismail.

Cukup sekadar menganggap lelaki tersebut sebagai rakan seperjuangan, Janna mele­takkan prinsip menolak jodoh dalam satu industri.

“Tidak bermaksud melawan takdir, namun kehidupan sebagai anak seni kini banyak memberi gambaran kesukaran untuk meneruskan perkahwinan sekiranya kedua-dua terlibat dalam industri yang sama.

“Secara peribadi, setelah melibatkan diri dalam dunia lakonan, saya banyak menghabiskan masa di set penggambaran berbanding keluarga,” jelas Janna.

Mengusik mengenai pemilik kunci hatinya, Janna mengakui sedang selesa berstatus solo. Tidak terburu-buru dalam mencari cinta, dia yakin jodoh akan datang tanpa dirancang.

Previous Post Next Post