Keith Foo Rancang resepsi sederhana



Keith FOO buat pertama kali memperkenalkan isterinya, Kim Raymond dalam majlis hiburan ketika hadir ke malam gala filem Girlfriend Kontrak di Mutiara Damansara, Selasa lalu.

BIARPUN terlebih terlebih dulu mencipta nama di rantau orang, pelakon Keith Foo kini mengukuhkan kedudukan sebagai pelakon versatil di persada seni tempatan.

Saat namanya semakin mekar, Keith tidak terlepas daripada cerita sensasi. Terbaharu, industri hiburan digemparkan dengan pendedahan status hubungannya dengan si kekasih hati, Kim Raymond.

Mengakui telah berkahwin dengan Kim, Keith bertegas, merasakan dia tidak pernah berniat untuk merahsiakan status perkahwinannya daripada pengetahuan media.

Bagi Keith, cukuplah perkara itu diketahui kedua-dua belah keluarga, malahan ada segelintir pihak media sedia maklum perkara tentang perkahwinannya.

Rancak bercerita soal peribadi, Keith juga tidak dapat menyembunyikan perasaan gementar terhadap reaksi dan sambutan peminat mengenal lakonannya dalam filem Girlfriend Kontrak.

Menjadi filem pertama yang memberi kepercayaan kepadanya memegang peranan hero di Malaysia, Keith sedia berlapang dada menerima sebarang kritikan daripada peminat mahupun pihak media.


Artis Meletop!: Dua minggu lalu industri hiburan dikejutkan dengan pengakuan Keith yang telah berkahwin hampir setahun. Mengapakah agaknya cerita bahagia dirahsiakan sebegitu lama?

KEITH FOO: Saya mengakui telah berkahwin dengan Kim Raymond, namun berita mengatakan usia perkahwinan kami telah lebih setahun itu tidak benar. Sejujurnya kami mendaftar perkahwinan pada 21 Disember 2014. Jadi, secara logiknya usia perkahwinan kami masih belum cukup setahun. Saya bukan mahu merahsiakan, tetapi prinsip saya lebih suka meletakkan sempadan antara kerjaya dan kisah peribadi.

Bolehkah kongsikan sedikit kisah perkenalan dengan Kim?

Kami sudah lama berkenalan. Awalnya saya rapat dengan abang Kim. Disebabkan kerap menghabiskan masa bersama abangnya, secara tidak langsung saya mengenali Kim. Tempoh perkenalan kami sudah mencecah 13 tahun. Tambahan, kami tidak terputus hubungan biarpun ketika itu saya bekerja di Indonesia.

Setelah bergelar suami, bagaimanakah kehidupan anda sekarang?

Tidak ada apa yang berubah kecuali nilai tanggungjawab sebagai pasangan suami isteri. Saya gembira kerana selepas berkahwin, secara tidak langsung dia (Kim) banyak membantu dalam urusan jadual kerja termasuk menjadi penasihat fesyen saya. Dia merupakan individu yang banyak menyokong dalam sebarang apa perkara yang saya lakukan.

Selepas mengumumkan status perkahwinan, tidakkah kalian merancang untuk mengadakan majlis resepsi?

Segalanya masih dalam peringkat perancangan dan bergantung kepada jadual kerjaya masing-masing. Tambahan kami sendiri masih tidak mempunyai tarikh tetap untuk mengadakan majlis resepsi. Jika berkesempatan, kami akan melangsungkan majlis resepsi sekitar penghujung tahun nanti, atau awal tahun depan. Ia hanya sebuah majlis kecil-kecilan yang dilakukan secara sederhana, dihadiri ahli keluarga, kenalan rapat dan media. Tidak perlu berbelanja besar sehingga digelar Wedding Of The Year kerana itu semua satu pembaziran. Lebih baik simpan duit buat simpanan atau perancangan untuk masa depan.

Adakah kalian merancang untuk mempunyai anak dalam tempoh terdekat?

Segalanya bergantung kepada Tuhan. Jika ditakdirkan kami akan mempunyai anak dalam tempoh terdekat, kami menerima dengan hati terbuka dan gembira.

Umum mengetahui anda telah berumah tangga, tidak bimbangkah status suami orang akan menjejaskan populariti dan risiko kehilangan peminat?

Stigma itu tidak benar kerana perkahwinan akan berlaku kepada sesiapa sahaja. Oleh itu, pertukaran status daripada bujang kepada berkahwin tidak akan menjejaskan kerjaya seni seseorang. Sebaliknya, bergantung kepada kualiti kerja dan cara pembawaan diri dalam industri, sekali gus ia juga salah satu cara untuk mengekalkan populariti.

Beralih terhadap soal kerjaya, bolehkah anda kongsikan tentang pengalaman berlakon dalam filem Girlfriend Kontrak sementelah filem itu merupakan kemunculan pertama anda sebagai pelakon utama?

Ia merupakan sebuah filem romantik komedi yang berbeza daripada filem lain. Diharapkan karya ini akan menjadi fenomena kerana terdapat beberapa babak ‘luar biasa’ dan menarik di dalamnya. Bagaimanapun, saya bersedia menerima sebarang kritikan kerana apa sahaja pandangan akan membantu perkembangan kerjaya saya.

Anda semakin aktif mencipta nama di Malaysia, bagaimana pula kerjaya di Indonesia?

Pastinya tumpuan saya lebih kepada kerjaya di Malaysia berbanding di Indonesia. Di sinilah negara kelahiran saya. Namun, itu tidak bermakna saya menutup buku kerjaya di Indonesia.

Saya juga bakal tampil dengan filem baharu bertajuk Langit Cinta arahan Osman Ali pada Januari tahun depan dan sebuah drama bersiri 26 episod berjudul Keluarga Pontimau tidak lama lagi.

Previous Post Next Post