Khir Toyo Tawar Rawatan Pergigian Ganti Hukuman Penjara



Mahkamah Persekutuan pada Selasa menangguhkan hukuman terhadap Dr Mohamad Khir Toyo sehingga 29 September ini selepas mengekalkan sabitan atas kesalahan untuk mendapatkan diri dan isteri dua lot tanah dan sebuah banglo di Shah Alam, lapan tahun lepas.

Pada tarikh itu, bekas menteri besar Selangor akan mengetahui nasibnya sama dia akan dipenjarakan atau didenda atau hanya menjalani perintah khidmat masyarakat.

Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan, yang dipengerusikan oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, mengekalkan sabitan Dr Mohamad Khir, 50, terhadap pertuduhan tetapi menangguhkan keputusan bagi menjatuhi hukuman.

Zulkefli berkata mahkamah tidak mahu terburu-buru untuk membuat keputusan mengenai hukuman kerana panel mahu meneliti hujahan rayuan yang dikemukakan oleh peguam dan timbalan pendakwa raya.

Dr Mohamad Khir, bapa kepada enam orang anak, merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapatinya bersalah dan menjatuhi hukuman penjara 12 bulan kerana menggunakan kedudukannya sebagai menteri besar untuk mendapatkan hartanah tersebut bernilai RM6.5 juta dengan harga RM3.5 juta pada 2007.


Dr Mohamad Khir kemudian membawa perkara itu ke Mahkamah Persekutuan selepas gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan pada 30 Mei, 2013.

Semasa mitigasi sebelumnya, peguam Dr Mohamad Khir iaitu Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah meminta mahkamah tidak memenjarakannya tetapi sama ada mengenakan denda atau memerintahkan dia menjalani program khidmat masyarakat.

"Mahkamah mungkin memilih untuk mengenakan denda yang berat tetapi harus mempertimbang untuk membenarkan dia membayar denda secara ansuran," kata beliau.

Beliau berkata berdasarkan kes undang-undang, hukuman alternatif lain yang mahkamah boleh jatuhi ialah menjalani program khidmat masyarakat.

Muhammad Shafee menjelaskan bahawa anak guamnya, seorang doktor gigi, telah memberi jaminan bahawa dia bersedia untuk melakukan khidmat masyarakat untuk tempoh yang ditetapkan oleh mahkamah dengan memberi perkhidmatan pergigian percuma kepada penduduk miskin.

"Saya mencadangkan tempoh antara satu hingga dua tahun, untuk sekurang-kurangnya tiga hari seminggu," kata beliau dan menambah anak guamnya bersedia menawarkan perkhidmatan pergigian di kawasan pilihan raya yang pernah diwakilinya dahulu atau mana-mana kawasan di Selangor.

Previous Post Next Post