Momentum karier Nazim Othman



TENTANG HATI - NAZIM masih akrab dengan bekas kekasih dan rakan seperjuangannya, Bella Daly (kiri). Namun dia tidak berani meletakkan sasaran wanita itu sebagai jodohnya kelak.

SEMALAM, usia Nazim Othman genap 31 tahun. Barangkali, sewaktu jarum jam berdetik melepasi pukul 12 tengah malam, suara kecil di bibirnya mudah menyifatkan pertambahan usia yang dialami pada tahun ini sama seperti tahun-tahun terdahulu.

Namun, di satu sudut dalam lebih dewasa yang mula bercambah dalam diri sewaktu mula disahkan menghidap ketumbuhan pada bahagian belakang mata kanannya sekitar awal Januari lalu.

Ujar Nazim, selepas ketumbuhan tersebut berjaya dibuang menerusi pembedahan, kehidupannya bertambah tenang.

“Ia merupakan ujian terberat yang pernah saya lalui setakat ini. Melewati fasa tersebut beberapa bulan lalu menjadikan saya lebih sedar tentang betapa pentingnya menyayangi diri dan tidak terlalu memikirkan hal orang lain.

“Jika dahulu saya kerap melenting dan bersifat pemarah, kini, saya lebih suka mendiamkan diri dan cepat melupakan kesalahan orang. Saya tidak kisah jika ada yang masih bercakap buruk tentang diri saya. Sejujurnya, tiada siapa yang perlu saya takut melainkan Allah,” ujarnya.


Tukar kerjaya

Beberapa bulan selepas menjalani pembedahan dan sembuh sepenuhnya, hati Nazim pernah berdetik perlahan, menyuarakan secupak hasrat untuk kembali menjengah karier lamanya sebagai seorang pramugara yang ditinggalkan sekitar 12 tahun lalu.

Ketika itu, gerak hatinya masih bergelojak resah, berkira-kira sama ada mahu menitikkan tanda noktah terhadap bidang seni yang selama ini telah menaikkan namanya sebagai pelakon.

Bagaimanapun, Nazim lebih mempercayai ketentuan yang telah ditakdirkan berbanding mendengar ketukan firasat yang belum tentu menjamin masa depannya.

“Sewaktu sedang bercuti selepas sembuh daripada pembedahan, saya terfikir untuk kembali bergelar pramugara. Bukan sebab sudah bosan berlakon, tetapi saya sukakan bidang tugas seorang kru kabin. Tambahan pula, saya memang gemar mengembara.

“Jadi, selepas menghantar resume, saya dipanggil untuk menghadiri temuduga untuk dua syarikat penerbangan berbeza.

“Begitupun, saya tidak diterima untuk menyertai kedua-dua syarikat penerbangan tersebut. Namun, saya percaya, ada hikmah di sebalik ketentuan Tuhan,” katanya.

Kongsi Nazim, semangat dan dorongan daripada rakan-rakan turut dijadikan panduan untuk terus memacu karier dalam bidang lakonan.

Ungkap pelakon drama Kau Yang Terindah itu, peluang ada di mana-mana dan dia mempercayai setiap hakikat yang disuratkan untuknya.

“Rakan-rakan banyak memberikan semangat. Mereka juga memberitahu agar saya meneruskan kerjaya saya sebagai pelakon.

“Dengan semangat yang diberikan, saya percaya dunia lakonan merupakan kerjaya terbaik untuk saya kini,” ujarnya dengan nada positif.




Mahu kahwin

MUSIBAH - MENERUSI Laman Instagramnya, Nazim mendedahkan beberapa keping gambar dirinya selepas menjalani pembedahan craniotomy yang dilakukan pada bahagian kepala kerana ketumbuhan pada Mac lalu. Nazim bagaimanapun kini sudah pulih sepenuhnya.

Selain memanjat doa agar diberikan kesihatan yang baik dan rezeki yang berpanjangan, Nazim turut meluahkan kesediaan untuk mendirikan rumah tangga sempena kedatangan hari lahirnya.

Ujarnya, dia meletakkan soal jodoh pada takdir dan menerima setiap ketentuan dengan jiwa terbuka.

“Sudah tentu saya ingin berkahwin dan mempunyai sebuah keluarga. Namun, saya menyerahkan soal jodoh kepada takdir,” katanya.

Mengimbas kembali kisah percintaannya, Nazim pernah menjalinkan hubungan istimewa dengan pelakon Bella Dally sekitar 2013. Hampir setahun memadu kasih, mereka akhirnya mengambil keputusan untuk memutuskan hubungan tersebut dan membawa haluan masing-masing.

Begitupun, kedua-duanya selebriti itu kekal bersahabat dan masih berhubungan dengan baik sehingga ke hari ini.

Ditanya adakah bekas kekasihnya itu bakal kembali mengisi kekosongan hati, Nazim berkata, dia tidak menolak mereka dijodohkan bersama.

Namun, Nazim enggan berbicara lanjut mengenai jodoh dan meletakkan sebarang harapan apabila disoal tentang cinta.

“Jika benar dia (Bella) jodoh saya, syukur kepada Allah. Sebenarnya susah mahu cari orang yang boleh menerima perangai saya yang macam monyet,” ujar Nazim dalam nada berseloroh.

Duta

Bercakap mengenai pelantikannya sebagai duta produk Himalaya, pelakon drama Gerimis Salju Naminara itu berasa sungguh berbesar hati kerana kempen yang dijalankan syarikat tersebut sangat dekat dengan minatnya terhadap bidang penerbangan.

Menerusi kempen yang diberi judul #HCinta3x itu, Nazim digambarkan sebagai seorang juruterbang yang jatuh cinta terhadap seorang pramugari.

“Mungkin pihak Himalaya telah melakukan kajian dan melihat akaun Instagram saya.

“Jadi, obsesi saya terhadap dunia penerbangan akhirnya terbayar apabila dipilih untuk mewakili produk daripada syarikat tersebut,” katanya.

Sepanjang tempoh tiga bulan bergelar duta, Nazim bakal mengikuti promosi jelajah yang dianjurkan Himalaya ke seluruh negara.

Dalam perkembangan lain, Nazim kini sedang sibuk menjalani penggambaran sebuah drama bersiri berjudul Akulah Balqis.

Menerusi drama arahan Erma Fatima tersebut, Nazim yang bergandingan dengan Puteri Balqis Azizi, Nabila Huda, Aeril Zafrel dan Nadia Brian itu turut membawakan watak sebagai seorang juruterbang bernama Adi.

Ujar Nazim, watak tersebut ditawarkan kepadanya seminggu selepas kempen #HCinta3x dijayakan bersama Himalaya.

“Saya betul-betul tidak sangka bakal membawakan watak seorang pilot dalam dua produksi berbeza.

“Bagaimanapun, saya anggap peluang ini sebagai rezeki,” katanya menutup bicara.

Previous Post Next Post