Peniaga Petaling Street Puji Polis


Pemilik perniagaan dan peniaga di Petaling Street memberi pujian kepada pihak polis di atas ketekunan dan profesionalisme pasukan itu dalam menjaga keselamatan semasa perhimpunan Himpunan Rakyat Bersatu Rabu lalu.

Perhimpunan berkenaan menyaksikan ribuan penunjuk perasaan cuba melepasi sekatan polis untuk bergerak ke Petaling Street yang turut terkenal sebagai Chinatown.

Bagaimanapun perbuatan berkenaan berjaya dihalang pihak polis.

Pelancong Australia Robyn, 50, berkata dia berada di Petaling Street pada Rabu lalu dan melihat kekecohan itu.

"Tetapi kita berasa selamat kerana kehadiran anggota polis," kata Robyn yang bersama suaminya.


Seorang penjual akhbar yang hanya mahu dikenali sebagai Raymond berkata dia kagum dengan pihak polis.

Atas sebab-sebab keselamatan, dia memilih untuk menutup perniagaannya namun tetap hadir bagi memastikan tiada perkara buruk berlaku di tempat dia menjalankan perniagaan kecilnya.

"Polis melakukan kerja mereka dengan baik. Saya amat gembira dan sentiasa memberi sokongan kepada mereka," kata Raymond, 40.

Seorang penyelia, Idris Omar, 41, berkata pihak polis benar-benar baik dan berdedikasi.

Katanya pihak polis bermalam di hotel di mana Idris bekerja.

"Polis mengambil syif rondaan jalan di awal pagi.

"Apabila perhimpunan itu berlaku, kita masih jalankan perniagaan tetapi tiada apa yang serius berlaku. Tidak ada yang rosak," kata Idris.

Previous Post Next Post