Pilihan realistik Zahirah MacWilson



LONJAKAN populariti jenama Zahirah MacWilson sebagai pendatang baharu dalam lapangan seni hiburan tempatan semakin ketara selepas membintangi drama bersiri Mencintaimu.

Menggalas tanggungjawab sebagai Anissa, kepercayaan yang diberi tidak disia-siakan, sementelah darah seni yang mengalir dalam tubuhnya dijadikan ‘senjata’ untuk terus menawan bidang lakonan.

Dilahirkan di Kuala Lumpur, sekitar umur dua tahun, Zahirah bersama keluarga berpindah ke Yorkshire, Britain sebelum menghabiskan usia remajanya di Perth, Australia.

Biarpun 18 tahun menetap di luar negara, Zahirah tidak kekok berbahasa Malaysia, sementelah menjadikan bahasa ibunda untuk berkomunikasi dengan ahli keluarga yang lain.

Merupakan puteri sulung kepada pelakon dan personaliti televisyen, Zainol MacWilson, kelebihan itu sedikit mampu menjadi sandaran buatnya memperoleh kedudukan selesa dalam industri.

Bagaimanapun, pemilik nama lengkap Nur Zahirah Macwilson Zainol tidak memilih jalan mudah dengan menggunakan kelebihan yang ada untuk bergelar anak seni.


Sebaliknya, keputusan untuk terjun dalam bidang seni tidak dibuat secara terburu-buru. Dia mengambil masa selama dua bulan memikirkan perkara itu semasak-masaknya.

Memulakan langkah pertama sebagai anak seni sekitar Februari lalu, episod pertamanya bergelar pelakon terzahir drama bersiri adaptasi novel bertajuk Mr. London Ms. Langkawi terbitan Global Station.

Biarpun diberikan peranan sebagai pelakon pembantu, perjalanannya melebarkan sayap ke dunia hiburan seperti mendapat lampu hijau. Dia kini dihujani tawaran lakonan, malah diberi mandat menjayakan watak utama.

Bak kata pepatah, ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Zahirah benar-benar sedang meniti jalan sama dan berkongsi minat dengan bapanya dalam lapangan seni sebagai pelakon.

Dia bahkan menjadikan bapanya sebagai guru. Akui Zahirah, dia tidak menghadiri sebarang kelas lakonan, sebaliknya menggunakan ilmu yang dipelajari sewaktu di bangku sekolah tinggi sebagai bekalan memantapkan kerjaya.

"Buat masa sekarang saya tidak merancang untuk menghadiri sebarang kelas lakonan, namun ada berniat untuk ke arah itu pada masa depan.

"Pengalaman mengikuti kelas drama sewaktu bersekolah di Sekolah Tinggi Senior Woodvale, Australia digunakan sebaik mungkin bagi membantu memperbaiki mutu lakonan," jelas wanita berusia 20 tahun itu.


KEGEMARAN: Menggemari hidangan daging panggang sebagai menu wajib, Zahirah sering berkunjung ke restoran T.G.I. Friday’s untuk menikmati makanan tersebut.

Terkesan dengan kritikan

Berusaha membaiki kualiti lakonan, seboleh-boleh Zahirah cuba memastikan untuk menonton semula hasil kerjanya walaupun secara dalam talian disebabkan kekangan waktu untuk menonton di televisyen.

Menerima kritikan dengan hati terbuka, sebagai manusia biasa Zahirah tidak dapat lari daripada berasa kecewa. Sesekali dia terkesan dengan ‘bedilan’ pedas peminat terutama di laman sosial.

Istilah pelakon kayu mahupun hanya bermodalkan wajah, pastinya kata-kata pedih yang tidak dapat diterima Zahirah. Bagaimanapun, segala kritikan dijadikan pembakar semangat untuk menjadi lebih baik.

"Kritikan negatif itu pastinya lumrah buat pendatang baharu seperti saya.

"Awalnya saya mengambil keputusan untuk menyekat pengguna akaun di laman sosial yang sering melemparkan kata-kata negatif. Tetapi, kini segalanya dibiarkan sahaja kerana setiap individu mempunyai pendapat masing-masing," katanya sambil menghela nafas dan melepaskan ketawa kecil.


KEMAHIRAN Menjadikan aktiviti memasak sebagai hobi, Zahirah hebat ‘menjinakkan’ sudip dan senduk dan memiliki kemahiran menyediakan hidangan masak lemak cili api yang dipelajari daripada ibunya sejak berusia 14 tahun.

Tepis spekulasi cinta Zul Ariffin

Biarpun menjadikan lakonan sebagai kerjaya utama, Zahirah tetap mengutamakan amanah keluarga yang mahukan dirinya menamatkan pengajian, sekali gus membawa pulang segulung ijazah.

Masih bergelar penuntut tahun akhir dalam jurusan Pengurusan Sumber Manusia di Universiti Curtin, Perth, Australia, wanita yang selesa membahasakan diri sebagai Ira itu tidak mahu tercicir dalam bidang akademik walaupun kini bergelar pelakon.

Kuliah dan jadualnya kelasnya diikuti secara dalam talian dan jarak tidak membataskan Zahirah untuk meneruskan pengajiannya demi melunaskan harapan orang tua.

"Pendidikan memberikan peluang untuk kita merancang masa depan lebih baik, sementelah kerjaya pelakon pula merupakan kerjaya yang sukar diramal.

"Tambahan, menjadi impian keluarga untuk melihat saya tamat pengajian dengan cemerlang, sekali gus merancang masa depan yang lebih baik," katanya.

Asyik dilihat membetulkan rambut, Zahirah melepaskan ketawa besar saat ditebak soal cinta. Sekelip mata wajahnya berubah kemerah-merahan menahan malu.

Wanita kacukan Melayu-Australia itu kelihatan seperti hilang punca saat mencari jawapan terbaik agar rahsia hatinya tidak diketahui umum.

Melepaskan pandangan sejauh mungkin, Zahirah akhirnya membuka mulut untuk berbicara tentang cinta. Mengakui masih solo, pengalaman cinta monyet menjadikan dirinya cukup berhati-hati dalam memilih pasangan.

"Cukup sekadar lelaki itu setia dan tidak suka menipu cukup buat saya. Namun, buat masa sekarang tumpuan lebih diberikan kepada kerjaya dan tanggungjawab sebagai pelajar.

"Tambahan keluarga turut tidak memberi sebarang desakan untuk berkahwin meskipun saya merupakan anak sulung dalam keluarga," jelasnya dalam nada tegas.

Jawapan tegasnya itu seakan-akan mematikan spekulasi wujud hubungan istimewa antara Zahirah dengan pelakon kacak, Zul Ariffin yang merupakan kekasih kepada Gayatri Su-Lin Pillai.

"Tiada apa yang perlu dijelaskan mengenai perkara itu. Namun, selepas tersebarnya berita tersebut, akaun Instagram saya digodam oleh pihak tidak bertanggungjawab," tambahnya.

Bagi Zahirah, dia menetapkan tangga usia 25 tahun untuk menamatkan zaman bujang dan jika sudah ketentuan bertemu jodoh dengan pasangan sealiran dalam industri, dia juga tidak menolak kemungkinan tersebut.

Baginya, persefahaman amat penting demi mengekalkan keharmonian institusi rumah tangga kerana masing-masing lebih memahami asam garam kehidupan bergelar anak seni tanpa perlu berselindung.

Gemar mengembara

Jika dinilai secara luaran, umum pasti menilai wanita berbibir seksi itu merupakan individu lemah lembut dan tidak gemarkan aktiviti lasak.

Bertegas menepis tanggapan stereotaip sebegitu, Zahirah mendefinisikan sifatnya sebagai wanita yang sukakan cabaran dan genar mengembara ke negara orang demi menimba pengalaman.

Memilih destinasi-destinasi seperti di Eropah dan Amerika Syarikat seperti New York sebagai lokasi utama percutian, Zahirah akan memastikan dia berpeluang menikmati masa berkualiti dengan keluarga dan kenalan jika ada peluang.

"Setiap kali bercuti panjang, saya bersama ahli keluarga akan bercuti ke luar negara untuk merehatkan minda di samping mempelajari budaya asing," katanya yang menjadikan bangunan bersejarah sebagai lokasi penting untuk dilawati setiap kali keluar melancong.

Bagaimanapun setelah hampir setahun menetap di Malaysia dengan hanya ditemani si bapa, kedua-duanya merancang untuk pulang ke Perth, Australia bertemu ibu, Maslina Mohd. Yusof dan tiga lagi adiknya di sana jika ada kelapangan.

Previous Post Next Post