Sebuah trofi dan sesuap nasi Amerul, Kodi



KODI dan Amirul, yakin setinggi mana populariti seseorang pelakon, kualiti cerita dalam karya ialah faktor kejayaan dan impak sesebuah filem.

Amerul Affendi dengan Terbaik Dari Langit (TDL), manakala Kodi Rasheed dengan Ophilia, judul-judul berkenaan cukup layak menjadi signatur kepada mereka. Bukan baru setahun dua berlakon filem, malah lebih utama, Amerul yang terdahulu diperkenalkan sebagai Muski Kuda Hitam dalam Bunohan merupakan karakter yang tidak mudah untuk lupus dalam ingatan (hanya kepada penonton Bunohan), di situ sudah terbukti jiwa aktor sejati yang dimiliki.

Lihat juga lakonannya sebagai remaja cacat dalam drama Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman dan watak syaitan dalam Psiko Pencuri Hati. Sungguh, semua itu adalah rakaman yang melayakkan lelaki kelahiran Temerloh, Pahang itu berdiri atas satu aras dalam barisan pelakon handalan milik negara.

Kodi pula, biarpun baru muncul dalam sebuah filem dan beberapa naskhah drama, namun di tangan Raja Mukhriz selaku pengarah Ophilia, sebahu juga dengan Pekin Ibrahim dan Que Haidar yang sekali gus guru lakonannya, Totoi digayakan dengan pesona. Diberikan watak pekak akibat tumbukan dan lurus bendul orangnya, namun sifat karakter yang dilunakkan dengan jujur itu membuahkan impak. Persembahannya melekat dan disayangi penonton sehingga membawa Kodi ke pentas Festival Filem Malaysia ke-27 (FFM27) menjulang trofi Pelakon Harapan Lelaki.

Guru dan pemuda naif bernama Toyu dalam TDL pula mengizinkan Amerul mencatatkan nama dalam lembaran Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik FFM27.


Amerul jual bakat

Anugerah yang agak besar itu diperoleh tidak semudah mematahkan pensel. Secara kasarnya, segala penumpahan tenaga dan cinta selama ini sudah ada harga di peta festival filem. Namun hakikatnya, industri dan khalayak dunia hiburan tempatan secara keseluruhannya belum cukup mesra mengenai nama mereka. Ibarat bintang yang tersembunyi dalam terang, mereka sebenarnya bergerak maju dalam senyap.

Melihat Kodi, 25, atau Amerul, 30, ibaratnya jauh panggang dari api jika mereka hendak dibandingkan dengan Farid Kamil atau Zul Ariffin yang digilai penonton. Ya, mereka tercampak ke belakang jika hendak dinilai berdasarkan sensasi berita, populariti atau jumlah pengikut Instagram. Mereka hanya ada bakat, tiada sensasi untuk didendangkan sebagai pelaris.

“Anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik yang diterima baru-baru ini agak besar dan menakutkan saya. Orang akan tengok betul-betul kerja dan karya saya yang lalu, mungkin akan dipertikaikan. Mungkin orang akan tengok ke depan, apa lagi benda yang hendak saya buat.

“Risau juga hanyut atau kecewa macam nasib yang menimpa pelakon-pelakon lain yang pernah menang anugerah tetapi kemudiannya tenggelam.

“Jika fikir begitu, saya jadi takut. Apa yang boleh saya buat adalah meneruskan perjuangan karier menerusi pergaulan dengan rakan-rakan sejiwa yang tetap mahu berkarya. Saya ambil inisiatif itu walaupun dalam keadaan susah, kami pegang karya yang dihasilkan,” jelas Amerul mula memikirkan nasib hari tua jika sudah tidak diperlukan industri kelak.

Kata Amerul, dia kini berjinak-jinak dengan pertanian. Beli tanah untuk tanam kepala sawit dan pisang.

Pelakon balik kampung tanam pisang! Itu satu percubaan yang menarik kata Amerul: “Siapa tahu apabila saya sudah tua nanti, tiada apa lagi yang boleh saya berikan kepada industri. Selain itu saya ada angan-angan mahu buka sekolah seni, itu angan-angan besar tapi saya cita-cita lain juga, sasaran saya ialah berlakon dengan produksi filem luar negara.”

Sebelum bicara terisi dengan bermacam topik menyentuhi pengaruh peminat dan isi karya, dua pelakon itu disuakan pertanyaan tentang penghargaan dunia seni berbanding kredibiliti bakat yang telah ditumpahkan, Amerul mengakui, penerimaan industri seni secara amnya terhadap dirinya masih tidak berbaloi berbanding tenaga dan komitmen yang telah diberikan.

“Saya tak marah, tetapi kecewa. Sebagai ahli Persatuan Seniman, apa usaha Seniman untuk perjuangkan hak pelakon contohnya ranking bayaran yang sepatutnya kami terima, tidak kiralah berdasarkan kekuatan profil kerja atau populariti, tetapi hak itu tidak diperjuangkan. Setiap pelakon sepatutnya ada tangga bayaran tertentu dan benda itu tidak diperjuangkan oleh persatuan yang mewakili kami. Itu kekecewaan paling besar saya.”

Sedikit kekecewaan bagaimanapun tidak meruntuhkan perjuangan Amerul. Biar tidak berbekalkan rupa atau fizikal berketak-ketak untuk dijual, kerja seni seperti teater dijadikan platform untuk menjual bakat. Peminatnya tidak terdiri daripada pemburu gosip atau cerita sensasi tetapi dalam kalangan khalayak telah secara sengaja atau tidak melihat lakonannya.

“Saya tidak pernah bersifat tertutup, hanya terima tawaran karya seni atau berat, saya buat drama komedi untuk kanak-kanak juga macam Cuak di Astro Ceria. Tapi mungkin sifat low profile dan tiada sensasi untuk dijual, jadi saya jual bakat sahaja. Kalau tiada tawaran, saya ikut guru saya, Nam Ron berlakon teater, itu cara saya jual bakat,” jelas Amerul.

Kodi mencari laluan

Jika Amerul mula berlakon sejak tahun 2008, perjalanan Kodi pula baru bermula. Bergurukan aktor Que Haidar setelah gagal permohonan masuk Akademi Seni Warisan dan Budaya Kebangsaan (Aswara), Kodi menyifatkan dia antara pelakon yang beruntung.

“Saya beruntung sebab jumpa Que, bekerja pula dengan Raja Mukhriz dalam Ophilia dan baru-baru ini sempat diajar Ellie Suriati semasa berlakon dalam filem Osman Ali berjudul Kau Yang Satu. Saya sebenarnya beruntung dari segi itu. Dapat trofi FFM baru-baru ini juga satu keberuntungan besar buat saya,” katanya.

Di sebalik keberuntungan itu, mula timbul suara-suara sinis yang entah memuji atau memerli.

“Lepas memang anugerah, ramai yang kata harga saya mesti naik. Ada pula yang memperkecil-kecilkan tugas pengurus peribadi tetapi dalam waktu sama mencadangkan dirinya menjadi pengurus peribadi saya, memandangkan pasti saya tidak menang tangan untuk menguruskan karier selepas menang anugerah.

“Sebenarnya, saya masih tiada sebarang tawaran berlakon selepas menang FFM,” ujarnya Kodi ketawa.

Berlainan situasi dengan Amerul, Kodi merasakan kailnya baru panjang sejengkal, jadi lautan luas ini sukar diduga.

“Saya jujur mahu jadi pelakon, sekarang saya sudah jadi pelakon dan masih terlalu baharu, apa-apa yang berlaku selepas ini harus ditempuh. Nasihat pelakon senior akan saya pegang, tapi bercakap soal penerimaan atau penghargaan dunia seni terhadap orang baharu macam saya, lain sikit.

“Saya pernah beberapa kali ditolak stesen televisyen apabila ada penerbit cadangkan nama untuk terlibat dalam sesebuah drama. Kata mereka, saya tak diterima kerana jumlah pengikut di Instagram tidak cukup ramai,” cerita Kodi.

Amerul turut tergelak mendengar cerita Kodi. Dia mengangguk setuju malah mengakui pernah berdepan situasi sama.

Selain mahu terus menerokai lebih banyak peluang dan ruang dalam industri, Kodi turut menginsafi pasang surut perjuangan artis dalam bidang seni.

Kata Kodi, biarpun anugerah atau trofi dinilai berdasarkan pencapaian dalam sesebuah karya, tetapi secara umumnya trofi ‘terbaik’ juga satu level baharu buat seseorang pelakon.

Maksud Kodi, industri jarang menilai makna ‘terbaik’ itu dengan sebaik-baiknya.

“Ada pelakon terbaik tetapi diberikan tawaran demi karya mereka dilihat bagus, tetapi sebaliknya. Bayaran pula adakalanya ‘menyedihkan’,” ujar Kodi.

Sedar masih baharu dan belum layak menilai industri, Kodi berharap, kejujurannya untuk terus menjadi pelakon akan terbentang dan dipermudahkan.

“Kita kena ambil peluang, sebab kita juga cari makan dalam industri,” celah Amerul sebagai penutup.

Previous Post Next Post