Siti Elizad Idam cahaya mata



SELEPAS hampir sembilan bulan mendirikan rumah tangga, aktres Siti Elizad mengimpikan untuk memiliki anak dalam kadar segera.

Situasi itu bertitik tolak daripada faktor usianya dan suami, Shamsul Baharin Rahman yang kian meningkat.

"Pada mulanya, kami ada merancang tentang perkara ini (anak).

"Tapi, memandangkan saya sudah pun berusia 31 tahun dan suami pula 43 tahun, jadi kami bersedia untuk menerima rezeki ini dalam secepat mungkin.

"Malah kami tidak pernah meletakkan sasaran bilangan anak yang kami mahukan. Kalau ditakdirkan ALLAH SWT hanya mahu memberikan kami seorang anak, kami menerimanya dengan penuh rasa syukur," katanya kepada Zass ketika ditemui sempena program kemasyarakatan kempen Travelling Beruang, baru-baru ini.

Bukan itu saja, pelakon filem Gangster ini turut mengakui semakin selesa dengan kehidupannya apatah lagi suaminya tidak pernah mengganggu kerjanya dan menghalang minatnya dalam dunia lakonan.


"Alhamdulillah, suami seorang yang sangat memahami meskipun saya sibuk dengan pelbagai aktiviti seni," katanya.

Dalam pada itu, populariti Siti Elizad kini kembali melonjak selepas membintangi drama Teman Lelaki Upahan, tahun lalu.

Sebelum ini, aktres yang mencipta nama menerusi filem Berlari ke Langit itu mengambil keputusan untuk berehat sementara daripada industri seni lantaran menjaga arwah ibunya, Nazariah Mohd Salleh yang menghidap Parkinson dan lumpuh.

Bagaimanapun, pelakon filem Castello ini yakin dengan setiap aturan yang telah ditetapkan oleh ALLAH SWT.

"Saya percaya dengan jalan yang diberi ALLAH SWT kepada saya. Kalau saya diberi tawaran yang banyak dulu, saya tak berpeluang untuk jaga arwah mama.

"Jadi, saya percaya pada hikmah itu. Sejak mama sakit, saya hentikan semua aktiviti seni untuk memberi lebih perhatian kepadanya," katanya.

Dalam perkembangan lain, Siti Elizad kini sibuk dengan penggambaran beberapa telefilem termasuk Travelling Beruang bergandingan dengan aktor, Ungku Ismail Aziz selain muncul sebagai pengacara bagi program Primadona, tidak lama lagi.

Previous Post Next Post