Zul Ariffin: Zahirah sekadar kawan biasa



MENEGASKAN tiada hubungan istimewa dengan pelakon baharu, Zahirah MacWilson, Zul sebaliknya menyifatkan spekulasi berkenaan hanya gosip remehtemeh

TANPA desas-desus, tiba-tiba sahaja pelakon berbadan sasa, Zul Ariffin dan jelitawan yang baru hendak meningkat naik, Zahirah MacWilson dikatakan mempunyai hubungan istimewa. Semuanya gara-gara sekeping gambar intim mereka berdua tersebar di laman sosial Instagram.

Gambar tersebut yang dirakam di pusat membeli-belah One Utama di ibu negara baru-baru ini menjadi viral dan perdebatan dalam kalangan peminat. Lebih dramatik lagi, situasi itu mengundang persoalan, adakah perhubungan cinta Zul dengan kekasihnya, Gayatri Su-Lin Pillai masih utuh atau sebaliknya.

Sebelum ini, Zul dikatakan mempunyai hubungan istimewa dengan pelakon kesayangan ramai, Ayda Jebat dek kemesraan melampau mereka dalam drama Rindu Awak 200%. Zul bagaimanapun sudah berkali-kali menyangkal dakwaan tersebut.

Mendapatkan pencerahan berhubung cerita sensasi terbaharu berkenaan, Kosmo! sempat merakamkan perbualan dengan hero pujaan ramai itu. Tidak melatah, jauh lagi berasa hairan berikutan kontroversi yang melanda dirinya, Zul menafikan kebenaran cerita tersebut.

Baginya, usahkan tertekan, dia juga tidak mahu mengambil berat spekulasi yang sengaja diperbesar-besarkan. Ujarnya, semua itu adalah asam garam yang terpaksa ditelan apabila menjadi seorang anak seni.



GAMBAR yang dimuat naik oleh peminat mencetuskan kontroversi percintaan di antara Zul dan Zahirah.

KOSMO!: Apa khabar Zul? Bagaimana keadaan kehidupan sekarang?

ZUL ARIFFIN: Alhamdulillah. Baik-baik sahaja. Kehidupan peribadi dan rutin kerja saya semakin lama semakin sibuk.

Boleh ulas sedikit komen tentang kemesraan anda dengan pelakon baharu, Zahirah MacWilson dalam sekeping tersebar dan menjadi viral di laman sosial kini?

Sebenarnya, kami tiada sebarang hubungan istimewa pun. Baru-baru ini, saya hanya terserempak dengan dia (Zahirah) secara kebetulan di One Utama, ketika saya baru keluar dari sebuah gimnasium. Saya kenal dia, jadi saya tegurlah. Bagi saya itu bukan satu kesalahan.

Jadi anda memang menafikan ada menjalin hubungan istimewa dengan Zahirah sebagaimana yang diperkatakan ramai?

Ya, memang tiada apa-apa hubungan di antara kami. Kami hanya rakan dalam bidang seni hiburan ini, tidak lebih daripada itu. Kebetulan pula, kami sama-sama terlibat dalam sebuah drama bertajuk Mr. London Ms. Langkawi sebelum ini. Jadi kalau saya terserempak dengan dia di mana-mana, tidak salah saya menegur kerana kami saling mengenali.

Anda sendiri sedar atau tidak bahawa kemesraan anda bersama Zahirah itu dirakam oleh peminat dan seterusnya tersebar di laman sosial?

Tidak dan saya malas mengambil berat hal remeh-temeh sebegitu. Tetapi saya sedar, sebagai artis, segala tingkah laku saya akan menjadi perhatian ramai. Jadi, selepas ini saya akan lebih berhati-hati.

Selepas kemesraan anda bersama Zahirah disalah tafsir, tidakkah situasi itu mengundang kekeruhan hubungan dengan si kekasih (Gayatri)?

Dia lebih tahu siapa saya sebenarnya. Dia faham kerjaya saya sebagai seorang pelakon dan hubungan kami baik-baik sahaja.

Bagaimana pula hubungan anda dengan Gayatri setakat ini, sudah ada perancangan ke arah yang lebih serius?

Alhamdulillah, segalanya berjalan dengan baik. Hampir empat tahun bersamanya, hubungan kami semakin erat. Doakan sahajalah yang terbaik buat kami berdua.

Bercakap soal perkembangan seni, apa yang terbaharu daripada anda?

Drama lakonan saya dengan Siti Saleha berjudul Uda dan Dara bakal ditayangkan di Astro tidak lama lagi. Saya lebih suka mengambil pendekatan, satu naskhah pada satu masa. Saya tidak mahu kemunculan saya mendatangkan kebosanan di mata peminat.

Previous Post Next Post