Adiba Yunus lega lakonan dipuji


Lima tahun berada dalam industri lakonan dengan beberapa naskhah filem yang telah dijayakan termasuk Nasi Tangas, Highland Tower, Badi dan terbaharu Banglo Berkunci, Adiba Yunus mengharapkan sinar yang cerah dihadapannya.

Hari-harinya kini kian sibuk dengan jadual lakonan yang disusun bagi memastikan perjalanannya sebagai seorang pelakon teratur cantik.

Atas sebab itu, dia enggan terlibat dalam kontroversi terutamanya yang mencalarkan namanya. Dia mahu dilihat serius sebagai pelakon berpaksikan bakat yang dimiliki.

“Pada saya, kontroversi memang sinonim dengan artis, bahkan ada yang mengakui dengan adanya kontroversi, seseorang artis itu akan popular. Mungkin sesetengahnya (artis) mahukan begitu tetapi saya lebih suka kalau bakat diketengahkan berbanding kisah kontroversi,” ujar pelakon berusia 27 tahun itu.

Semangat lakonan yang meresap di jiwa Adiba akhirnya membuahkan hasil. Watak Sarah, seorang gadis kampung tipikal, namun menyimpan sebuah misteri dalam filem Badi dikatakan berjaya dirasai penonton.


“Alhamdulillah, saya bersyukur bila orang puji macam itu. Jika lakonan saya dikatakan berjaya, ia bukanlah atas usaha saya seorang sebaliknya dibantu oleh pengarahnya, Eyra Rahman dan tenaga produksi lain.

“Sejujurnya, bukan senang membawakan watak Sarah. Saya kena menari Mak Yung sambil memberikan emosi menangis,” kongsinya mengenai filem Badi yang sedang ditayangkan di pawagam sejak 15 Oktober lalu.

Disoal sama ada Badi akan menjadi platform untuk dirinya lebih dikenali ramai selepas ini, Adiba hanya berserah. Baginya, popular atau tidak bergantung pada tuah seseorang pelakon itu.

“Bukan saya tidak berusaha, malah syarikat pengurusan saya iaitu Metrowealth (MIG) turut membantu. Pada saya, bukan semua artis boleh terus popular. Mungkin rezeki saya macam itu.

“Mungkin juga dahulu saya kurang bersosial dengan media mahupun peminat. Sekarang zaman makin mudah sejak adanya Instagram. Alhamdulillah, sekarang saya juga banyak buat drama. Jika dahulu saya banyak buat filem yang mana tidak semua penonton akan menontonnya berbanding drama,” ujarnya yang pernah tercalon menerusi Pelakon Harapan Wanita di Festival Filem Malaysia ke-27 (FFM27) itu dengan optimis.

Artikel Selepas
« Artikel Selepas
Artikel Sebelum
Artikel Sebelum »