Arif Dollah: Saya bukan phidofilia



SEKITAR awal Mac lalu, nama Arif Dollah cukup menjadi perhatian di Malaysia dek kerana dakwaan gangguan seksual yang dibuat oleh artis jagaannya, Tegar Septrian, yang juga penyanyi cilik dari Indonesia.

Beberapa hari kemudian, satu sidang media diadakan di Istana Budaya, Kuala Lumpur oleh Tegar bersama seorang penyanyi dari Singapura, Sufie Rashid atau Sufi yang juga juara Akademi Fantasia 2015.

Dalam sidang media terbabit, Sufi mendakwa, dia didera menerusi gangguan seksual yang lebih teruk daripada apa yang dihadapi Tegar ketika Arif menjadi pengurusnya semasa dia berusia 13 tahun dan perkara itu berterusan selepas Arif menjadi bapa tirinya selama setahun.

Ekoran dari dakwaan itu, Arif disoal siasat oleh pihak berkuasa Singapura.

Arif, 33, kemudiannya dituduh sebagai phidofilia; iaitu individu yang mempunyai keinginan seksual terhadap kanak-kanak.

Mengakui sedikit terganggu ketika awal kes ini diperkatakan, Arif berkata, dia mendapat kekuatan yang besar daripada ujian ini.

“Ketika awal, ada jugalah saya terfikir kenapa perkara ini berlaku kepada saya. Malah, ada yang mengatakan saya adalah seorang phidofilia. Ingin saya tegaskan saya bukan golongan seperti itu,” katanya ketika ditemui pada sidang media di Shah Alam, baru -baru ini.

Jelas Arif dengan lebih lanjut, sebelum dakwaan ini dibangkitkan, Tegar ada mengadu kepadanya seorang lelaki warga Malaysia pernah melakukan gangguan seksual semasa penyanyi itu membuat persembahan di ibu kota pada awal tahun ini.


“Semasa Tegar mengadu kepada saya, saya ada menasihati dia untuk berhati-hati. Bagaimanapun saya tidak dapat mengambil tindakan kerana tidak mempunyai bukti dan saya tidak nampak ia berlaku.

“Saya tidak akan mendedahkan identiti individu berkenaan namun, akan memastikan pihak itu tampil buat penjelasan,” katanya.

Justeru ujar Arif, dia agak terkejut apabila timbul dakwaan yang mengatakan dia melakukan gangguan seksual terhadap Tegar.

“Ketika awal kes ini dibangkitkan saya ada mencabar Tegar dan keluarganya membuat laporan polis dan mereka hanya membuat laporan yang mendakwa saya melarikan pasport dan duitnya.

“Kemudian bila dia buat sidang media di Jakarta, barulah ada pihak membawanya membuat laporan polis. Namun saya percaya, di sebalik semua ini ada yang menjadi dalang menghasutnya membuat dakwaan ini,” ujarnya.

Ujar Arif, selepas beberapa bulan, Tegar akhirnya membuat pengakuan kepada pihak berkuasa di Singapura bahawa segala kenyataan yang pernah dikeluarkan sebelum ini tidak berlaku.

“Berikutan kes itu saya membuka semula laporan polis dengan dakwaan bahawa Tegar sebelum ini memberi kenyataan palsu. Saya membuat laporan pada September lalu dan ia masih dalam siasatan,” katanya.

Cabar Sufi

Berkaitan kes Sufi pula, Arif berkata, dia dalam masa sama sedang mengambil tindakan mengemukakan saman malu terhadap penyanyi itu kerana mencemarkan namanya.

Dia juga mendesak Sufi mendedahkan kepada umum mengenai dakwaannya itu seperti yang diperkatakannya sebelum ini.

Arif berkata, jika benar dia melakukan gangguan seksual terhadap Sufi, penyanyi berkenaan mempunyai peluang melaporkannya kepada pihak polis ketika dia berpisah dengan bekas isterinya pada 2011.

“Ibunya pernah membuat laporan polis terhadap saya ketika kami berpisah pada 2011 dengan mendakwa saya melakukan keganasan rumah tangga. Mengapa ketika itu Sufi tidak melaporkan sekali tentang dakwaan saya melakukan perbuatan terkutuk terhadapnya?

“Saya cabar dia untuk melawan dan buktikan kebenaran apa yang didakwanya sebelum ini,” katanya.

Bagaimanapun, Arif akan menarik semula kes tersebut jika Sufi memohon maaf walaupun secara tertutup.

Artikel Selepas
« Artikel Selepas
Artikel Sebelum
Artikel Sebelum »