Crimson Peak sarat debaran



NAMA Guillermo del Toro dalam bidang perfileman Hollywood sememangnya bukan asing lagi. Merupakan penulis skrip, pengarah, penerbit, Toro merupakan antara individu belakang tabir yang cukup disegani.

Selepas tampil dengan filem-filem hebat seperti Blade 2, Hellboy, Pacific Rim dan menjadi penulis skrip untuk filem box-office seperti The Hobbit: An Unexpected Journey, The Hobbit: The Desolation of Smaug dan The Hobbit: The Battle of the Five Armies.

Toro kini kembali dengan filem Crimson Peak di mana dia bukan sahaja bertindak sebagai pengarah, tetapi juga penulis skrip, dan juga penerbit.

Berlatarkan abad ke-19 di Cumbria, Crimson Peak menampilkan barisan pelakon yang cukup hebat seperti Mia Wasikowska, Tom Hiddleston, Jessica Chastain dan Charlie Hunnam.

Filem yang digarap penuh misteri pada awalnya ini mengisahkan tentang Edith Cushing (Wasikowska) yang tinggal bersama bapanya Carter Cushin (Jim Beaver) selepas kematian ibunya ketika dia masih kecil. Namun beberapa minggu selepas kematian ibunya, roh ibunya telah kembali dan sering mengingatkannya untuk menjauhi Crimson Peak.

Tidak menyedari ia sebagai satu amaran, Edith terus membesar sebagai seorang penulis buku seram dan pertemuannya dengan seorang lelaki hartawan, Sir Thomas Sharpe (Hiddleston) telah menimbulkan bibit percintaan


Kematian bapa Edith, menyebabkan Edith memilih untuk berkahwin dengan Thomas, biarpun menyedari kawan baiknya, Dr. Alan McMichael (Hunnam) turut mencintainya.

Selepas berkahwin, mereka berpindah ke rumah agam Thomas yang dipanggil Allendale Hall. Selain Thomas, rumah itu turut didiami oleh kakaknya, Lady Lucille Sharpe.

Bagaimanapun pelbagai kejadian aneh berlaku kepada Edith sejak berpindah ke rumah tersebut.

Personaliti kakak iparnya yang dingin dan aneh turut mengundang perasaan curiga, lebih-lebih lagi apabila dia sering turun ke bilik bawah tanah seolah-olah menyembunyikan sesuatu di bawah sana. Malah, suami dan kakak iparnya turut melarangnya pergi ke bilik tersebut.

Namun, perasaan ingin tahu yang membuak-buak mendorong Edith untuk turun ke bawah dan dia sejak itu, satu persatu persoalan mula terungkai.

Secara keseluruhannya pada pandangan penulis, filem yang sarat dengan Imej Janaan Komputer (CGI) ini adalah sebuah filem yang cukup menarik untuk ditonton.

Sentuhan genre seram yang digabung dengan unsur romantik ini pada penulis agak segar untuk ditonton.

Bahkan keputusan Toro untuk meletakkan pelbagai unsur misteri dan persoalan pada awal cerita sebelum dirungkai satu persatu pada klimaks penceritaan adalah satu keputusan yang cukup tepat.

Biarpun tidak diceritakan dengan jelas mengapa ibu Edith mati dan mengapa rohnya kembali untuk memberi amaran kepada Edith tidak dirungkaikan sebaiknya, namun ia masih boleh difahami dengan baik.

Malah dengan sedikit sentuhan babak seram pada awal perjalanan filem sudah cukup berjaya menangkap perhatian penonton untuk terus menanti apakah itu Crimson Peak.

Dengan prop rumah agam yang cukup menyeramkan dan stail fesyen abad ke-19 sebenarnya sudah cukup memberi suntikan mood seram kepada penulis.


Hiddleston menyerlah

Seperkara lagi yang menarik perhatian penulis adalah lakonan mantap Hiddleston. Dengan lakonan bersahajanya, Hiddleston telah berjaya memperlihatkan satu sisi romantis yang ada di dalam dirinya.

Hanya dengan pandangan mata dan senyumnya, telah berjaya menyerlahkan watak Thomas dengan cukup berkesan.

Biarpun ada ketikanya dia masih belum berjaya mengikis watak Loki (Thor/The Avengers) dengan imej rupa yang hampir sama, namun kekurangan itu berjaya dilupakan apabila filem ini mula bergerak ke babak klimaks.

Manakala lakonan Wasikowska pula pada pandangan penulis agak berjaya apabila dia mengemudi sendiri wataknya. Bagaimanapun apabila dia bergandingan bersama Hiddleston, dia masih tampak janggal untuk berada di sisi aktor tersebut.

Bagaimanapun secara keseluruhannya, pada pandangan penulis, Crimson Peak tetap menarik untuk ditonton dan segala kelemahan kecil itu boleh dimaafkan.

Jadi bagi anda yang ingin mengetahui apakah yang terjadi kepada Edith? Dan apakah misteri sebenarnya yang berlaku di Allendale Hall? Apakah itu Crimson Peak?

Jangan lupa untuk mendapatkan jawapannya di pawagam.




Artikel Selepas
« Artikel Selepas
Artikel Sebelum
Artikel Sebelum »