Erma Fatima: Usah ditanya soal madu


RUMAH TANGGA Erma dan Bade yang telah dibina lebih 20 tahun kini kembali harmoni.

Sejak cerita pengarah wanita terkenal tanah air, Erma Fatima memfailkan perceraian terhadap suaminya, Bade Azmi pada Mei lalu, wanita itu keras mengunci mulut bercakap tentangnya.

Lagak mesra yang ditunjukkan pasangan yang sudah 27 tahun hidup bersama ini ketika malam Festival Filem Malaysia 27 (FFM 27) baru-baru ini, rupanya tanda-tanda awal kasih antara mereka bertaut semula.

Kehadiran Erma atau nama sebenarnya Fatimah Rahmad, 47, pada majlis sidang akhbar Ku Mohon di Bukit Kiara Equestrian Country Resort baru-baru ini, memberi peluang kepada Kosmo! mencungkil cerita tersirat di sebalik tindakan dia memohon untuk bercerai sebelum ini.


Artis Meletop!: Bagaimanakah hubungan anda dengan Bade sekarang?

Erma Fatima: Baik, kami tidak pernah bergaduh. Sebab itu, kami tiada masalah untuk bergurau senda bila berjumpa kerana memang hubungan kami elok-elok sahaja. Alhamdulillah, jodoh kami dipanjangkan kerana saya sudah mengambil keputusan untuk tidak meneruskan permohonan cerai sebelum ini.

Jika anda sebenarnya tiada masalah, bagaimana soal cerai boleh timbul?

Keputusan yang saya ambil itu kerana wujud masalah yang bukan berpunca daripada hubungan suami isteri antara saya dan Bade. Namun perlahan-lahan melibatkan saya dan mengganggu ketenteraman Bade. Saya tidak boleh bertolak ansur dengan masalah luar yang akan merosakkan kehidupan peribadi saya.

Adakah ini berkaitan dengan madu anda?

Maaf, saya tidak mahu mengulas lanjut tentang itu namun mulai sekarang, sebarang hal tentang hubungan Bade dengan isteri mudanya janganlah lagi dikaitkan dengan saya. Cukuplah saya campur tangan dan akhirnya memudaratkan diri sendiri.

Apakah yang membuatkan anda membatalkan niat untuk bercerai?

Kesungguhan suami yang benar-benar ingin menyelamatkan rumah tangga kami berdua. Dia jaga hubungan dengan saya walaupun selepas saya membuat permohonan cerai. Itu yang membuat hati saya tersentuh dan mengambil keputusan untuk memberi peluang kembali bersamanya.

Bagaimanakah perasaan anak-anak dalam hal ini?

Semestinya sangat gembira kerana sebelum ini pun mereka ada bercakap dengan saya dan Bade supaya jika boleh jangan berpisah. Walaupun mereka berlima hanya anak angkat tetapi kami adalah ibu bapa mereka sejak kecil dan mereka tidak mahu keluarga berpecah belah.

Apakah nasihat anda pada mereka yang bermadu di luar sana?

Hormatilah madu anda, jangan melakukan sesuatu yang boleh membuat hati suami sedih dan meletakkan dia dalam keadaan serba salah. Sedar di mana anda berdiri dan tahu hak anda setakat mana.

Boleh ceritakan projek terbaharu anda?

Saya akan mengarahkan teater Mok Cun di Istana Budaya bermula 14 hingga 25 November ini dan dalam masa yang sama sedang merangka Mok Cun versi drama bagi musim kedua.

Previous Post Next Post