Erra Fazira enggan terburu-buru



SELEPAS rumah tangga yang dibina berakhir awal tahun lalu, nama ratu filem tanah air, Erra Fazira sering kali dikaitkan dengan beberapa selebriti lelaki seperti Amar Baharin dan Shahir.

Menafikan khabar angin yang tersebar, Erra bagaimanapun akhirnya membuka mulut mengakui sedang mengenali seseorang yang tiada kaitan dalam bidang seni akhir tahun lalu.

Begitu pun, ketika itu aktres jelita ini enggan berkongsi lebih lanjut mengenai individu tersebut sekali gus menimbulkan tanda tanya kepada semua pihak.

Berkesempatan menemui empunya diri pada majlis Wings Rockin ‘N’ Roll Anniversary 30th Celebration malam kelmarin, Erra sempat diusik dengan pertanyaan mengenai perkembangan hubungannya itu.

“Kehidupan peribadi berjalan seperti biasa. Tidak ada apa-apa yang berubah buat masa ini.

“Masih lagi dalam proses mengenali. Lagi pun tidak ada apa yang perlu dikejarkan,” jawabnya ringkas.


Tidak mahu terlalu fokus dengan soal itu, Erra kini lebih selesa memberi sepenuh perhatian terhadap puteri tunggalnya, Engku Aleesya Engku Emran, 6, selain memenuhkan masa dengan aktiviti seni dan bidang perniagaan tudung yang diceburinya.

Tak lupa Awie

Meskipun kini sudah membawa haluan masing-masing, itu bukan bermakna hubungan persahabatan di antara Erra vokalis Wings, Awie terputus begitu sahaja.

Buktinya kedua-dua selebriti ini saling menyokong karier seni masing-masing.

Terbaharu Erra tidak ketinggalan untuk hadir memeriahkan sambutan ulang tahun Wings ke-30 malam kelmarin.

“Saya diundang untuk meraikan majlis ini bersama rakan artis yang lain. Kiranya kehadiran saya mewakili sebahagian daripada keluarga filem Sembilu.

“Kehadiran saya atas dasar sokongan sebagai rakan sekerja dan persahabatan yang sudah lama terjalin.

“Bagi saya Wings pun memang sepatutnya diraikan kerana sumbangan mereka dalam industri muzik tanah air pun bukanlah calang-calang,” katanya.

Kagum dengan kekuatan kumpulan legenda itu, pelakon filem Soalnya Hati ini mengakui ‘melayan’ Wings sejak berada di bangku sekolah.

“Saya melihat Wings sebagai satu kumpulan yang hubungan di antara anggotanya sangat rapat.

“Buktinya saya dapat melihat semangat setia kawan ini dalam diri Awie biarpun ketika itu dia tidak lagi bersama Wings.

“Lebih membanggakan, Wings berjaya berada dalam kelasnya yang tersendiri dalam tempoh 30 tahun ini,” katanya yang sangat meminati Hukum Karma dan Taman Rashidah Utama.

Beralih pada perkembangan kariernya, Erra memberitahu selain memberikan komitmen pada tugasan sebagai pengacara Primadona, dia juga masih aktif dalam lakonan.

“Insya-ALLAH, November nanti saya akan terlibat dalam satu projek bersama Erma Fatima tapi ia terlalu awal untuk saya kongsikan.

“Saya sering bekerjasama dengan Erma kerana watak-watak yang ditawarkan bersesuaian dengan karakter saya dan cara kami bekerja juga serasi.

“Selain itu mungkin kerana dia boleh bertolak ansur dengan masa saya yang agak padat,” jelasnya.

Previous Post Next Post