Ezad Lazim Harap Isteri Pulih Kanser Selepas Bersalin


Ezad bersama anak keduanya yang lahir pada Isnin.

Penyanyi Ezad Lazim mengharapkan isterinya, Nor Azeana Ramli yang menghidap kanser Stroma Gastrousus (GIST) akan sembuh selepas bersalin anak kedua mereka pada tengah hari Isnin.

Ezad atau nama sebenarnya Mohd Rohaizad Mohd Lazim, 36, berkata, sehingga kini doktor masih belum memaklumkan mengenai status terkini penyakit isterinya selepas bersalin, namun dia mendoakan akan ada keajaiban akan berlaku.

"Saya bersyukur isteri selamat bersalin semalam (Isnin) dan sekarang ini apa yang saya harapkan kanser yang dihidapi isteri hanya ada semasa dia mengandung dan hilang selepas bersalin.

"Jujurnya saya mengharapkan keajaiban itu. Tetapi setakat ini doktor belum memaklumkan perkembangan status penyakit isteri saya itu," katanya kepada mStar Online.



Ezad dan isterinya, Nor Azeana bersama anak sulung mereka, Rania.

Nor Azeana, 36, selamat bersalin anak lelaki seberat 2.9 kilogram secara pembedahan pada pukul 1.10 tengah Isnin hari di Hospital Ampang dekat sini.

Ini adalah anak kedua pasangan itu selepas dikurniakan anak perempuan, Puteri Rania Keisha yang kini berusia dua tahun.

Nor Azeana menghidap GIST ialah sejenis ketumbuhan yang biasa terjadi di saluran gastrousus (saluran usus) yang menjejaskan saluran penghadaman atau struktur yang berhampiran dalam abdomen.

Sementara itu, Ezad yang kini popular dengan lagu Hati Mati berkata, jika isterinya masih lagi menghidapi penyakit tersebut, dia akan terus mencuba perubatan lain termasuklah cara tradisional.

"Saya sudah bersedia sekiranya doktor berkata isteri masih lagi menghidap kanser itu.

"Maka saya juga akan berusaha mencari alternatif lain membawa isteri berubat tidak kira cara tradisional atau moden. Saya sanggup buat apa saja untuk lihat isteri sembuh," ujarnya.

Ezad dan Nor Azeana bernikah pada 30 Mac 2013.

Artikel Selepas
« Artikel Selepas
Artikel Sebelum
Artikel Sebelum »