Izreen Azminda idam watak bisu, psiko



Izreen akan terlibat sebagai penyampai anugerah bersama Aaron Aziz di Anugerah Skrin 2015 pada 8 November ini.

Andai hidup boleh disamakan dengan perjalanan sebuah novel, pelakon dengan nama Izreen Azminda berada dalam babak yang agak selesa.

Dengan karakter yang menjadi, pelakon berusia 30 tahun ini sedang enak merangkaikan dialog dan watak menjadi ceritera bersiri untuk tatapan khalayak.

Ternyata drama Juvana, 7 Suami, Kerana Terpaksa Aku Relakan dan Eksperimen Cinta antara contoh, kelibat dirinya menangkap perhatian penonton.

Perjalanan kariernya cantik, namun dalam soal peribadi diri, Izreen berada dalam babak sukar untuk ditelah. Mereka yang mengikutinya ingin terus mengetahui apa yang berlaku pada babak selanjutnya.

“Siapa yang tidak mahu bahagia. Semua mahukan status bahagia itu dalam kehidupan tetapi buat masa sekarang, saya lebih selesa hidup solo.

“Perkara yang membahagiakan saya sekarang ialah anak, keluarga dan apa yang saya usahakan,” ujar si pembikin emosi dalam setiap karakter yang disandang itu.


Kawan sahaja

Status solo yang dipegang ibu kepada Muhammad Adrian Umar, 3, itu juga membuatkan setiap gerak-gerinya diperhatikan.

Pantang sahaja dia berkongsi foto bersama lelaki, dia akan digosipkan. Terbaharu, fotonya bersama seorang lelaki yang ditutupi wajahnya dengan gambar serigala menjadi tanda tanya peminat.

“Dia cuma kawan sahaja,” ujarnya ringkas dan berharap ia tidak dispekulasikan.

Jodoh itu tertulis dengan ketentuan Allah. Biarpun dirinya selesa hidup solo ketika ini, Izreen juga tidak menolak andai dijodohkan dengan seseorang kelak.

Cintanya dicurahkan habis-habisan kepada keluarga, anak dan dunia lakonan.

Izreen sentiasa berkeyakinan dalam bercakap, sama ketika dia membawa watak dalam setiap naskhah yang diberi.

Tidak diambil peduli

Bagaimanapun, jika ada yang merunsingkan benak fikirannya, dia juga gagal menahan diri untuk meluahkan apa yang terbuku di hati, lantas laman sosial menjadi tempat baginya.

Bukan apa, baginya itu jalan terakhir selepas kata-kata yang disuarakan sebelum ini tidak diambil peduli.

“Saya tidak suka orang yang tiada kena mengena atau tidak dikenali menyentuh anak saya, tetapi andai bekas suami dan wanita itu berkahwin kelak, saya tidak kisah jika mereka mahu bawa dia ke mana-mana sahaja pun.

“Budak itu (Adrian Umar) sedang membesar. Mereka berpegangan tangan contohnya, anak tengok saya rasa itu tidak elok.

“Sebelum ini, saya ada beritahu dia (bekas suami) apa yang dia boleh buat dan tidak boleh di depan anak tetapi benda tetap berlaku,” luahnya yang mengakui tidak mempunyai sebarang masalah dengan bekas suaminya, Muhammad Riza Baharuddin sebelum ini.

Mendabik dada


Seorang yang tidak suka menggunakan laman sosial sebagai tempat untuk menghentam, namun jika tiada jalan lain Izreen akan meluahkannya tetapi masih menggunakan bahasa yang beretika.

Khalayak melabelnya sedang marah, hakikatnya bahasa yang digunakan dalam menegur di laman Instagram minggu lalu cukup lembut dan berlapik.

Selang beberapa hari selepas itu, pelakon yang pernah membintangi teater Takhta 3 Ratu bersama Erra Fazira dan Soo Wincci itu turut menegur lakonan pelakon Amar Baharin yang dikatakan tidak ‘sampai’ menjiwai watak Zainudin dalam teater Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck.

Ramai yang mempertikaikan tindakan Izreen dan mengatakan dia tidak layak untuk menegur berdasarkan satu teater besar yang telah dijayakannya.

“Pengalaman yang ada itulah saya kongsikan pada orang baharu pula (Amar). Bukan mudah saya menjayakan teater Takhta 3 Ratu. Kena berbahasa Jawa, menari dan juga bermain pedang. Memang pada awalnya saya dihentam teruk dengan Erma Fatima dan juga Ellie Suriaty. Alhamdulillah, selepas itu lakonan saya dipuji dalam teater tersebut. Saya bukan mahu mendabik dada. Pada saya, disebabkan kritikan tersebut saya dapat jayakan karakter itu. Perkara yang sama saya mahukan pada Amar pula,” luah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama Perempuan Itu Ibuku di Anugerah Skrin 2013 itu.

Gali

Jiwa pelakon kelahiran Kangar, Perlis itu kini seperti ada suntikan keberanian.

Selama itu, cecair keberanian itu mengalir deras dalam dirinya yang membuak dengan keinginan untuk menggali setiap naskhah yang diperolehnya.

“Setiap karya yang diberikan, saya akan buat yang terbaik. Kata Kak Ogy, gali karakter itu sampai habis supaya saya mampu lakukannya dengan baik. Tidak kira apa jua karakter yang diberikan, saya akan fikir macam mana mahu tampil lain daripada yang lain.

“Walaupun watak tersebut kecil, saya tetap tekun mengkajinya,” ujarnya yang tidak terkesan dengan kritikan orang terhadapnya kerana perkara itu memulangkan kemanisan buatnya menjayakan setiap watak yang diberikan.

Sengaja menebaknya dengan persoalan tentang watak apa yang diidamkan sementelah hampir semuanya sudah diterokainya.

“Saya mahukan karakter yang lebih mencabar. Sebagai contoh, karakter yang memerlukan saya tidak bercakap langsung tetapi penonton dapat merasai karakter tersebut. Mungkin karakter bisu atau psiko,” ungkapnya yang bakal muncul menerusi telefilem terbaharu bersama Fattah Amin dan juga drama komedi bersama Che Ta yang berjudul Kak Marr untuk siaran TV3.

Artikel Selepas
« Artikel Selepas
Artikel Sebelum
Artikel Sebelum »