Lana Nordin rahsiakan jantina anak


Daud tidak kisah Lana mahu melakukan sesi pantang secara tradisional, asalkan ia membawa kebaikan kepada dirinya dan anak mereka kelak.

SELEPAS empat bulan berkahwin dengan atlet bola tampar Amerika Syarikat, Mohd. Daud McKienzie, 35, pelakon Lana Nodin mengesahkan dirinya kini sedang berbadan dua.

Menurut Lana yang kini berada di luar negara kerana mengikuti suaminya bekerja sebagai jurulatih sukan bola tampar, kandungannya telah mencecah trimester kedua.

Lana atau nama sebenarnya, Mazlina Hasan Nodin, 35, yang dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp, tidak menyangka dikurniakan rezeki untuk menimang cahaya mata dalam masa yang singkat. Mengikut perancangan, dia dan suami mahu memiliki anak dua tahun selepas berkahwin.

Meskipun begitu, sebaik disahkan hamil, mereka antara orang yang paling gembira. Kini, akui Lana, dia hanya lebih banyak berehat dan memberi fokus kepada kesihatan bayi dalam kandungannya.

Bagaimanapun, Lana yang menyimpan impian untuk bersalin di Malaysia, memilih untuk merahsiakan jantina anaknya daripada pengetahuan umum terlebih dahulu. Katanya, dia hanya akan mengumumkan jantina bayinya pada suatu masa yang difikirkan sesuai.

KOSMO!: Tahniah. Apakah reaksi Lana dan suami apabila tahu bakal dapat anak?

Lana: Terima kasih. Sebenarnya, saya tidak tahu sedang hamil. Mulanya suami menegur tubuh badan saya semakin susut. Kemudian, saya menjalani pemeriksaan kesihatan kerana badan tidak sedap dan pada waktu itu doktor mengesahkan saya telah hamil.

Sewaktu diberitahu tentang kehamilan itu, kami memang sangat terkejut tetapi pada masa yang sama teruja sebab tidak sangka bakal jadi ibu bapa secepat ini.


Maknanya anda tidak merancang untuk memiliki anak segera?

Kalau ikut perancangan, kami mahu memberi masa selama dua tahun untuk diri sendiri. Ditambah pula dengan kesibukan suami yang perlu terbang ke merata tempat.

Namun, apabila dikurniakan rezeki lebih awal, saya sangat bersyukur. Kehamilan ini bukan sahaja menggembirakan kami tetapi juga seluruh keluarga kedua-dua pihak. Ibu mertua dan kakak ipar antara orang paling gembira dan akan bertanya tentang kandungan saya setiap hari.


LANA dan suaminya, Daud tidak menyangka dikurniakan cahaya mata dalam tempoh yang singkat selepas berkahwin.

Apakah perubahan paling ketara sejak anda hamil?

Saya lebih disayangi (ketawa). Suami langsung tidak beri buat sebarang kerja berat, sebaliknya hanya meminta saya berehat dan jaga kesihatan sahaja. Dia juga amat menjaga pemakanan saya dan akan marah jika lewat makan.

Selain itu, berat badan kekal seperti biasa tetapi perut sahaja yang membesar setiap hari. Saya cuma alah pada sos pesto (sos berwarna hijau) dan tidak mengidam. Masalah saya sejak hamil adalah cepat letih, rasanya simptom ini dirasai semua wanita berbadan dua.

Kenapa anda memilih merahsiakan jantina bayi?

Tiada sebab yang khusus tetapi lebih kepada privasi kepada keluarga. Bagi saya, dalam tempoh masa ini biarlah keluarga sahaja yang tahu jantinanya terlebih dahulu.

Bukan bermaksud sorokkan anak kerana sampai masanya saya tetapi akan beritahu kepada umum jantina anak saya. Buat masa ini, biarlah rahsia.

Mengapa anda memilih untuk melahirkan anak di Malaysia?

Sebenarnya saya tidak pernah cakap pun mahu lahir anak di Malaysia, cuma andai ada rezeki dan jika boleh sudah tentulah mahu perkara itu berlaku di tanah air sendiri. Lebih selesa dan saya dekat dengan keluarga di sini.

Alhamdulillah, suami juga tidak menghalang kemahuan saya. Baginya, apa yang penting adalah keselesaan untuk isteri dan anaknya.

Oleh itu, sebelum kandungan mencecah tujuh bulan, harapnya saya sudah berada di Malaysia. Bukan apa, saya bimbang jika sudah terlalu sarat, tidak dibenarkan naik kapal terbang.

Adakah anda memilih untuk berpantang cara Melayu?

Ya, sudah tentu kerana badan dan genetik saya sesuai dengan cara Melayu.

Walaupun berkahwin dengan orang Barat tidak semestinya harus mengikut cara mereka. Suami juga tahu tentang adat berpantang orang Melayu dan dia tidak menolaknya.

Dia akan benarkan apa sahaja yang terbaik untuk saya dan anak yang bakal lahir. Lagipun berpantang baik untuk kesihatan badan.

Bagaimana perkembangan kerjaya anda selepas berkahwin?

Buat masa ini fokus saya hanyalah berehat, menjaga kesihatan bayi dalam kandungan dan suami. Selepas bersalin, saya tidak tahu bagaimana perjalanan kerjaya seni kerana suami tidak pernah menghalang untuk berlakon.

Previous Post Next Post