Pandangan prolifik Anuar Zain


AsALKAN lagu itu sedap didengar, ia memadai buat Anuar.

PERDEBATAN angkara bentuk muzik yang berbeza berbanding dahulu dan sekarang pastinya tidak ternoktah sampai bila-bila.

Biar ada yang menyifatkan lagu zaman sekarang tidak lagi malar segar dan menepati piawaian kualiti, keindahan sebenarnya terletak pada kaca mata yang menilai.

Kesempatan bertemu penyanyi tersohor, Anuar Zain dimanfaatkan sebaik mungkin bagi merungkai persoalan itu.

Bersama Sensasi Bintang, pemilik nama sebenar Shahrul Anuar Zain, 45, itu juga berkongsi sesuatu mengenai album terbaharunya, selain membicarakan penglibatannya dalam konsert Ku Mohon Tuhan Berikan Aku Cinta yang bakal berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor pada 31 Oktober ini.


SENSASI BINTANG: Sebagai seorang penyanyi prolifik, apa pandangan anda terhadap kehadiran penyanyi-penyanyi baharu yang dilihat lebih selesa dengan muzik yang santai dan membosankan (monotanous)?

ANUAR ZAIN: Selera muzik berubah mengikut peredaran zaman. Mungkin, ia kedengaran monotanous cuma apabila diamati betul-betul, ia ada dinamik tersendiri. Sebenarnya, ia sesuatu yang kreatif dan bukan mudah untuk dilaksanakan. Setiap apa yang sedap didengar sebenarnya satu kejayaan bagi saya. Tidak kisah sama ada ia muzik yang rumit ataupun santai, yang paling penting ia sedap didengar dan berjaya menyentuh jiwa peminat.

Apa pandangan anda jika ramai artis baharu terutamanya dalam program realiti cuba untuk meniru cara nyanyian anda?

Ia satu penghargaan buat saya apabila generasi sekarang mahu menyanyikan lagu seorang penyanyi yang telah berusia 45 tahun (ketawa). Saya dan pengurusan telah bekerja keras selama ini dan ia sesuatu yang cukup istimewa apabila ia dihargai peminat yang berada dalam era dan selera muzik yang berbeza. Saya mengucapkan terima kasih kerana mendengar dan menyanyikan lagu saya. Cuma satu yang saya pinta, nyanyilah sebagai diri sendiri dan bukannya saya. Ia jauh lebih ikhlas. Tidak salah dipengaruhi penyanyi tertentu, tetapi biarlah setiap apa yang berlaku hadir dengan jiwa sendiri. Jadikan ia lagu anda meskipun menyanyikan lagu Anuar Zain.

Khabarnya, anda sedang sibuk mengumpul material untuk album terbaharu. Komen?

Buat masa ini, ada enam lagu yang sudah disahkan bakal terkandung dalam album berkenaan.

Buat masa ini, saya masih belum membuat keputusan sama ada mahu memuatkan lapan atau sembilan lagu dalam album tersebut. Ia berkonsepkan pop. Terdapat sedikit perbezaan daripada susunan lagu-lagu dalam album saya sebelum ini. Antara komposer terlibat termasuklah Helen Yap, Azalea, Numata dan Alam Urbach.

Majoriti lagu-lagu dalam album ini berkisarkan kisah putus cinta. Ada juga lagu menceritakan perjalanan seseorang yang reda dengan kesakitan sebelum pergi selamanya. Lebih sukar untuk saya menyanyikan lagu berkenaan, ia lebih puas. Saya mahu menyentuh pendengar menerusi lagu-lagu sebegini.

Ada yang menyifatkan lagu-lagu putus cinta seolah-olah satu doa daripada penyanyi. Apa pandangan anda?

Setiap lagu cinta sebenarnya sebuah cerita. Jadi, kita harus mengambil iktibar, bukannya terikut-ikut dengan kisah lagu berkenaan. Setiap lagu mungkin fantasi ataupun realiti yang pernah dihadapi komposer, jadi kita harus mengambil sesuatu yang positif. Ramai yang memiliki pendapat masing-masing, cuma segala-galanya terletak pada tangan sendiri untuk mengambil sebarang keputusan.

Selama ini, pernahkah anda menerima hasil karya komposer muda?

Ada juga, cuma majoritinya tidak sesuai buat saya. Saya tiada masalah untuk bekerjasama dengan komposer muda asalkan ia sesuai buat saya. Saya juga pernah cuba mendekati beberapa komposer muda sebelum ini untuk menyanyikan lagu mereka, cuma barangkali ada yang khuatir lagu itu ditolak oleh saya. Jangan risau, apa salahnya jika saya menyanyikan lagu mereka.

Jika ada sebarang perbandingan terhadap lagu-lagu dalam album ini berbanding album terdahulu?

Setiap lagu ada keindahannya tersendiri. Ramai yang sukar untuk menerima perubahan dan sesuatu yang baharu. Sebagai seorang manusia, saya tidak mahu sentiasa berada dalam keadaan selesa.

Tidak salah memberikan peluang terlebih dahulu. Bukan apa, kita akan mengehadkan sesuatu jika wujudnya perbandingan sedangkan lagu-lagu baharu barangkali jauh lebih baik. Terserah kepada pendengar untuk menilai, cuma jangan sesekali meminggirkan setiap kualiti yang dimiliki lagu tersebut termasuk melodi, susunan lagu dan juga lirik yang bagus.

Boleh ceritakan serba sedikit mengenai persiapan menjelang konsert Ku Mohon Tuhan Berikan Aku Cinta?

Pemilihan baju sudah ada, cuma saya masih menunggu pihak penganjur (Islamic Relief Malaysia) sebelum memulakan sesi latihan menjelang konsert berkenaan. Saya akan menyanyikan tiga buah lagu pada konsert tersebut iaitu Ketulusan Hati dan Ajari Aku yang dipilih penganjur, selain sebuah lagu kumpulan Ungu iaitu Bila Tiba seperti mana yang diminta oleh pengarah konsert, Erma Fatima.

Saya tidak pernah berdepan masalah untuk menyanyikan lagu orang lain asalkan ia dapat menyentuh jiwa pendengar seperti mana penyanyi asal dan sesuai dengan nyanyian saya.

Terdapat beberapa lagu lain seperti Sedetik Lebih, cuma ketiga-tiga lagu berkenaan lebih sesuai dengan jalan cerita sepanjang konsert itu.

Artikel Selepas
« Artikel Selepas
Artikel Sebelum
Artikel Sebelum »