Panjang Berkelakuan Mencurigakan Sebelum Amuk



Seorang lelaki tidak berbaju dikenali sebagai 'Panjang' mengepung restoran milik rakyat Malaysia, 'Little Ipoh' di Melbourne selama hampir dua jam pada Selasa, didakwa bersikap mencurigakan selepas datang tanpa wang untuk makan di premis itu.

Perkara itu dimaklumkan oleh pemilik restoran, Raja Yasmin Raja Abdul kepada The Star dalam satu temuramah menerusi panggilan telefon, yang menyampaikan apa yang berlaku seperti diceritakan oleh suaminya dan pengurus restoran yang enggan dikenali.

"Lelaki itu mengunjungi restoran saya beberapa kali sebelum ini. Dia seorang rakyat Malaysia, tetapi saya tidak tahu nama dia. Saya hanya tahu nama panggilannya 'Panjang' kerana dia tinggi," kata Raja Yasmin.

Wanita berusia 44 tahun dari Ipoh itu berkata, lelaki berkenaan bukan pelanggan tetapnya, tetapi sering berkunjung ke restorannya beberapa kali, terutama pada Sabtu dan Ahad, sejak kebelakangan ini.


"Dia kelihatan normal. Dan berdasarkan perbualan bersama dia sebelum ini memberitahu saya bahawa dia mempunyai pekerjaan di Queensland, tetapi dia kini menganggur disebabkan beberapa masalah dalaman dan tidak mempunyai wang," katanya.

"Dia kedengaran tertekan. Jadi, saya menasihatkan dia untuk mencari kerja."

Raja Yasmin berkata, lelaki tersebut hanya bersikap agresif selepas mengunjungi restorannya pada tengah hari Selasa.

"Dia datang dan beritahu pengurus saya bahawa dia lapar dan mahu makan, tetapi tiada wang. Pengurus saya merasakan sesuatu yang tidak betul dan memberitahu bahawa dia akan memberikan makanan kepadanya secara percuma," kata Raja Yasmin.

Pengurus restoran itu kemudiannya berkata, lelaki berkenaan bercakap seorang diri dan berjalan dalam keadaan mencurigakan di sekitar restoran.

"Dia meminta benda yang pelik-pelik daripada pengurus saya, bercakap mengarut dan menjerit. Dia kemudiannya mengancam pengurus saya menggunakan garpu dan memberitahu dia akan membunuhnya sekiranya menghubungi polis.

"Pengurus saya bernasib baik kerana dia dapat menyelinap keluar dan menghubungi polis. Suami saya dan tiga pelanggan juga segera keluar dari restoran itu," kata Raja Yasmin.

Beliau kemudiannya memperjelaskan bahawa tiada pertelingkahan atau pergaduhan sebagaimana yang dilaporkan oleh media tertentu.

"Terdapat sedikit kerosakan pada restoran itu. Lelaki itu menanggalkan kamera CCTV, merosakkan komputer kami, memecahkan gelas dan jag. Dia juga mengambil wang kami dan mencampakkannya ke luar tingkap.

"Telefon bimbit yang dia gunakan adalah telefon milik kami, dan dia turut mencampakkannya ke luar," katanya, sambil menambah bahawa dia tidak bernasib baik kerana insiden tersebut berlaku di restoran miliknya.

"Saya kasihankan dia. Saya lihat dia dan saya bersimpati," katanya.

Media Australia, The Sun melaporkan suami Raja Yasmin disiasat oleh pihak berkuasa di sana kerana hal berkaitan imigresen tahun lalu.

Lelaki berkenaan ditahan polis selepas keluar dari restoran dalam keadaan tangannya berlumuran darah.

Laman web Seven News melaporkan lelaki berkenaan yang digari polis dibawa dengan menaiki ambulans untuk mendapatkan rawatan di atas kecederaan yang dialaminya dan menjalani pemeriksaan mental.

Artikel Selepas
« Artikel Selepas
Artikel Sebelum
Artikel Sebelum »