Persembahan selawat hajat Nowseeheart


Kumpulan nasyid Nowseeheart, (dari kiri) Huzaimi, Azahari, Idzhar dan Sariman.

CINTA terhadap manusia biasa tidak akan kekal lama, namun cinta terhadap junjungan mulia Nabi Muhammad SAW akan kekal abadi. Kata-kata itu tepat sekali menggambarkan usaha kumpulan nasyid Nowseeheart mengajak pendengar memupuk kecintaan dan kasih sayang terhadap baginda.

Menerusi album Selawat 10 Hajat, Nowseeheart dilihat mengadun elemen cinta hakiki terhadap nabi akhir zaman itu dengan hasrat untuk memperkasakan waja diri umat Islam supaya teguh, cekal dan tidak mudah pasrah.

Bait-bait selawat yang dialunkan kedengaran begitu indah, sesuai dengan elemen pemahaman yang turut diselitkan dalam album berkenaan.


Untaian seperti Selawat Tenang Jiwa, Selawat Pelindungan Diri, Selawat Murah Rezeki dan Selawat Menanam Kasih Sayang merupakan antara rantaian selawat yang boleh diamalkan pendengar tanpa mengira waktu.

Selain itu, Selawat Penerang Hati, Selawat Penanam Semangat, Selawat Maulidurasul, Selawat Majlis Perkahwinan dan Selawat Sembuh Sakit turut dimuatkan.

Dalam lampiran lirik yang disertakan, kebaikan selawat turut disertakan sebagai kemudahan pendengar memahami isi selawat dengan mendalam.

Istimewanya, selawat-selawat yang dalam album ini turut dirakamkan semula dalam versi accapella atau vokal harmoni.

Artikel Selepas
« Artikel Selepas
Artikel Sebelum
Artikel Sebelum »