Salah seorang bayi kembar Erin Malek meninggal dunia



PELAKON Erin Malek selamat melahirkan anak lelaki pertama semalam dan turut mengumumkan seorang lagi anak kembarnya telah meninggal dunia semasa kandungannya mencecah usia 16 minggu kehamilan.

Erin yang sebelum ini dilaporkan mengandung anak kembar mengesahkan perkara tersebut menerusi akaun Instagramnya yang memaparkan foto dia memegang bayinya sambil diperhatikan suaminya.

"Alhamdulillah, ia adalah detik yang tidak boleh dilupakan untuk saya dan Farriz. Kami ingin memperkenalkan dan mengucapkan selamat datang kepada putera kecil kami, Mohamed Faliq bin Mohamed Farriz," tulisnya.


Erin turut memberitahu, kembar kepada bayinya itu meninggal dunia pada usia 16 minggu kandungan.

"Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa kembar bayi saya meninggal dunia pada usia 16 minggu kandungan kerana jantungnya berhenti berdegup akibat cecair berlebihan di dalam perut sehingga menyebabkan seluruh badannya bengkak.

"Bagaimanapun, atas nasihat doktor, saya masih boleh meneruskan kandungan itu melalui kehamilan 9 bulan tanpa menjejaskan kembarnya yang lagi satu," katanya.

Tambahnya lagi, perasaannya bercampur baur menghadapi perkara tersebut dan apabila melihat anak lelakinya itu, dia pasti mengingatkannya kepada kembar bayinya itu.

Bagaimanapun, pasangan tersebut percaya ALLAH mempunyai perancangan yang lebih baik untuk mereka dan kedua bayinya itu.

"Kami ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada keluarga, rakan-rakan dan seluruh peminat yang memberikan sokongan penuh dan doa," ujarnya.

Artikel Selepas
« Artikel Selepas
Artikel Sebelum
Artikel Sebelum »