Sempurna waktu iR Radzi


BAKAT LAIN - Selain menyanyi, Radzi pernah mencuba nasib dalam bidang pengacaraan. Sebelum ini dia pernah disenarai pendek dalam program realiti On Air (Top 40).

NAMANYA mula menjadi sebutan ramai selepas lagu berhantunya, Sempurna Waktu menarik perhatian peminat apabila karya ciptaan sepenuhnya itu menjadi lagu tema drama bersiri popular, Teman Lelaki Upahan (TLU).

Akhirnya, selepas beberapa ketika duduk di ‘bangku belakang’ sebagai pencipta lagu dan penulis lirik, penyanyi kelahiran bumi kenyalang Sarawak ini berjaya membuka mata pemerhati seni muzik dengan kehadirannya sebagai seorang penyanyi yang perlu diberi perhatian dan penghargaan wajar.

iR Radzi. Satu nama yang mungkin masih lagi agak asing dalam arus perdana muzik tempatan. Barangkali ada yang tertanya-tanya siapakah gerangan pemilik suara serak basah di corong-corong radio dan tidak kurang di kaca televisyen. Hakikatnya, pemilik nama penuh Mohd. Shah Riadzi Jamali, 32, sememangnya lebih selesa fizikalnya tidak dijadikan kayu pengukur terhadap karya-karya yang dihasilkan.

Ujarnya, dia berasa bertuah dan bersyukur dengan sambutan positif peminat terhadap kerjaya seninya yang dia sifatkan masih lagi dalam fasa permulaan di bawah seliaan syarikat rakaman Cloudworks Entertainment.

“Saya percaya pada rezeki. Akhirnya, rezeki memihak juga kepada saya setelah sekian lama berhempas pulas untuk mencuba nasib sebagai penyanyi profesional di negara ini.

“Secara jujurnya, saya tidak berapa kisah populariti tidak menyebelahi diri. Bagaimanapun, saya sangat berbangga dan gembira apabila lagu saya menjadi pilihan orang ramai. Bagi saya, itu lebih bermakna,” ujarnya yang lebih mesra disapa sebagai iR dalam kalangan teman media.

Mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa penglibatan seninya bermula pada tahun 2010 dengan single pertama berjudul Kontra Analisa (ciptaan Audi Mok dan Zel Firdhaus (Haduan). Bagaimanapun, single Maafkan Aku dan Sempurna Waktu mula melonjakkan namanya di arus perdana apabila ia dijadikan lagu tema drama bersiri TLU.


Kehidupan peribadi & muzik

Berborak lebih lanjut mengenai kehidupan peribadi, iR mendedahkan bahawa dia sudah pun mendirikan rumahtangga dengan Zawani Mohamed Karim pada awal tahun ini.

“Ya, saya sudah bernikah pada Februari tahun ini dengan wanita yang dicintai selepas berkenalan lebih dua tahun.

“Alhamdulillah, dia (isteri) sangat memahami minat saya dalam bidang muzik dan sentiasa menyokong penglibatan saya dalam bidang ini,” ujarnya tersenyum.

Ditanya sama ada pernah lahir kerisauan tentang penerimaan peminat terhadap dirinya memandangkan dia sudah berkeluarga, iR mempunyai alasan tersendiri berkecimpung dalam lapangan seni.

“Saya menyanyi bukan untuk mengejar populariti. Saya menyanyi kerana rasa yakin bahawa jiwa saya memang ditakdirkan untuk tujuan itu.

“Tidak mengapa kalau orang di luar sana tidak mengenali siapa saya asalkan mereka menggemari karya yang telah saya hasilkan. Saya lebih rela begitu,” jelasnya merendah diri.

Menurutnya, dia ingin lebih dikenali sebagai seorang penyanyi yang mempunyai idea. Dalam erti kata lain, dia mahu peminat mengenalinya sebagai komposer dan penyanyi yang punya wawasan besar.

Berbicara soal permulaan kerjaya seninya, iR memberitahu, ia bermula ketika dia sedang menuntut ilmu di menara gading dan pada ketika itu ibu bapanya tidak berapa berkenan dengan niatnya bergelar penyanyi atau pemuzik,

“Waktu itu saya muda lagi (19 tahun). Saya banyak libatkan diri dalam bidang nyanyian pada peringkat universiti tanpa pengetahuan mereka (ibu bapa).

“Jadi, saya cuba yang terbaik untuk buktikan kepada mereka bahawa saya juga boleh berjaya dalam pelajaran si samping memenuhi minat dalam bidang muzik. Secara peribadi, saya berjaya lakukan kedua-dua perkara tersebut dengan baik,” tuturnya bersemangat.

Salah faham


PENDIDIKAN - Memiliki Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sains dari Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR).

Sedang rancak berborak, penyanyi bermata sepet ini memberi penjelasan tentang kekeliruan orang ramai yang menganggapnya sebagai penyanyi Indonesia. Hal ini kerana kemerduan dan intonasi vokalnya mirip penyanyi dari republik tersebut, malah sempat disalah faham sebagai penyanyi popular kelahiran Indonesia, Cakra Khan.

“Sampai macam itu sekali (ketawa) orang jadi keliru dengan pemilik lagu Sempurna Waktu. Apa pun, saya tidak boleh halang pandangan atau pendapat orang. Saya hanya mahu peminat tahu, iR Radzi ialah seorang penyanyi tempatan yang ingin berkongsi bakat sahaja.

“Saya tidak pernah meniru cara nyanyian Cakra Khan atau sesiapa. Bagi saya, suara dan bakat yang dikurniakan oleh Allah akan digunakan sebaik mungkin untuk terus maju dalam industri seni tanah air.

“Barangkali ramai yang membuat andaian terlalu awal tanpa mengetahui lebih lanjut tentang kewujudan seseorang anak seni. Saya tidak salahkan mereka. Bahkan, saya akan berusaha lebih keras untuk melahirkan muzik yang diterima ramai,” ujarnya yang mengakui turut kagum dengan muzik Cakra Khan.

Berbicara lanjut, penyanyi tinggi lampai ini juga melahirkan rasa terkilan apabila ada pihak yang cuba menabur pasir terhadap kejayaan Sempurna Waktu dengan mengatakan karya tersebut bukan hasilnya 100 peratus.

“Saya bukan mahu menuding jari. Lagu tersebut memang lagu sepenuhnya ciptaan saya. Lagu itu ditujukan khas untuk isteri saya. Saya tidak tahu apa motif menafikan hak saya sebagai pencipta lagu.

“Saya tidak mahu memperbesarkan isu ini dan berharap individu tersebut sudi berdepan untuk berbincang tentang hal tersebut,” katanya yang enggan mendedahkan identiti individu yang dimaksudkan.

Perniagaan dan mini album

Walaupun kerjaya sebagai penyanyi mula membuahkan hasil, iR memberitahu bahawa dia juga turut melibatkan diri dalam bidang perniagaan. Kini dia sedang mengusahakan dua perniagaan iaitu pengurusan acara dan bisnes online.

“Saya tahu tidak boleh selama-lamanya bergantung dengan pendapatan dalam bidang seni. Jadi, saya menceburkan diri dalam bidang perniagaan untuk menstabilkan status kewangan. Tambah lagi, saya kini sudah berkeluarga.

“Sebab itu saya selalu berulang-alik dari Kuala Lumpur dan Sarawak kerana banyak perkara yang saya usahakan. Bisnes online baru sahaja nak bermula. Saya bercadang untuk menjual aiskrim. Insya-Allah,” terangnya bersemangat.

Dalam pada itu, ditanya perasaannya dicalonkan dalam Anugerah Planet Muzik 2015 (APM2015) bagi kategori Artis Baru Lelaki Terbaik, dia berasa teruja dengan pencalonan tersebut, namun tidak mengharapkan kemenangan.

“Alhamdulillah, tercalon sudah menjadi sesuatu yang sangat bermakna buat saya. Semua yang tercalon bagus-bagus belaka. Saya rasa cukup bertuah tercalon sama,” katanya.

Bercakap soal perkembangan seni, dia mengatakan bakal hadir dengan sebuah album mini yang memuatkan lima buah lagu awal tahun depan.

“Album ini masih lagi dalam proses pembikinan. Namun, November depan saya keluar dengan single keempat. Lagu tersebut akan dimuatkan dalam album mini nanti.

“Single tersebut sebuah lagu rancak. Saya harap akan dapat sokongan menyeluruh daripada peminat seperti lagu Sempurna Waktu,” ujarnya penuh harapan.

iR juga mendedahkan, dia mempunyai perancangan untuk meneroka pasaran muzik negara seberang, Indonesia pada masa depan.

“Saya tahu bukan sukar untuk menembusi pasaran di sana (Indonesia) tetapi akan mencuba nasib di sana suatu hari nanti,” katanya yang pernah bekerjasama dengan komposer dari seberang iaitu Bemby Noor melalui lagu Maafkan Aku.

Previous Post Next Post