Siti Elizad jaga batas


AWAL tahun lalu, pelakon cantik ini pernah menggemparkan industri seni apabila menyorokkan perkahwinannya daripada umum khususnya peminat seni.

Namun selepas hampir setahun berlalu, peristiwa itu berlalu begitu sahaja sementelah tindakannya mempunyai alasan kuat mengapa dia terpaksa mendiamkan berita perkahwinan tersebut.

Mengakui rumah tangga yang dibina berjalan dengan baik, dramatis yang dikenali sebagai Siti Elizad ini memberitahu, dia bersyukur kerana pilihannya tepat kerana suaminya Shamsul Baharin Rahman, 43, sentiasa menyokong dirinya sama ada daripada aspek karier mahu pun peribadi.

"Alhamdulillah, memilih untuk berkongsi hidup dengan lelaki yang lebih matang daripada saya adalah perkara terbaik pernah saya lakukan.

"Dia sendiri seorang yang sangat sibuk dan sentiasa fokus kepada kerja, jadi dia juga mahukan saya lakukan perkara sama," katanya ketika ditemui di majlis tayangan amal telefilem Travelling Beruang baru-baru ini.

Pun begitu, pelakon berusia berusia 31 tahun ini, berkata, dia tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya sebagai isteri.

"Dia sudah memberi kepercayaan sepenuhnya kepada saya, jadi saya harus hormati dia.

"Malah, setiap hari saya akan pastikan sarapan dibuat terlebih dahulu sebelum keluar bekerja.

"Baginya, selagi karier saya tidak mengganggu rumah tangga dan melampaui batas seorang isteri, itu sudah cukup. Bahkan, dia tidak pernah menghalang kerjaya saya selama ini," katanya.

Berkongsi perasaannya mengenai cahaya mata pula, kata pelakon yang popular menerusi Teman Lelaki Upahan itu, dia cukup bersyukur sekiranya mendapat rezeki anak awal daripada ALLAH SWT.

"Kalau dapat rezeki sekarang, memang saya tidak menolak dan sudah bersedia. Kalau lambat pun, saya akan terus berdoa agar dikurniakan zuriat," katanya.


Kongsi kasih sayang

Bercerita pengalamannya sebagai salah seorang pelakon telefilem Travelling Beruang, akui Siti Elizad, dia cukup berbangga dapat menyertai projek amal bersama TV3 itu.

"Saya berperanan sebagai Kat dalam cerita ini. Kat adalah seorang sukarelawan yang bekerjasama Adit (Ungku Ismail) dalam misinya membantu pesakit-pesakit kanser.

"Walaupun wataknya tidak besar, tetapi saya seronok kerana ia memberikan peluang kepada saya bertemu pesakit-pesakit tersebut dan berkongsi kasih sayang dengan mereka," katanya.

Malah pengalaman bersama arwah ibunya, Nazariah Mohd Salleh yang meninggal kerana penyakit Parkinson serta komplikasi darah tinggi dan kencing manis juga banyak membantu dirinya lebih tabah berhadapan situasi begitu.

"Pada awalnya apabila mendapat tahu tahap kesihatan arwah ibu, saya juga berasa 'down'. Tetapi, apa yang boleh saya katakan, saya perlu kuatkan semangat ketika itu supaya arwah ibu turut kuat.

"Bila kita ceria dan tunjukkan sokongan kepada mereka yang sakit, Insya-Allah, sedikit sebanyak kesakitan mereka dapat dikurangkan," katanya.

Kata Siti Elizad, selain berjumpa pesakit kanser, dia juga gembira kerana diberi kesempatan melancong ke luar negara seperti China, Vietnam dan Cambodia.

Sementara itu, bercerita perkembangan terbarunya pula, Siti Elizad bakal muncul dengan drama bersiri berjudul Demi ALLAH, Aku Pilih Kamu yang bakal mengisi slot Samarinda di TV3.

Jelasnya, walau pun hanya sekadar pelakon pembantu tetapi drama yang mendapat sentuhan Zul Huzaimi itu membuka hatinya menerima tawaran tersebut.

"Saya memang suka bekerja dengan Zul, bagi saya dia sangat berbakat. Dia juga seorang yang tidak kedekut ilmu.

"Sebelum ini saya pernah bekerja dengannya, jadi tiada sebab saya menolak tawaran tersebut," katanya.

Di aju pertanyaan apakah perkahwinan pernah menggugat kariernya, ujar Siti Elizad, sehingga kini, kariernya tidak pernah merudum.

"Alhamdulillah, selepas berkahwin kerjaya semakin baik. Selain mendapat tawaran untuk telefilem dan drama bersiri, saya juga banyak mendapat kerja sebagai pengacara," katanya.

Artikel Selepas
« Artikel Selepas
Artikel Sebelum
Artikel Sebelum »