Tuah kontroversi Ifa Raziah


MENJADI penyanyi dangdut pertama di bawah syarikat Sony Music Malaysia, Ifa Raziah kini menanti lagu daripada komposer Sweden dan Indonesia.

TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia, siapa yang tahu. Pepatah itu sesuai menterjemah peluang rezeki yang tumpah buat artis popular, Ifa Raziah yang sudah lebih 20 tahun mencari makan sebagai anak seni.

Bergelar penyanyi dan pada masa yang sama meladeni kehidupan dunia glamor sebagai pelakon, pengacara dan pelawak, kesungguhan dan komitmen Ifa membuahkan hasil apabila menjadi penyanyi dangdut pertama yang dilamar sebagai artis rakaman Sony Music Malaysia.

Hadir ke sidang akhbar Media Karnival Produl dan Perkhidmatan Koperasi Malaysia 2015 (MACCOPS), Ifa berkongsi khabar gembira tersebut.


Artis Meletop!: Adakah benar Ifa Raziah telah mendapat tawaran menjadi penyanyi dangdut pertama yang bernaung di bawah label rakaman Sony Music Malaysia?

IFA RAZIAH: Ya, betul. Bagi mereka yang belum tahu, mulai 1 Oktober tahun ini saya secara rasminya telah menjadi artis rasmi di bawah label rakaman Sony Music Malaysia.

Berapa ramai artis dangdut termasuk anda di bawah label ini?

Kalau diikutkan, saya merupakan satu-satunya artis dangdut Malaysia di bawah syarikat rakaman tersebut pada peringkat tempatan mahupun antarabangsa. Malah di Indonesia, tiada artis dangdut yang bernaung di bawah label ini.

Sudah berapa lama anda di dalam industri sebelum ditawarkan menjadi artis residen mereka?

Saya sudah bergiat aktif sebagai penyanyi sejak 20 tahun lalu. Sebenarnya, sewaktu awal kemunculan dan terbit dengan album pertama, saya pernah bernaung di bawah syarikat rakaman BMG sebelum sempat menjadi ‘anak’ Music Land.

Namun, selepas itu saya ambil keputusan untuk bergerak sendiri sehingga sekarang.

Berapa tahun kontrak yang ditawarkan oleh pihak Sony dan sejak bila mereka berminat dengan anda?

Saya menerima tawaran sebagai artis di bawah label tersebut untuk tiga tahun, dan tidak sangka sebenarnya mereka telah memantau saya selepas terbabit dengan sebuah program realiti pada tahun lalu. Namun, baru sekarang ini ia dimeterai secara sah (kontrak).

Apa perancangan yang disediakan selepas secara rasmi menjadi artis di bawah label itu?

Pihak Sony sudah merangka beberapa projek single untuk saya. Antaranya, saya kini sedang menanti lagu daripada penerbit dari Sweden dan Indonesia. Jika semua berjalan seperti dirancang, single pertama saya akan dilancarkan pada Januari tahun hadapan.

Sudah berapa lama anda tidak mempunyai lagu atau single terbaharu?

Kali terakhir saya mengeluarkan single ialah tiga tahun lalu berjudul Luar Biasa. Sehingga kini, sejak tahun 2012, saya memang tidak mempunyai lagu baharu.

Bagaimana jika dikatakan mungkin ekoran daripada beberapa kontroversi pada tahun lepas, sedikit sebanyak ia telah memberi impak positif kepada kerjaya anda?

Ini semua rezeki daripada Allah, disebabkan beberapa kontroversi pada tahun lalu (dicemuh kerana sikap lantang dan aksi menggoda di atas pentas). Saya telah dicalonkan sebagai antara lima finalis pada Anugerah Bintang Popular 2014 (ABP2014) bagi kategori Artis Komedi Wanita Popular dan pada tahun ini pula saya menerima tawaran sebagai artis rakaman Sony Music Malaysia. Alhamdulillah.

Previous Post Next Post