Aamir Khan dikecam kerana kenyataan berkaitan agama



PELAKON terkenal Bollywood, Aamir Khan, menerima kecaman hebat apabila beliau berkata sikap tiada toleransi agama yang semakin buruk di India mungkin memaksa beliau sekeluarga berhijrah ke negara lain.

Beberapa pemimpin Bharatiya Janata Party (BJP) dan pengguna media sosial menganggap kenyataannya itu boleh menimbulkan keadaan 'gempar'.

Dalam satu rancangan temu bual di Mumbai semalam, Khan berkongsi pendapatnya serta menyatakan beliau tidak bersetuju dengan perbuatan media serta ahli politik yang terus mengaitkan kumpulan pengganas dengan agama.

"Daripada menggelarkan mereka sebagai pengganas Kristian, pengganas Hindu atau pengganas Islam, kenapa tidak panggil saja mereka pengganas?" kata Khan dalam rancangan itu.

Pelakon berusia 50 tahun itu berkata beliau juga risau dengan tahap ketiadaan toleransi dan isterinya, Kiran Rao, mencadangkan agar mereka berhijrah kerana bimbang tentang keselamatan anak mereka.

Ramai peminat Khan memberi komen dalam media sosial tentang perkara itu dan kebanyakan mereka mempertahankan kenyataannya.

Mereka mendakwa, pembunuhan seorang lelaki warga emas di Uttar Pradesh baru-baru ini kerana dikatakan memakan daging lembu dan pengharaman penyembelihan lembu di semakin banyak negeri, terus menjadi penghalang kepada keharmonian beragama dalam kalangan rakyat India.


Beberapa peminat Khan menyalahkan ahli politik dan fahaman fundamentalis yang semakin menebal sebagai punca wujudnya keadaaan tidak selesa di sesetengah tempat.

Jurucakap BJP Nalin Kohli berkata Khan berhak memberi pendapatnya, tetapi beliau menegaskan bahawa India adalah negara yang mengamalkan sikap toleransi.

"Kamu tidak boleh mengambil pengecualian sebagai peraturan. Kamu tidak boleh lakukan sesuatu yang menggemparkan terhadap beberapa insiden yang menyimpang. Janganlah kita buat tafsiran tentang negara kita berdasarkan perkara itu," katanya.

Sementara itu, Ketua Menteri Delhi Arvind Kejriwal dalam laman twitternya menyokong kenyataan Khan itu dengan berkata: "BJP tidak patut sekat orang bersuara melalui penindasan dan ancaman."

Beliau dipetik saluran NDTV sebagai berkata, kini adalah masa yang tepat bagi kerajaan pusat untuk mengambil langkah konkrit bagi menyemai rasa selamat dalam kalangan rakyat.

India mempunyai lebih 1.25 bilion penduduk, hampir 16 peratus daripadanya beragama Islam.

Previous Post Next Post