Air mata Balqis, cabaran penjara Aeril


Aeril dan Balqis bergandingan menerusi drama Akulah Balqis yang kini ditayangkan di slot Akasia, TV3.

Di kala tekanan menguasai diri akibat desakan hidup, jiwa mereka yang masih terlalu rapuh, masih terlalu naif untuk ‘menghidu’ musibah yang bakal dihadapi kemudian hari, barangkali mudah untuk disebut ia sebagai ‘alpa’, mengisi plot drama Akulah Balqis dalam slot terbaharu Akasia, TV3.

Drama yang dibintangi oleh Puteri Balqis, Aeril Zafrel dan Nabila Huda itu menggantikan drama Hello Mr. Perfect yang sudah melabuhkan tirainya sejak Selasa lalu.

Melihat jalan cerita yang berat mengisi slot Akasia yang sebelum ini diisi dengan kebanyakan drama-drama ringan dan santai, Balqis dan Aeril percaya progresif drama dan watak yang dilakonkan mereka dalam Akulah Balqis bakal meninggalkan jejak di hati penonton Akasia.

Kekuatan watak anak jalanan yang ditinggalkan ibu bapa akibat najis dadah menjadi mukadimah dalam Akulah Balqis, manakala kemudian hari pula tidak perlu dituntut kepastiannya sehingga ia hadir membuka rahsia plot cerita yang sarat konflik dan air mata itu.

Plot tidak sama – Balqis

Sekali lagi menjiwai nama watak Balqis dalam drama, Balqis menyifatkan drama Akulah Balqis mempunyai plot yang berbeza dengan telemovie Balqis lakonannya sebelum ini.

Malah, Akulah Balqis bukan sambungan daripada telemovie Balqis yang mencipta kejayaan kepada Balqis atau dikenali sebagai adik Aqish itu meraih dua anugerah iaitu Pelakon Wanita Terbaik Asia di Anugerah Televisyen Asia 2014 dan Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Skrin 2014 (ASK2014).

“Plot cerita kali ini lain. Ia tiada kena mengena dengan telemovie Balqis sebelum ini. Watak saya kali ini lebih berat. Banyak babak yang memerlukan saya menangis. Sampai satu tahap, tidak ada air mata yang nak keluar sebab kerap sangat menangis demi menjiwai watak Balqis,” jelas pelakon berusia lapan tahun itu dengan lancar tanpa ditemani ibu bapanya untuk di temu bual kru Sensasi Bintang.



Bagi Balqis, memahami watak dan jalan cerita dengan teliti mampu mengundang air matanya tanpa dapat ditahan-tahan.

“Selain itu, setiap kali menjayakan babak menangis, saya juga akan cuba teringat kembali kucing-kucing kesayangan yang sudah mati iaitu Jaguar dan Chucky. Begitu juga monyet Simba yang sudah meninggalkan saya dan famili. Fikir balik mengenai mereka boleh membuatkan saya menangis,” luahnya yang dahulu mempunyai 20 ekor kucing termasuk seekor monyet belaan.

Sedikit terbeban

Tidak pernah berasa lelah berlakon, malah turut menyifatkan ia sebagai minat, namun Balqis sedikit terbeban memberikan lakonan yang terbaik selepas meraih dua anugerah besar dalam hidupnya itu.

“Bagi saya memang ada rasa sedikit terbeban selepas menang anugerah tetapi saya percaya jika lakukan ia (berlakon) dengan ikhlas dan bukan kerana terpaksa, seseorang itu pasti akan berjaya. Memang kadangkala rasa penat berlakon tetapi ia tidak mendatangkan masalah bagi saya kerana memang sejak dahulu lagi saya suka berlakon,” ujarnya yang tidak pernah dipaksa berlakon oleh kedua-dua ibu bapanya.

Lebih daripada itu, Balqis juga lain seperti kanak-kanak yang seusia dengannya.

“Saya jarang menonton cerita kartun. Ada ketikanya sahaja. Selalunya, saya suka tengok filem-filem bergenre profesional seperti Quitting, Breaking Bad dan Social Redemption. Secara tidak langsung saya dapat belajar teknik-teknik lakonan menerusi filem bagus itu,” ungkapnya yang turut mempraktikkan seni bela diri Wing Chun sebagai langkah untuk keselamatannya.

Aeril gugup berlakon dalam penjara

Membawakan watak Yamin iaitu bapa kepada Balqis dan suami kepada Seri (lakonan Nabila), Aeril Zafrel berdepan dengan cabaran tersendiri menjayakan wataknya itu.

“Saya dikelilingi pelakon yang hebat iaitu Balqis dan Nabila. Maka, saya kena bagi lakonan yang seiring dengan mereka.

“Ini merupakan kali pertama saya berlakon watak tangan digari dan bermandi dengan air sejuk di dalam penjara.

“Tambahan pula babak itu memerlukan saya duduk di tandas sebenar di sebuah penjara yang pernah dihuni beberapa banduan sebelum ini,” kongsi Aeril mengenai cabaran menjayakan watak Yamin dalam drama Akulah Balqis.





Biar berasa gugup menjejakkan kaki di dalam penjara sebenar, suami kepada pelakon Wawa Zainal itu tidak pernah putus berdoa.

“Masa diminta pakai baju banduan pun saya sudah beristighfar banyak kali. Walaupun cerita ini (Akulah Balqis) mengangkat sisi negatif, namun di hujung penceritaan ada mesej positif yang ingin disampaikan. Drama yang mengangkat tema kekeluargaan ini banyak memberi keinsafan,” ujar Aeril mengenai drama Akulah Balqis terbitan Rumah Karya Citra Sdn. Bhd. yang bersiaran setiap Isnin hingga Khamis, pukul 7.02 malam itu.

Dakwah

Hampir lima tahun berlakon, Aeril juga menginginkan pengiktirafan. Disebabkan itu, pelakon berusia 27 tahun itu kini lebih selektif menerima tawaran yang datang.

“Tidak bermaksud selektif itu saya hanya menerima watak-watak berat sahaja. Jika watak ringan tetapi jalan ceritanya menarik juga saya terima. Pada saya melakonkan watak komedi itu juga sukar. Sebab bukan mudah nak buat orang ketawa,” jelasnya yang juga gemar menyampaikan dakwah menerusi laman sosial.

Bagi Aeril, dia tidak layak memberi tazkirah pada majlis-majlis agama, sekurang-kurangnya dia menyampaikan sesuatu berkaitan agama Islam di laman sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram.

“Biar segelintir yang membaca dan mempraktikkan apa yang saya sampaikan, ia sudah memadai bagi saya,” luahnya yang menyukai penulisan Ramlee Awang Murshid.

Previous Post Next Post