Amar Baharin tidak berlakon untuk anugerah


BAGI Amar, apa yang paling penting dia dapat memberikan yang terbaik dalam setiap watak yang diberikan kepadanya.

Biar hakikat Amar Baharin bukan satu nama yang besar seperti Remy Ishak dan Aaron Aziz tetapi dia menjadi antara wajah kegilaan peminat.

Kelangsungan perjalanan seni pelakon yang memiliki sebanyak 837,000 pengikut di laman Instagram itu sedang berada di trek selesa.

Bermula daripada program pencarian bakat Anak Wayang (2009), Amar kini menjadi buruan penerbit drama, filem dan teater.

Tahun ini sahaja, nama Amar tersenarai dalam beberapa buah drama dan teater seperti Cik Bunga Dan Encik Sombong, Alif Imani, Hujan Pagi, Pengantin 3 Jam, Jalan Singkat Ke Syurga dan Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck.

Kini, dia sibuk menjalani penggambaran drama adaptasi novel Tersuka Tanpa Sengaja nukilan Pena Kayu yang diangkat ke kaca televisyen oleh produksi Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd.

Drama yang menuntutnya menjiwai watak doktor bernama Syed Arif itu turut dibintangi oleh Emma Maembong, Amyra Rosly dan Hafreez Adam.

Sekali lagi membawa watak di dalam novel selepas Kerana Terpaksa Aku Relakan, bagi Amar ia satu penghormatan untuk dirinya.

“Sejujurnya saya tidak bosan sering ditawarkan berlakon dalam drama yang diangkat daripada novel. Saya berasa bangga dan menganggap ia sebagai rezeki yang sudah tertulis. Bagi saya, bukan mudah dapat berlakon watak utama di dalam drama yang diangkat daripada novel terkenal. Ramai pelakon yang mengimpikannya. Saya harus memilih karya berbeza agar penonton tidak melabelkan sebagai stereotaip,” ujarnya kepada Sensasi Bintang.



Walapun sering menjayakan watak di dalam novel yang barangkali dianggap ‘ringan’, namun Amar mengaku, dia turut menerima watak-watak berat dalam drama dan juga telemovie.

“Alhamdulillah, sebuah telemovie iaitu Hujan Pagi dan drama Cik Bunga Encik Sombong berjaya tercalon dalam Anugerah Seri Angkasa 2016 (ASA2016). Ini merupakan kali pertama cerita saya dicalonkan, malah saya turut tercalon menerusi kategori Pelakon Lelaki Terbaik,” kongsinya yang tidak kecewa tidak memenangi sebarang anugerah walaupun hampir enam tahun berada dalam industri.

Bagi Amar, dia berlakon bukan untuk memenangi anugerah. Sebaliknya memikul amanah yang diberi sebaik mungkin.

“Kalau dapat anugerah, itu rezeki. Paling penting saya memberikan lakonan terbaik,” luahnya yang sebelum ini pernah dikritik pelakon Izreen Azminda kerana gagal menjiwai watak Zainudin dalam teater Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck.

Tidak berkecil hati dengan kritikan itu, Amar menyifatkan mungkin hanya segelintir peminat yang tidak menyukai lakonannya.

“Saya terima banyak komen positif. Hanya segelintir termasuk dia (Izreen) yang memberi komen negatif. Saya berterima kasih kerana dia mengikuti perkembangan saya,” ujarnya yang tidak kisah andai digandingkan dengan Izreen di dalam drama kelak.

Previous Post Next Post