Awi Rafael belum sedia pindah Malaysia


LIMA tahun mencuba rezeki di Malaysia, Awi Rafael menafikan dia tidak mempunyai permit sah untuk masuk ke negara ini sebagai artis.

NAMA penyanyi kelahiran Singapura, Awi Rafael dilihat agak sepi kebelakangan ini daripada cerita panas. Apa yang ada hanyalah putaran lagu-lagunya di corong radio seperti Kalau Aku Kaya dan terbaharu, Manusia Sempurna.

Diam tak diam, tiba-tiba namanya dibangkitkan dengan satu cerita tidak enak apabila didakwa tidak pernah mempunyai permit kerja di negara ini.

Malah, dakwaan yang dikeluarkan dalam ruangan pojok sebuah akhbar tempatan turut mendedahkan Awi, 29, menyalahgunakan pas lawatan sewaktu menjalankan aktiviti seni di sini.

Tenang dan bersahaja menjawab isu tersebut, pelantun lagu Pulanglah itu punya jawapan menjawab dakwaan tersebut.


Artis Meletop!: Mengenai penyebaran berita Awi tidak mempunyai permit sah untuk bekerja di Malaysia, boleh beri penjelasan?

AWI: Syarikat pengurusan saya di sini ialah Warner Music dan segala urusan berkaitan dengan permit mereka yang jaga. Jadi, saya tidak pasti bagaimana soal sebegini boleh timbul pula. Selama ini mereka jaga saya dengan baik dan tidak pernah berlaku perkara seumpama ini. Selama lima tahun giat melakukan aktiviti seni di negara ini, saya tidak pernah lupa membayar cukai dan sudah berhabis ribuan ringgit untuk perkara itu sahaja. Semua resit dan bukti pembayaran masih saya simpan. Cuma, saya rasa perkara sebegini berlaku kerana salah faham. Lebih-lebih lagi, saya orang luar dan situasi ini memudahkan cerita-cerita sebegitu wujud. Apa-apa pun, saya tidak berani komen lanjut sebab ini melibatkan pihak imigresen dan Warner Music.

Jadi, apakah reaksi apabila tiba-tiba nama anda dikaitkan dengan isu ini?

Sejujurnya, saya okay sahaja. Bagi saya ia hanyalah salah faham dan situasi ini sangat normal bagi orang luar yang datang bekerja di mana-mana negara. Kemungkinan, cerita ini timbul daripada perbualan dan meleret menjadi kisah yang tidak betul. Apa-apa pun, saya tidak marah atau kecil hati dengan berita sebegitu.

Lima tahun mengembangkan bakat di negara ini, tidakkah pernah anda terfikir untuk menukar status kerakyatan Malaysia?

Insya-Allah, niat itu memang ada. Cuma, buat masa sekarang saya mahu fokus kepada kerjaya terlebih dahulu. Lagi pula, peraturan untuk orang bujang seperti saya sangat ketat dan ia menyukarkan saya berbuat demikian. Akan ada masanya nanti kalau dipermudahkan Tuhan, mana tahu saya akan bertemu jodoh dengan orang Malaysia, bolehlah terus menetap di sini (ketawa).

Boleh kongsikan perkembangan terkini anda?

Sekarang sedang sibuk mempromosi single baharu Manusia Sempurna duet bersama Ayai Ilusi dan dalam masa terdekat, muzik video lagu tersebut bakal dilancarkan di YouTube. Selain itu, saya akan muncul dengan single terbaharu menjelang awal tahun hadapan. Untuk peminat pula, nantikan kehadiran album saya yang akan dilancarkan pada bulan April 2016 jika tiada aral melintang.

Jika diteliti, karier anda berjalan lancar tetapi agak perlahan. Apakah komen anda?

Memang betul. Jarak kekerapan single saya keluar di pasaran agak panjang. Lagu Kalau Aku Kaya dikeluarkan pada penghujung 2013, kemudian, barulah saya tampil dengan single Manusia Sempurna pada tahun ini. Selain menyanyi, saya juga sibuk menghasilkan lagu untuk artis lain. Contohnya, lagu Jatuh Dari Langit untuk pelakon Atikah Suhaime yang digunakan sebagai runut bunyi filem Suamiku Jatuh Dari Langit.

Previous Post Next Post