Evan Sanders Gementar Reaksi Sheila Majid


Evan Sanders bakal muncul dengan filem berjudul Sinaran.

Pelakon dan penyanyi Indonesia Evan Sanders mengakui gementar apabila perlu merakamkan lagu nyanyian asal Datuk Sheila Majid berjudul Antara Anyer dan Jakarta untuk filem muzikal Sinaran.

Evan, 34, berkata, dia bimbang dengan reaksi penyanyi terkenal itu apabila mendengar versi nyanyiannya menerusi lagu tersebut memandangkan ia sebuah lagu yang cukup dikenali dirantau ini.

"Tiada perasaan lain selain gementar kerana lagu yang diberi kepada saya adalah sebuah lagu besar dan dinyanyikan oleh seorang lagenda.

"Dalam fikiran saya bagaimana reaksi Sheila apabila mendengar nyanyian versi saya dan ia sedikit sebanyak memberi cabaran dan tekanan kepada saya," katanya.

Evan berada di Malaysia untuk mempromosikan Sinaran yang turut menampilkan barisan pelakon seperti Lisa Surihani, Syarif, Izara Aishah dan penampilan khas Datuk Sheila Majid.

Diarahkan oleh Osman Ali, filem muzikal itu bakal menemui penonton bermula 26 November depan.



Barisan pelakon filem Sinaran.

Dalam pada itu, Evan tidak menyangka Sheila menyukai versi nyanyiannya menerusi lagu dan menyapanya untuk mengucapkan tahniah kepadanya ketika mereka bertemu baru-baru ini.

Jelas Evan, ratu Jazz itu seorang yang sangat merendah diri dan pertemuan bersama Sheila adalah antara momen indah dalam kerjayanya.

"Sukar digambarkan kata-kata pertemuan dengan Sheila namun dia seorang yang sangat merendah diri dan ramah dan menyukai lagu nyanyian saya," jelasnya.


Sheila Majid.

Sementara itu, Evan berkata, dia teruja dengan filem Sinaran yang menggandingkan pelakon dari tiga negara dan berharap ia akan dapat diterima baik oleh penonton.

Kata Evan, sepanjang berlakon dalam naskah tersebut dia banyak mempelajari perkara baharu terutamanya dari Osman dan barisan pelakon lain.

"Ia sebuah filem muzikal yang ringan tetapi cukup menyeronokkan ditambah penampilan pelakon dari tiga negara memberi kelainan kepada naskah ini. Ia pengalaman cukup menarik," katanya.

Previous Post Next Post