Hafiz Suip tunai umrah 3 Disember depan


HAFIZ telah mengikat tali pertunangan dengan Nureffy Jasreel Abdullah pada Februari lalu dan mengakui berdebar menanti hari bahagianya.

Penyanyi terkenal Hafiz Suip, 25, bakal menamatkan zaman bujangnya pada 14 Mei tahun depan bersama tunangnya Nureffy Jasreel Abdullah, 22, di Kuching, Sarawak. Meskipun masih berbaki enam bulan, Hafiz sudah mula merasai debaran raja sehari.

Hafiz yang ditemui pada majlis sidang akhbar separuh akhir Muzik-Muzik 30 baru-baru ini mengakui cukup berdebar menanti hari bersejarah tersebut. Justeru, penyanyi yang popular dengan lagu Matahari itu memilih untuk memperlahankan kerjaya seni untuk memberi fokus kepada persiapan perkahwinannya serta kehidupan peribadinya.

Tambahnya lagi, dia juga akan menunaikan ibadah umrah buat kali pertama bersama ahli keluarga pada bulan Disember ini. Kata Hafiz itu merupakan impian yang disimpan selama ini dan ingin menunaikan hasrat tersebut sebelum berkahwin.

Selain itu, Hafiz juga bercerita mengenai keterujaannya apabila lagu duet bersama Adira iaitu Untuk Cinta yang merupakan lagu tema filem Pilot Cafe berjaya melangkah ke separuh akhir Muzik-Muzik 30.


Artis Meletop!: Apa khabar Hafiz? Mengapakah kebelakangan ini kerjaya anda kelihatan semakin suram?

HAFIZ: Khabar baik. Sebenarnya saya memang sengaja memperlahankan kerjaya seni untuk memberi fokus kepada persiapan perkahwinan dan kehidupan peribadi. Sebelum ini kecederaan tulang belakang membataskan pergerakan saya. Sekarang sudah 90 peratus pulih, saya sibuk dengan persiapan perkahwinan pula ditambah dengan perniagaan restoran menyebabkan saya kurang muncul untuk publisiti. Namun, persembahan pentas berjalan seperti biasa, cuma saya tidak ada lagu baharu.

Bagaimanakah perasaan anda bakal menamatkan zaman bujang tidak lama lagi?

Setiap kali bercerita mengenai perkahwinan, saya pasti berdebar. Walaupun lagi enam bulan, tetapi banyak persiapan yang harus dilakukan. Bimbang, takut dan gembira semua perasaan bercampur baur. Selama ini hidup bersama keluarga, tidak lama lagi saya pula yang akan jadi ketua keluarga. Jika berfikir saat saya akan melalui detik akad nikah, lagi berderau jantung dibuatnya (ketawa).

Apakah persiapan perkahwinan yang telah dilakukan?

Alhamdulillah, setakat ini sudah 50 peratus persiapan siap seperti tempahan lokasi perkahwinan dan barang hantaran. Namun, ada banyak lagi perkara yang belum selesai seperti tema untuk majlis resepsi yang akan berlangsung sehari selepas majlis akad nikah. Jika lelaki lain, biasanya mereka akan menyerahkan persiapan perkahwinan kepada keluarga, tetapi kalau boleh saya mahu lakukan semuanya sendiri. Bukan cerewet, namun bagi saya perkahwinan sesuatu yang sangat penting dan akan dikenang seumur hidup. Ikutkan, pelamin pun saya mahu buat sendiri (ketawa).

Adakah anda menerima sebarang tajaan untuk perkahwinan?

Kalau boleh saya mahu majlis perkahwinan berlangsung secara sederhana dan menggunakan wang hasil titik peluh sendiri kerana rasanya lebih bermakna. Namun, saya tidak menolak tajaan daripada mana-mana pihak cuma bukan untuk keseluruhan majlis. Saya ingin majlis perkahwinan mengikut cita rasa sendiri, oleh itu penajaan yang diterima hanya 20 peratus daripada kos keseluruhan majlis.

Boleh kongsikan perancangan kerjaya anda?

Apa yang boleh dikatakan, selepas berkahwin saya akan kembali sibuk dengan kerjaya nyanyian. Mungkin akan keluar lagu baharu dan berharap peminat terus memberi sokongan kepada saya. Saya sedar kerjaya nyanyian ada naik dan turun. Bukan selalu kita di atas, ada masanya berada di bawah. Ibarat putaran roda. Saya harus berusaha keras supaya nama tidak tenggelam. Doakan yang terbaik untuk saya.

Apakah perasaan anda apabila lagu Untuk Cinta duet bersama Adira layak ke separuh akhir Muzik-Muzik 30?

Saya bersyukur dengan pemilihan lagu Untuk Cinta dan menganggap ia sebagai rezeki. Bagaimanapun, dalam masa yang sama saya tidak boleh terlalu yakin kerana banyak lagu lain juga cukup hebat. Saya hanya boleh berusaha beri yang terbaik, selebihnya berserah kepada rezeki.

Khabarnya anda akan menunaikan umrah pada bulan Disember ini?

Ya, saya akan menunaikan umrah bersama ahli keluarga selama dua minggu bermula 3 Disember ini. Sebenarnya, inilah impian terbesar saya sejak bekerja iaitu membawa ahli keluarga ke Mekah. Sebelum berkahwin, kebetulan ada kelapangan dan rezeki, rasanya tidak perlu ditangguhkan lagi. Ini merupakan umrah pertama saya dan sudah tentu cukup teruja dan berdebar. Harap perjalanan kami ke sana di permudahkan Allah.

Previous Post Next Post