Hanez Suraya Mengigau Gara-Gara Tonton Video Wanita Bersalin


Hanez Suraya teruja menantikan kelahiran anak sulungnya yang dijangka pada penghujung Disember depan.

Gara-gara menonton video wanita bersalin di Youtube, pelakon Hanez Suraya berasa bimbang akan keadaannya yang dijangka akan bersalin pada penghujung Disember nanti.

Hanez atau nama sebenarnya Hanez Suraya Abdul Aziz, 30, berkata, perasaan bimbang itu turut terbawa-bawa sehingga dalam mimpi ketika sedang tidur.

"Doktor dah pesan jangan tengok video orang bersalin di Youtube, takut nanti kita bimbang dengan keadaan diri kita masa bersalin nanti.

"Tetapi saya tetap mahu menonton video itu. Bukannya apa, sebagai wanita yang pertama kali bakal bergelar ibu, saya mahu tahu apa yang akan berlaku.

"Selepas menonton video tersebut, perasaan saya sedikit bimbang apakah yang bakal saya lalui nanti. Sampai saya mengingau semasa tidur. Hahaha..," katanya yang dihubungi mStar Online pada Jumaat.

Tambah Hanez, dia juga telah meminta nasihat daripada ibunya dan mendapatkan khidmat bidan bagi persediaan bersalin dan proses berpantang nanti.

Dalam pada itu, kata Hanez, dia banyak menghabiskan masa berehat di rumah kerana tubuh badannya kini mudah letih.Namun, dia tetap cuba keluar berjalan-jalan bersama keluarga, bagi memudahkan proses kelahirannya nanti.


"Sekarang ini, berat badan saya mencecah 71 kilogram (kg). Berbanding dengan sebelum mengandung, 51 kg. Jadi saya mudah letih dan kadang-kadang mengalami sedikit masalah tidur.

"Jadi, walaupun tidak ada aktiviti, saya akan banyakkan berjalan dengan keluarga," tuturnya.

Ditanya apakah perancangannya dalam karier selepas bersalin nanti, kata Hanez, dia ingin memberi fokus kepada bakal anaknya dan keluarga dahulu sebelum memikirkan tentang kerjaya seni.

"Saya pun tak tahu macam mana susunan masa saya selepas bersalin nanti. Tengok dahulu macam mana., yang penting saya mahu fokus pada anak yang bakal lahir ini dan keluarga dahulu sebelum memikirkan tentang kerja pula," tuturnya.

Hanez telah mendirikan rumah tangga dengan Romie Razin Adilha Abd Rais pada 14 Mac lalu.

Previous Post Next Post