Isteri Tak Masuk Campur Urusan Kerjaya Shukri Yahaya


Shukri Yahya dan Tya Adnan selamat disatukan sebagai suami dengan dengan hanya sekali lafaz pada majlis yang diadakan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini, Jumaat.

Isteri kepada pelakon Shukri Yahaya iaitu Tya Adnan tidak akan mencampuri sebarang urusan berkaitan kerjaya suaminya itu.

Tya atau nama sebenarnya Siti Nurfatihah Ahmad Adnan, 23, berkata, dia juga tidak berhasrat untuk menguruskan kerjaya lelaki berkenaan seperti mana dilakukan kebanyakkan isteri selebriti lain.

"Seperti mana sebelum berkahwin saya tidak pernah masuk campur dalam urusan kariernya ia tetap akan sama selepas berkahwin.

"Sebagai isteri saya sentiasa menyokong kariernya dan percaya suami akan bersikap telus seperti dilakukan sepanjang empat tahun kami bercinta," katanya.

Terdahulu Tya dan Shukri selamat disatukan sebagai suami dengan dengan hanya sekali lafaz pada majlis yang diadakan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini, Jumaat.

Pasangan itu dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Perkahwinan dan Perceraian Putrajaya, Muhd Redza Ahmad dan berwakil walikan bapa Tya sendiri, Ahmad Adnan Ishak.

Shukri atau nama sebenarnya Mohd Shukri Yahya, 27, menyerahkan mas kahwin berupa wang tunai berjumlah RM300 termasuk sebentuk cincin manakala wang hantaran dirahsiakan.

Dalam pada itu, Shukri berkata, Tya tidak meletakkan sebarang syarat tertentu kepadanya seperti bersentuhan dalam lakonan kerana memahami kariernya sebagai pelakon.

Bagaimanapun kata Shukri, isu berkenaan bukan lagi masalah kerana garis panduan baharu daripada Lembaga Penapisan Filem (LPF) tidak membenarkan adegan ghairah atau bersentuhan.




"Tya tidak pernah letak apa-apa syarat tetapi saya sendiri sebagai lelaki dan suami tahu adab dan batas saya selepas berkahwin.

"Malah LPF pun dah keluar garis panduan baharu jadi ia tidak menjadi masalah," jelasnya.

Sementara itu, Shukri berkata, selain gembira akhirnya dapat disatukan sebagai suami isteri dia sedar tanggungjawabnya semakin berat selepas ini.

Harapannya agar dapat menjadi seorang suami terbaik kepada Tya selain mengimpikan sebuah keluarga besar.

"Semasa bujang perhatian saya hanya pada keluarga dan diri sendiri tetapi apabila sudah berkahwin saya mempunyai tanggungjawab besar.

"Insya-Allah saya akan jadi seorang yang lebih baik dan doakan kebahagian kami," ujarnya.

Ditanya soal anak, Shukri memberitahu dia berharap akan segera dikurniakan cahaya mata kerana menyukai kanak-kanak.

"Jika boleh saya mahu anak cepat dan mahu sebuah keluarga besar," katanya.

Dalam perkembangan sama, Shukri berkata, mereka berdua tidak merancang untuk berbulan madu memandangkan jadualnya penggambarannya padat sehingga penghujung tahun ini.

Bagaimanapun kata Shukri, dia merancang untuk ke Mekah bersama isterinya pada tahun hadapan bagi melakukan umrah.

Previous Post Next Post