Keikhlasan kasih Shukri Yahaya & Tya Adnan


PANCARAN cahaya mentari yang membelah gumpalan awan kelabu di dada langit sekitar Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya pada petang Jumaat lalu seperti mengerti gelojak gembira jiwa pelakon Shukri Yahaya dan pasangannya, Tya Adnan.

Walaupun rintik gerimis masih berbaki membasahi bumi, suasana selepas hujan yang redup ketika itu bagai memberi sedikit kenyamanan, mengiringi hari bersejarah buat dua insan bercinta itu untuk mengikat janji.

Segak dan anggun dibalut persalinan berona putih rekaan Lumiere Concept, mempelai yang melangkah masuk ke ruang solat masjid mengukir senyuman, tanda rasa teruja yang sedang mekar membunga sebelum menuju ke fasa baharu bergelar pasangan suami isteri.

Dengan sekali lafaz, Shukri atau nama lengkapnya, Mohd. Shukri Yahaya, selamat diijab kabulkan bersama Tya tepat pukul 3.36 petang.

Jelas terpancar riak kelegaan daripada wajah dua sejoli itu, Shukri memberitahu, rasa gementar tetap ada walaupun sudah hampir beberapa kali melakonkan babak melafazkan akad dalam drama-drama lakonannya.

“Jujur, memang sebelum ini saya sudah biasa melakonkan babak majlis pernikahan. Namun, rasa gementar itu ada, lebih-lebih lagi sebelum melafazkan akad.

“Bagaimanapun, selepas segalanya selesai dan saya sudah sah bergelar suami kepada Tya, perasaan gembira dan bersyukur pula datang bertandang. Alhamdulillah, segalanya berjalan dengan lancar,” ujar Shukri membuka bicara.

Tanggungjawab

Walaupun jiwa Shukri terjalin indah dengan rasa gembira dan teruja, lelaki berusia 27 tahun itu tidak mudah terlupa dengan tanggungjawab baharunya sebagai seorang suami.

Ujar pelakon drama bersiri Dia Isteri Luar Biasa itu, tanggungjawabnya kini sudah semakin bertambah. Dia juga perlu bijak untuk mengemudi rumah tangga selain tidak melupakan kebajikan kepada kedua ibu bapanya.

“Tanggungjawab saya semakin berat. Dulu, saya hanya menumpukan perhatian kepada ibu dan ayah.



Tidak akan berbulan madu dalam masa terdekat, Shukri memasang impian untuk membawa Tya menunaikan umrah pada tahun hadapan.

“Kini, segalanya sudah berubah. Saya sudah bergelar suami dan perlu belajar untuk lebih bertanggungjawab dalam perihal menjaga rumah tangga dan juga isteri,” katanya.

Dalam transisi statusnya bergelar suami kepada wanita pilihan hati, Shukri berkata, banyak perkara yang perlu diberi perhatian terutamanya cara hidup dan rutin hariannya.

“Ibu saya ada berpesan supaya menjadi lebih bijak dalam menguruskan rutin harian sebagai seorang suami.

“Jika dahulu kerap kali pulang lewat dan gemar melepak dengan rakan-rakan, kini saya perlu mengehadkan aktiviti sosial di luar,” katanya lagi.

Memberi persepsi bahawa dia dan Tya sudah bersedia seratus peratus untuk membina sebuah keluarga yang lebih besar, mereka tidak menolak sekiranya pintu rezeki terbuka luas untuk menimang cahaya mata dalam masa terdekat.

“Kami tidak merancang, sebalik berserah kepada Tuhan.

“Namun, kalau boleh memang mahu cepat dapat anak. Sebab saya suka budak-budak,” ujarnya sambil tersenyum.

Dia pandai pujuk – Tya

Perjalanan cinta Shukri dan Tya mungkin berbeza jika mahu dibandingkan dengan pasangan lain.

Walaupun bertemu sewaktu sama-sama membintangi filem Ular, namun, rasa cinta datang menyapa hanya selepas mereka menyudahkan rakaman filem yang turut dibintangi oleh Lisa Surihani, Yusry Abd. Halim dan Izzue Islam itu.

“Shukri menghubungi saya selepas kami selesai menjalani penggambaran filem Ular. Pada waktu itu, dia menghantar mesej peribadi menerusi laman Twitter.

“Dari situ, kami bertukar nombor telefon dan mula berkawan,” ujar Tya atau nama lengkapnya, Siti Nurfatihah Ahmad Adnan, 23, sambil mengimbau kembali memori perkenalannya bersama Shukri.

Begitupun, kongsi pelakon yang pernah membintangi filem Karak itu, rasa sayang mula bercambah selepas tiga bulan membina hubungan atas dasar persahabatan.

“Dalam tempoh tiga bulan mengenalinya sebagai sahabat, rasa sayang mula hadir.

“Shukri merupakan seorang lelaki yang jujur dan pandai memujuk. Jika dia marahkan saya sekalipun, perkara tersebut tidak akan berpanjangan. Dalam masa satu jam, pasti kami akan berbaik semula,” tutur Tya sambil menyifatkan suaminya sebagai seorang yang kelakar.

Menyedari hakikat bahawa Shukri begitu serius dalam membina hubungan cinta bersamanya, Tya kemudiannya mengikat tali pertunangan bersama belahan jiwanya itu pada 11 Januari 2013.

“Dalam tempoh setahun bersamanya, saya sedar bahawa dia adalah lelaki yang telah ditakdirkan untuk saya.

“Justeru, saya tidak berfikir dua kali apabila Shukri mengajak kami melangkah ke fasa seterusnya dengan mengikat tali pertunangan,” katanya.

Sentiasa bersama

Shukri pula menyifatkan Tya sebagai pasangan pilihan yang paling tepat memandangkan wanita itu sentiasa berada di sisinya saat sukar mahupun senang.

“Sukar untuk mencari wanita lain seperti Tya. Ketika baru setahun jagung bertatih dalam industri hiburan, dia merupakan individu yang paling banyak membantu saya.

“Walaupun pada waktu itu saya bukanlah siapa-siapa, namun dia tetap berada di sisi dalam menyokong kerjaya saya sebagai pelakon. Perkara itu yang menyebabkan saya sangat menyayanginya,” ujar Shukri tanpa selindung.


Shukri merahsiakan jumlah wang hantaran yang diberikan kepada Tya kerana menyifatkan perkara itu tidak perlu dikongsi bersama umum.

Tidak mahu mensia-siakan pengorbanan yang dilakukan oleh Tya, Shukri lebih selesa berlaku jujur, lebih-lebih apabila berbicara tentang soal lakonannya dengan pelakon wanita.

“Sejak mengikat tali pertunangan dengan Tya, saya sudah mula mengamalkan sikap jujur. Sehingga kini, saya akan memberitahunya jika ada babak yang memerlukan saya bermesra dengan pelakon wanita.

“Saya bersyukur kerana dia memahami kerjaya saya, sementelah dia juga pernah berada dalam bidang yang sama suatu ketika dulu,” ujar Shukri lagi.

Privasi

Mengulas mengenai fasa baharu kehidupannya sebagai pasangan suami isteri, Shukri berkata, dia enggan terlalu mempamerkan momen bahagianya bersama isteri menerusi laman sosial.

Ujar Shukri, walaupun kini sah bergelar suami kepada Tya, namun, persepsi masyarakat terhadap kehidupan selebriti masih belum boleh diubah.

“Kalau boleh, saya dan isteri tidak mahu terlalu terbuka dengan berkongsi kehidupan kami di laman sosial. Kami tidak mahu orang meluat dengan kelakuan kami.

“Sewaktu masih belum berkahwin orang boleh mengata macam-macam. Apatah lagi apabila sudah bergelar pasangan yang sah. Orang akan terus bercakap mengenai kita,” katanya.

Akui Shukri, disebabkan soal privasi jugalah dia mengambil keputusan untuk tidak mendedahkan jumlah wang hantaran yang diberikan kepada Tya.

“Apabila kita bergelar selebriti, orang akan bercakap mengenai kehidupan kita. Sebab itu saya tidak mahu mendedahkan jumlah wang hantaran yang diberikan kepada isteri.

“Jika wang itu terlalu banyak, orang akan cakap saya menunjuk. Jika terlalu sedikit pula, ada yang akan kata saya tidak mampu. Jadi, lebih baik rahsiakan sahaja demi menjaga hati semua pihak,” katanya lagi.

Ditanya destinasi bulan madu pilihan mereka, Shukri memberitahu mereka tidak merancang untuk pergi berbulan madu dalam masa yang terdekat.

Namun, jika diberikan kesempatan dan dimurahkan rezeki, dia berhasrat untuk membawa Tya mengerjakan umrah pada tahun hadapan.

“Besar harapan saya untuk pergi mengerjakan umrah bersama-sama isteri pada tahun hadapan,” katanya menutup bicara.

Previous Post Next Post