Kemudi seni Syarul Ridzwan



TOLAK-ANSUR - Menurut Syarul, walaupun meletakkan syarat untuk tidak bersentuhan dengan pelakon wanita, ia tidak memberi sebarang kesan terhadap tawaran lakonannya. Bahkan, dia diberi peluang untuk berbincang dengan pengarah dan penerbit apabila berdepan dengan babak yang memerlukannya bersentuhan.

APABILA seorang pelakon diberi kepercayaan untuk menggalas sesuatu watak, dan secara kebetulan watak tersebut dijayakan dengan sempurna, sudah pasti asosiasi pelakon itu dengan karakter yang dimainkan melekat kuat dalam minda penonton.

Hampir terjadinya klise, penonton yang sudah terbiasa dengan ruang lingkup watak tersebut pasti ingin disogok kembali dengan perwatakan yang hampir serupa.

Mengalami situasi yang hampir sama, pelakon Syarul Ridzwan mengakui lebih dikenali sebagai pemain yang sering membawakan watak lelaki romantik berbanding watak-watak lain.

Enggan dilabel sebagai pelaku seni yang laris hanya bersandarkan karakter romantik di layar kaca, lelaki berusia 26 tahun itu berkata, dia kini meletakkan pengkhususan terhadap pilihan karya yang dibuat agar kariernya tidak terus dipacu pada laluan mendatar.

“Sejak melakonkan watak Tengku Zaril dalam drama bersiri Hati Perempuan, ramai yang meminta saya untuk menjayakan watak seperti itu.

“Saya tidak mahu digelar pelakon stereotaip yang hanya mampu membawakan watak tertentu sahaja tetapi pada masa sama, saya juga sedar bahawa watak-watak sebegitu merupakan elemen yang mampu untuk melariskan sesebuah drama atau telefilem.

“Justeru, apa yang boleh dilakukan adalah terus melakonkan karya-karya komersial di samping memilih naskhah bersifat berat yang boleh memperbaiki mutu lakonan saya pada masa akan datang,” jelas Syarul.

Menurut anak jati kelahiran Kuantan, Pahang itu, pemilihan karya yang tidak komersial perlu jika ia merupakan platform terbaik bagi seseorang pelakon untuk mengasah bakat sebagai seorang pelakon.

“Usia saya dalam industri masih setahun jagung. Banyak perkara yang perlu dipelajari dan perbaiki.

“Jadi, pemilihan watak adalah penting agar penggiat seni di luar sana dapat menilai bakat yang saya miliki,” katanya.

Pentas teater

Biarpun masih hijau dalam industri hiburan, Syarul dilihat berani mengambil risiko apabila bersetuju untuk menjayakan pementasan teater adaptasi karya Hamka, Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck di Panggung Sari Istana Budaya, Oktober lalu.

Bagaimanapun, percaturan Syarul yang diberi tanggungjawab memegang watak Muluk tidak menjadi apabila rata-rata pengkritik teater tidak berpuas hati dengan persembahan yang diberikan.

Namun, kritikan tersebut tidak pernah mematahkan semangatnya untuk terus berjuang di atas pentas teater.

Justeru, apabila dia ditawarkan untuk memegang watak Putera Raja oleh produser dan sutradara Erma Fatima dalam pementasan kisah dongeng Bawang Putih Bawang Merah bermula 3 Disember depan, dia tidak mengambil masa yang lama untuk memberi persetujuan.

“Memang ada yang memberikan pendapat bahawa lakonan saya kurang mantap dalam pementasan teater Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck bulan lalu.

“Ia merupakan percubaan pertama saya beraksi di atas pentas teater. Disebabkan rasa gugup, banyak kesilapan yang dibuat.

“Jadi, apabila diberi kesempatan kedua untuk beraksi dalam teater Bawang Putih Bawang Merah, saya akan pastikan bahawa ia akan menjadi pementasan yang lebih baik daripada sebelumnya,” ujar Syarul positif.

Filem pertama

Portfolio Syarul sebagai seorang pelakon bermula sekitar dua tahun lalu selepas dia menyertai pertandingan Hero Remaja 2012. Pada waktu itu, dia diberi kepercayaan untuk memegang watak pembantu menerusi drama bersiri Love You Mr. Arrogant.

Selepas setahun meneruskan langkahnya dalam dunia seni sebagai penyendal naskhah, Syarul akhirnya diberi kepercayaan untuk memegang watak utama dalam drama bersiri Romi Cinta Juli (2014).

Selain Romi Cinta Juli, Syarul turut memegang watak utama dalam drama Berlima Ramadan, Puteri Bukan Nama Sebenar, Hati Perempuan, Street Vendetta dan yang sedang ditayangkan, Kau, Aku, Kita.

Selepas menjayakan hampir puluhan karya bagi tayangan kaca televisyen, Syarul kemudian mencuba nasib sebagai pelakon di layar lebar menerusi filem Hantu Rumah Sakit Jiwa.

Bakal ditayangkan pada tahun depan, pelakon itu menyifatkan filem tersebut sebagai platform untuk mencuba cabang seni yang baharu. Hal ini kerana, naskhah tersebut adalah jalur komedi.

“Saya memasang impian menjayakan filem bercorak aksi sebagai filem pertama lakonan saya.

“Namun, selepas menyedari bahawa filem dan drama merupakan dua cabang seni berbeza dan mampu memberikan pengalaman yang berlainan, saya tidak berfikir panjang apabila ditawarkan untuk membintangi filem tersebut, walaupun bercorak komedi,” ujarnya.


Wanita

Seiring dengan kerjaya lakonannya yang kini sedang mekar berkembang, cerita peribadi Syarul juga semakin galak diperkatakan khalayak.

Dikatakan bercinta dengan pelakon Mia Ahmad selepas sama-sama membintangi drama Hati Perempuan, nama Syarul kini dikaitkan pula dengan pelakon baharu, Mira Filzah.

Menyifatkan khabar angin tersebut sebagai satu perkara remeh, Syarul berkata, dia masih belum bersedia untuk berbicara mengenai hubungan cinta dan wanita secara terbuka.

Ujar Syarul, keterbukaan itu akan datang apabila jodoh datang menyapa dirinya.

“Khabar angin ini bersifat tidak adil memandangkan ia melibatkan dua pihak. Kalau ikutkan, saya tidak mahu memanjangkan perkara tersebut.

“Selagi masih belum bernikah dan tidak memegang tanggungjawab sebagai seorang suami, selagi itu saya tidak mahu bercakap tentang hubungan cinta,” katanya.

Ditebak dengan soalan adakah wanita boleh menjatuhkan dirinya sebagai seorang individu, Syarul berkata: “Pepatah ada mengatakan, wanita adalah tonggak kejayaan bagi seseorang lelaki.

“Tidak mustahil jika kejatuhan seseorang lelaki itu disebabkan oleh wanita di belakangnya. Terpulang pada diri kita bagaimana untuk mengendalikan keadaan apabila sudah dikenali,” katanya.

Terus diasak mengenai wanita dan ‘kegilaan’ mereka terhadapnya, Syarul yang mengaku solo, hanya ketawa sebelum menjawab: “Saya fikir itu lebih baik (digilai wanita), daripada diburu lelaki.”

Prinsip

Bercakap mengenai statusnya sebagai seorang selebriti, Syarul menambah, dia menyedari hakikat bahawa prediket Syarul Ridzwan yang dibawanya di pentas komersial adalah hak milik awam yang perlu dikongsi masyarakat.

Namun, itu tidak bermakna dia larut dalam lampu populariti sehingga melupakan privasinya sebagai individu normal.

“Saya akui, nama Syarul Ridzwan itu adalah hak milik masyarakat. Namun, apabila berada di rumah atau luar lokasi, saya adalah Mohd. Syarul Ridzwan Hashim.

“Saya bukanlah manusia sempurna dan masih melakukan kesalahan tetapi saya cuba untuk menjadi contoh yang terbaik kepada orang ramai khususnya peminat,” katanya.

Bercakap perihal contoh yang baik terhadap khalayak, mungkin prinsip Syarul untuk tidak bersentuhan dengan pelakon wanita dinilai sebagai satu pendekatan yang positif.

Katanya, ia boleh membangkitkan sisi kreatif penggiat seni, terutamanya penulis skrip dan pengarah dalam menjayakan sesebuah naskhah.

“Pengarah tempatan cukup bijak untuk merealisasikan sesuatu babak walaupun tanpa melibatkan sentuhan fizikal.

“Selain itu, keterbatasan ini memberi peluang kepada saya untuk lebih bermain dengan emosi,” katanya.

Previous Post Next Post