Lagu putus cinta Anis Al Idrus


Siapa Anis Al Idrus? Pertanyaan itu barangkali pernah terpacul dari bibir banyak orang ketika sering dikaitkan sedang menjalin cinta dengan jejaka hangat Malaya, Sharnaaz Ahmad sekitar awal 2015.

Tidak lama menganyam kasih, status perhubungan cinta yang masih dipertikaikan kesahihannya ketika itu dikhabarkan sudah menemui titik akhir pada Ogos lalu.

Sharnaaz sendiri mengakui bahawa percintaannya dengan Anis, pelakon yang juga model sambilan itu sudah tamat, manakala aktor filem Darah Panas itu sendiri sudah bertemu pengganti.

Sejak daripada situ, pergerakan wanita bernama Sharifah Anis Syed Zainal Al Idrus yang selama ini jarang diperhatikan media berubah ritma.

Kepada yang tidak pernah tahu latar belakangnya, Anis sebelum ini sudah kerap muncul di kaca televisyen sebagai pelakon mahupun pengacara. Kini, suka atau pun tidak, nama Sharnaaz kerap menjadi tanda pengenalan buatnya,

Putus cinta dengan Sharnaaz hanyalah sekali, namun entah berapa ratus mungkin beribu kali lagi, namanya akan terus dikaitkan dengan Sharnaaz, Anis reda. Dia tidak boleh untuk memadam sebuah hakikat sebaris catatan yang pernah tertulis dalam hidupnya.

Dan jika diberikan kesempatan untuk menterbalikkan waktu agar kesilapan lepas tidak perlu dilakukan, wanita berkulit kuning langsat itu memilih untuk meneruskan laluan hari ini.

Baginya, salah percaturan atau kekhilafan masa lalu tidak perlu disesali sehingga merosakkan diri. Sebaliknya, setiap pengalaman pahit haruslah dijadikan sempadan bahkan guru terbaik untuk mencanai laluan hari esok dengan semangat baharu.

Penyataan sebegitu berbunyi mudah. Biarpun akur untuk melepas kesukaran dengan sebuah senyuman itu adalah perjuangan yang payah, namun wanita berusia 27 tahun itu bukan jenis individu yang mudah mengalah.



KAHWIN: Anis meletakkan sasaran untuk berkahwin sebelum berusia 30 tahun.

Dia melangkah tanpa mahu menoleh ke belakang, meninggalkan tiga tahun percintaan yang tidak kesampaian dengan perasaan marah, atau sebaliknya pasrah menuruti perintah hati sendiri. Sudah lebih tujuh bulan membiarkan itu berlalu pergi, namun mulut orang asyik menanyakan perkara sama.

“Bagi saya, itu semua lumrah. Perkara (bercinta dan putus cinta dengan Sharnaaz) itu fakta, saya tidak boleh menafikannya. Cuma, saya kena hormati kehidupan masing-masing. Sampai ke tahap hari ini, saya harus diam dan teruskan rutin kerja macam biasa," getus seperti sudah dapat mengagak butir bicara pertemuan kali ini akan menjurus ke topik berkenaan.

Ditanya lagi, serikkah Anis menjalin cinta dengan lelaki berstatus selebriti? Anak tunggal kepada usahawan perladangan itu pantas menggelengkan kepala.

Seraya tersenyum, jawabnya tenang: “Kalau terlalu cuba hendak mengelak daripada bercinta sesama artis pun susah juga kerana saya bergerak dalam bidang ini. Saya anggap segala yang berlaku kepada saya sebagai pengalaman dan mungkin selepas ini, perlu lebih hati-hati."

Tidak terlalu mendesak pelakon yang pernah muncul dalam drama bersiri Cuak di Astro Ceria itu untuk membongkar kisah yang mahu disimpan kemas dalam peti kenangan, persepsinya tentang lelaki mengisi tajuk perbualan.

Kata pelakon yang muncul dengan drama Uda & Dara itu, lelaki budiman haruslah meletakkan sifat menghormati orang tua sebagai kemestian dalam hidup. Paling penting kata Anis, bakal lelaki yang mahu bertakhta di hatinya mesti berusaha untuk memahami cara hidup orang terutama latar belakang dirinya sebagai anak tunggal dalam keluarga.

“Dua kriteria itu penting bagi saya. Semestinya juga, lelaki itu harus lebih bijak berbanding saya. Selain sayangkan saya seadanya, perkara yang wajib ialah agama. Kalau pun, seseorang lelaki itu tidak banyak ilmu agama, sekurang-kurangnya dia ada kemahuan untuk mendalami ilmu berkenaan," ujar Anis lega kerana cerita Sharnaaz tidak perlu dipanjangkan dalam perbualan.


KARIER: Bermula sebagai model ketika berusia 15 tahun, Anis Al Idrus akui tidak popular, namun rezekinya dalam bidang seni tidak pernah putus.

Lebarkan sayap seni

Keyakinan diri yang diasah sejak berjinak-jinak dengan dunia peragaan pada usia 15 tahun, menjadikan anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu tidak kekok berbicara.

Biarpun berada agak jauh daripada bacaan popular sebagai pelakon atau pengacara, Anis tidak berasa terkilan. Bagi Anis, karier seni yang dijalani selama ini dilakukan demi kepuasan diri, bukannya mengejar populariti.

“Saya jenis yang suka mengambil peluang. Salah satu sebab mengapa saya tidak menyerlah, mungkin kerana tidak fokus. Maksud saya, tidak fokus kepada satu-satu bidang. Lagi pun, saya juga menjalankan bisnes sendiri. Sebenarnya, saya cuma cari makan dalam bidang seni," katanya yang memiliki butik sendiri Wardrobe by Anis Al-Idrus berlokasi di Alam Avenue 2, Shah Alam, Selangor.

Antara drama lakonan Anis sebelum ini termasuklah Dan Bila Esok (slot Azalea, TV3), Apabila Kau Tersenyum (Tribute To P. Ramlee, TV1), Churam (TV2), Suffiyah dan yang akan datang, Uda & Dara terbitan Astro.

Tidak puas menyelami dunia peragaan, bisnes, lakonan dan pengacaraan, kini Anis memberanikan diri melangkah penuh yakin untuk melunaskan impiannya sejak kecil, iaitu bergelar penyanyi.

Bukan tamak mengendong segala bidang dalam satu masa, Anis merasakan peluang yang datang tidak harus dibiarkan berlalu.

“Lagi pun saya memang minat menyanyi sejak kecil, tetapi kesibukan belajar, berlakon serta melakukan pekerjaan lain membuatkan niat itu terbantut. Selama ini juga, saya tidak pernah buka muka mulut atau meluahkan hasrat untuk jadi penyanyi.

“Pertemuan dengan Nasir Deraman, selaku Pengarah Urusan di Music Space membenarkan saya menggapai impian tersebut," jelas Anis yang kini muncul dengan single pertama berjudul Mengapa, ciptaan Ully Ramadani dan lirik oleh Maya Lee.

Memulakan eksperimen bergelar penyanyi pada usia 27, Anis tidak terlepas daripada persoalan usia yang agak lewat untuk bersaing dengan ramai penyanyi sedia ada, bahkan bintang lebih muda yang digilap menerusi pertandingan realiti ketika ini.

“Sebenarnya untuk memulakan sesuatu perkara itu tidak pernah ada satu titik atau usia pemula. Bila–bila masa sahaja atau kepada sesiapa sahaja ia boleh berlaku. Umur itu bukanlah penghalang untuk kita memulakan sesuatu kerjaya, kerana bagi saya rezeki itu adalah ketentuan Allah. Untuk bersaing ia adalah rezeki masing-masing, ujar Anis optimis.

Bercerita tentang single yang dipertaruhkan, sepintas lalu Mengapa seolah-olah cerminan atau pengharapan jiwa Anis yang pernah putus cinta.

Kata Anis, lagu berkenaan mempunyai mesej kuat yang ingin disampaikan kepada kaum lelaki. Persoalan mengapa yang diungkapkan di dalam lirik menandakan kaum wanita sebenarnya inginkan sebuah perhubungan yang benar–benar ikhlas, jujur serta berpegang pada janji.

“Lagu ini bukan tentang saya seorang, bahkan mewakili seluruh wanita lain. Saya berharap lagu ini mendapat tempat di hati peminat atau pendengar, saya perlukan sokongan untuk terus maju dan dapat menghasilkan lagu seterusnya," tutupnya.

Previous Post Next Post