Mira Filza Dituduh Putuskan Hubungan Syarul Ridzwan & Mia Ahmad


Mira akui mengenali Syarul Ridzwan sebelum bergelar artis.

Pelakon baharu Mira Filzah menafikan dakwaan terbaharu kononnya dia menjadi punca putusnya hubungan cinta antara pelakon drama Hati Perempuan iaitu Syarul Ridzwan dan Mia Ahmad.

Bagaimanapun, Mira atau nama sebenarnya Nur Amirah Filzah Badioezaman, 22, mengakui mengenali dan berkawan dengan aktor itu sebelum kedua-dua mereka memasuki dunia seni.

"Saya tidak bercinta dengan Syarul Ridzwan apatah lagi menjadi orang ketiga seperti didakwa.

"Memang benar kami saling mengenali sejak beberapa tahun lalu iaitu pada tahun 2011. Ketika itu saya masih bersekolah dan dia belum jadi pelakon, namun selepas itu kami tidak lagi berhubung," ujarnya kepada mStar Online.




Perbualan mesra antara Syarul dan Mira yang diemel kepada mStar Online.

Mira berkata demikian ketika diminta mengulas tentang satu kiriman emel yang diterima mStar Online dengan mendakwa dia sebagai punca utama perpisahan pelakon Syarul Ridzwan dan Mia Ahmad.

Cetakan skrin perbualan mesra Mira dan Syarul menerusi laman sosial Twitter yang dikirmkan kepada mStar Online itu adalah status pada 2011.

SILA KLIK: Foto Beruniform JPJ Jadi Viral Beri Rezeki Mira Filzah

Sementara itu tambah Mira, dia hanya bertemu semula pelakon tersebut pada 25 Oktober lalu dalam satu majlis Timor Fest di Kelantan.

"Kami sudah lama tidak berhubung dan bertemu semula baru-baru ini di sebuah majlis, ketika itu saya terkejut juga kerana tidak tahu bahawa dia turut hadir.

"Selepas itu, ada gambar kami bersama yang diambil peminat dan sejak itu ada pihak yang kurang senang dan mula mencungkil semula kisah lama saya dan Syarul," ujarnya.



Mia Ahmad dan Syarul Ridzwan yang didakwa bercinta selepas bergandingan dalam drama Hati Perempuan.

Tambah Mira, dia turut menyedari gosip tersebut menjadi serius apabila ada pihak yang cuba melaga-lagakan mereka bertiga menerusi sebuah akaun laman sosial palsu.

"Saya tidak sedap hati dengan perkara yang berlaku ini kerana mereka tag saya, Syarul dan Mia Ahmad di Instagram. Saya malas nak besar-besarkan dan melayan isu ini, cuma Syarul ada juga membalas bagi menjelaskan keadaan.

"Sebagai pelakon baru saya tidak mahu perkara ini memberi persepsi buruk kepada saya," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Mira baharu sahaja muncul menerusi drama Din Sardin Isnin lalu dan sedang menjalani penggambaran drama Cinta Si Wedding Planner untuk slot Akasia yang bakal ditayangkan di TV3 pada Januari depan.

Mira Filzah mula popular selepas kemunculannya dengan memakai uniform penguatkuasa, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk drama Din Sardin pada Ogos lalu menjadi viral di internet.

Previous Post Next Post