Mira Filzah Sangkal Hubungan Dengan Mia Ahmad Dingin


Mira Filzah menyangkal dakwaan terbaharu kononnya hubungannya dengan aktres Mia Ahmad dingin.

Pelakon yang sedang meningkat naik Mira Filzah menyangkal dakwaan hubungannya dengan aktres Mia Ahmad kini dingin gara-gara gosip percintaan dengan Syarul Ridzwan.

Mira atau nama sebenarnya Nur Amirah Filzah Badioezaman, 22, berkata, dia tidak mempunyai sebarang masalah dengan Mia dan hanya mengenali aktres itu sebagai rakan artis.

"Apa yang timbul sebelum ini hanyalah gosip dan saya memang tiada sebarang masalah dengan Mia seperti mana didakwa sebelum ini.

"Malah saya hanya kenal Mia sebagai rakan artis, itu sahaja," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Isnin.

Mira diminta mengulas laporan ruang gosip sebuah akhbar pada Ahad lalu yang menyebut dia menjadi punca perpisahan pelakon Mia Ahmad dan dan Syarul Ridzwan.



Mia dan Syarul.

Bagiamanapun Syarul dalam satu kenyataan kepada mStar Online menyifatkan individu yang menyebarkan cerita berkenaan mungkin bersikap dengki dengan hubungan baiknya bersama kedua-dua aktres tersebut.

Dalam pada itu, Mira menegaskan dia tidak mempunyai sebarang hubungan istimewa dengan Syarul seperti mana didakwa sesetengah pihak sebelum ini sehingga menjadi punca keretakan hubungan Mia ada Syarul.

Jelas Mira, dia tidak mengambil serius dengan dakwaan dilemparkan terhadapnya kerana sedar ia cuma gosip semata-mata.

"Saya tidak rasa apa-apa pun apabila nama dikaitkan dengan gosip berkenaan kerana nama pun gosip.

"Bagaimanapun hubungan saya dengan Syahrul hanya sekadar rakan artis dan tidak lebih daripada itu," jelasnya.

Sementara itu, Mira berkata, kontroversi berkenaan tidak meninggalkan kesan kepada karier seninya yang sedang meningkat naik dan melakukan kerjanya seperti biasa.

"Alhamdulillah tiada apa-apa yang berlaku dan paling penting saya fokus terhadap karier saya," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Mira kini sedang sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri terbaharu untuk slot Akasia di TV3 bersama aktor Adi Putra.

Previous Post Next Post