Nizam akur perjuangan berakhir #GegarVaganza



SELEPAS enam minggu bertarung memberi persembahan terbaik, akhirnya perjalanan Nizam Laksamana menerusi pentas Gegar Vaganza 2 (GV2) berakhir malam kelmarin.

Bertemakan Kenangan Terindah, Nizam menyanyikan lagu hits dendangan kumpulan Spoon berjudul Rindu Serindu Rindunya.

Menurut Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad, keputusan penyingkiran pada malam itu adalah di luar jangkaan.

“Sebenarnya kita memang tidak jangkakan Nizam tersingkir memandangkan setiap minggu dia telah melakukan persembahan yang konsisten.

“Bagaimanapun kita hormat dengan keputusan juri dan mungkin ada beberapa kesilapan daripada pihak Nizam sendiri yang membuatkan dia terkeluar,” jelasnya ketika ditemui pada sidang media selepas berakhirnya konsert GV2 minggu keenam, Ahad lalu.

Melihatkan dari sudut persembahan konsert secara keseluruhan, Raqim akui kelapan peserta yang beraksi pada malam itu menunjukkan prestasi yang meningkat.


Hasrat termakbul

Akur dengan keputusan penyingkiran, Nizam akui dirinya bersedia menerima segala kemungkinan pada malam itu.

“Tahap kesihatan saya minggu ini sedikit terganggu, namun itu bukanlah halangan untuk saya berjuang lakukan yang terbaik.

“Pada masa sama, saya bersedia jika terjadinya sesuatu dan sudah tertulis perjalanan saya dalam GV2 terhenti di sini.

“Bagaimanapun saya bersyukur kerana mampu berjuang dan tidak pernah mengalah.

“Saya terima penyingkiran ini dengan besar hati tanpa perasaan kecewa mahupun kesal,” katanya.

Walaupun peluang meraih imuniti masih ada, Nizam bagaimanapun enggan menaruh harapan yang tinggi dan menyerahkannya kepada peminat dan juri.

“Jika peminat mahu terus melihat saya beraksi di atas pentas, mungkin mereka akan lakukan sesuatu, begitu juga dengan pihak juri.

“Jika rezeki menyebelahi saya, Insya-ALLAH, saya akan tampil pada konsert seterusnya.

“Jika tidak, saya menerimanya dengan baik tanpa sebarang masalah,” ujarnya tenang.

Biarpun tersingkir, Nizam sempat berkongsi perasaan gembiranya apabila dipelawa oleh pengasas Vida Beauty, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau lebih terkenal dengan nama Datuk Seri Vida untuk menunaikan umrah.

“Alhamdulillah, baru sebentar tadi saya dipelawa oleh Datuk Seri Vida yang menawarkan saya dan isteri untuk menunaikan umrah.

“Tidak ada apa lagi yang saya mahukan, ini adalah hadiah yang bermakna buat saya.

“Salah satu niat saya untuk menyertai pertandingan ini akhirnya tercapai walaupun tersingkir,” katanya dengan nada gembira.

Previous Post Next Post