Reen Rahim Ini fasa pembelajaran



EMPAT tahun berkelana dalam industri hiburan, wanita ini masih belum pernah berasa puas. Jauh sekali pernah terdetik untuk menganggap diri sudah berada di atas. Baginya, setiap hari adalah satu proses baharu buatnya untuk terus menguji kemampuan diri.

Benar, bidang ini adakalanya bergantung kepada nasib. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Mungkin gambaran ini sedikit sebanyak menggambarkan diri pelakon yang berdiri atas nama komersial Reen Rahim.

Jika diamati, pembabitan awal pelakon berusia 27 tahun itu boleh dikatakan agak bertuah. Dinobatkan sebagai juara program realiti Pilih Kasih musim ketiga, peluangnya untuk melangkah jauh dalam bidang yang sedang diterokai ini bagaikan terbuka luas.

“Saya masuk dalam bidang lakonan ini tanpa ada sebarang asas dalam lakonan. Bagaimanapun, saya sendiri tidak menyangka tuah berpihak kepada saya sewaktu menyertai Pilih Kasih. Bagaimanapun, kejayaan lalu bukanlah ukuran sebenar untuk melihat siapa saya sekarang ini.

“Sebaik keluar daripada program itu, saya perlu terus berusaha. Perlu kerja keras untuk meneruskan kelangsungan dalam bidang ini untuk bertahan sehingga kini,” ujar pelakon filem Gangster Celop itu sewaktu membuka bicara dalam pertemuan sesi fotografi bersama Sensasi Bintang baru-baru ini.


Mahu terus kekal

Jika ada sesetengah pelakon yang mencipta populariti dalam sekelip mata, tetapi perkara itu mungkin tidak buat Reen. Apatah lagi, dengan situasi industri yang semakin dipenuhi dengan wajah-wajah bakat baharu setiap hari, dia perlu akur untuk terus bersaing menempatkan diri.

Sungguh pun begitu, dia bukan jenis yang sukar berlumba-lumba untuk mengejar nama. Baginya, dia punya perancangan tersendiri dalam melakar perjalanan seninya. Biar pergerakannya perlahan, tetapi apa yang penting, Reen mahu terus kekal. Ini kerana, dia tidak mahu namanya melonjak tinggi pada satu masa dan terus lenyap begitu untuk satu-satu tempoh sahaja.


BAGI Reen, usaha yang lebih kuat diperlukan untuk terus berada dalam industri lakonan di negara ini.

“Saya bukan jenis yang terus naik. Nak dikata berada di bawah pun tidak, berada di atas pun tidak. Saya ini boleh dikatakan berada di tengah-tengah. Saya tidak berapa kisah mengenai perkara itu, cuma yang penting bagaimana kita mahu memastikan kita dapat terus diterima umum. Itu lebih utama.

“Apa pun, saya percaya bahawa satu hari nanti, kesungguhan dan kesabaran itu pasti akan membuahkan hasil,” luah pelakon drama Hidayahmu Ramadan itu.

Baginya, dia kini sudah melalui satu fasa awal dalam kariernya. Ini kerana, pelakon kelahiran Klang, Selangor itu pernah meletakkan tempoh tiga tahun pertama untuk memberi ruang kepada orang ramai menilai bakat yang ada pada dirinya.

Nyata, kehadirannya bukan sekadar tempelan. Dicalonkan sebagai finalis Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Anugerah Skrin 2015 menerusi drama Talak, itu sudah cukup membuatkan si empunya diri menghembuskan sedikit nafas lega.

“Bagi saya, berjaya meletakkan diri dalam senarai calon di tangga lima teratas juga sudah memadai. Itu satu pencapaian yang cukup baik buat saya. Insya-Allah, jika ada rezeki mungkin pada tahun-tahun yang mendatang akan ada rezeki lain. Semestinya saya juga impikan satu penghargaan dalam kerjaya ini,” tutur pemilik nama sebenar Noreen Ashikin Abdul Rahim itu.

Sekurang-kurangnya, Reen berjaya membuktikan bahawa individu yang tidak pernah mempunyai asas lakonan sepertinya juga mampu berada pada satu tahap yang boleh dibanggakan. Prinsipnya mudah, jika ada usaha, pasti ada jalan yang terbentang buatnya.

“Setiap kali saya berada di set penggambaran, saya menganggap itu sebagai satu proses pembelajaran buat saya. Setiap set akan ada perkara baharu yang saya pelajari. Itu yang saya sedang jalani sekarang ini.

“Bahkan, pada saya, individu yang mencorakkan seseorang pelakon itu juga terletak pada pengarah dan pasukan produksi itu sendiri. Ini kerana, sebuah cerita yang bagus juga memainkan peranan dalam menaikkan nama artis itu,” katanya yang sering membawakan watak antagonis.

Jika teman seperjuangannya ramai yang terpalit dengan gosip percintaan di lokasi ataupun satu industri, Reen berjaya menepis itu semua. Bukan mahu berahsia mengenai kisah peribadi, cuma, bagi pelakon drama Terlanjur Mencintaimu itu, dia lebih selesa untuk tidak bercakap perkara yang belum pasti.

Rahsia teman lelaki

Pendiriannya cukup mudah, jika sesuatu perkara itu sudah pasti pengakhirannya, barulah perkara itu dikongsikan kepada umum. Biarpun masih berteka-teki dengan profil lelaki yang sedang dikenalinya, Reen mengakui kini hatinya sedang mengenali seseorang.


SETIAP hari Reen akan mempelajari benda baharu di set penggambaran dan ini baik untuk kerjayanya.

“Sejujurnya, saya memang sudah ada seseorang yang sedang dikenali. Bukan tak mahu dedahkan dirinya siapa, cuma buat masa ini, biarlah itu antara saya dengan dirinya sahaja.

“Bukan mahu terlalu berahsia. Cuma pada saya, mungkin belum tiba masanya lagi. Insya-Allah, jika saya mahu bertunang dan berkahwin, media antara kelompok awal yang akan saya maklumkan,” kata pelakon filem Mirip itu.

Apatah lagi memikirkan soal umur yang kian meningkat, katanya, sudah pasti impian berkeluarga itu sudah lama terpateri.

“Sebenarnya, sejak umur 24 tahun lagi saya sudah bersedia untuk berumah tangga. Sampailah sekarang, lagi beberapa tahun sahaja nak masuk kategori umur siri angka tiga pula. Banyak perkara yang mahu saya capai dalam tempoh yang singkat ini.

“Ini kerana, saya meletakkan sasaran tiga perkara iaitu kerjaya, keluarga dan masa depan untuk saya capai sebelum usia 30 tahun,” kongsi anak ketiga daripada empat beradik itu.

Previous Post Next Post