Scha idam anak kembar


UMUM sudah mengetahui mengenai keluarga selebriti ini iaitu Scha Alyahya dan Awal Ashaari yang sudah memiliki seorang anak perempuan bernama Lara Alana, 1 tahun empat bulan.

Ke mana sahaja pasangan ini pergi pasti tumpuan akan tertumpu kepada anak kecil itu yang kini sudah pandai berjalan dan mula untuk bercakap.

Sememangnya, setelah memiliki seorang anak, ramai pula bertanyakan soal anak kedua kepada pasangan ini.

Scha yang ditemui baru-baru ini sempat berkongsi yang dirinya dan suami sebenarnya sudah bersedia untuk menimang cahaya mata kedua.

“Saya memang nak sangat kehadiran anak kedua. Tetapi waktu kini kena tunggu dahulu, jika ada rezeki alhamdulillah, jika tidak tunggu sahaja sehingga tiba masanya.

“Sebolehnya waktu Lara membesar ini, saya mahu bersamanya dahulu kerana masih belum puas melihat perkembangannya.

“Tetapi sama sahaja, jika Lara mempunyai adik, mereka boleh bermain bersama,” katanya kepada Zass.


Mengulas pula mengenai jantina yang diinginkan untuk anak keduanya itu, Scha berkata, jika diizinkan dia mahukan anak kembar.

“Kalau boleh saya nak kembar (lelaki dan perempuan). Kerana lepas itu mungkin boleh tutup kedai.

“Bagaimanapun, saya dan Awal tidak kisah sebenarnya anak kedua kami lelaki atau perempuan kerana kedua-duanya ada keistimewaan.

“Jika anak lelaki, nanti besar dia boleh tolong jaga kakaknya, dan jika perempuan pula, boleh bermain masak-masak dengan Lara,” katanya.

Walaupun sibuk dengan kerjayanya, Scha tetap berusaha meluangkan masa untuk bersama dengan Lara yang semakin aktif membesar.

“Memang Lara sekarang tengah mengembang sekembangnya apabila sudah laju berjalan, mula memanjat dan sedang belajar bercakap.

“Oleh itu, saat perkembangan itu, sebolehnya kami sebagai ibu bapa tidak mahu terlepas. Walau sesibuk mana, kami akan pastikan balik sahaja kerja, akan menjaga Lara juga,” katanya.

Berkongsi pula mengenai perkembangan kerjayanya, Scha berkata, dia kini sedang sibuk dengan penggambaran sebuah drama adaptasi yang akan disiarkan tahun hadapan.

“Drama itu berjudul Isteri vs Tunang, di mana berlakon bersama selebriti seperti Hisyam Hamid dan Sharifah Sakinah. Mungkin bulan Januari tahun hadapan baru habis penggambaran,” katanya.

Previous Post Next Post